PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Hujan lebat berterusan, beberapa kawasan di Miri dilanda banjir kilat

MIRI: Hujan lebat yang turun berterusan sejak petang hingga ke malam tadi telah menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat.

Antara kawasan yang terjejas adalah di sekitar kawasan pusat bandar iaitu di Jalan Brooke, stesen minyak Bukit Kanada, Taman Lopeng Jaya berhampiran Hospital Miri, Jalan Tanjong Lobang serta beberapa kawasan rendah yang lain.

Banjir kilat itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas dan ada kereta yang terkandas.

Banjir: Mangsa banjir Terengganu tinggal 55 orang

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak seminggu lalu semakin memulih dengan mangsa terjejas kini cuma tinggal 55 orang.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, kesemua mangsa banjir terjejas berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Marang.

“Seramai 43 mangsa daripada 11 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai.

“PPS Dewan Sivik Merchang pula mempunyai 12 mangsa daripada tiga keluarga,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun telah pulih sepenuhnya daripada banjir dengan 10 mangsa yang sebelum ini berada di PPS Balai Raya Alor Mak Bah telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang semalam.

Beliau berkata, cuaca kebanyakan kawasan di Terengganu hari ini diramalkan mendung. – KOSMO! ONLINE

 

Banjir: 1 PPS ditutup, mangsa di Kelantan tinggal 36 orang

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 36 orang susulan penutupan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Bachok hari ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, lapan buah keluarga yang masih terjejas banjir ketika ini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, Rantau Panjang.

Menurutnya, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor di Bachok yang sebelum ini menempatkan seramai 44 orang mangsa ditutup pada pukul 9 pagi tadi.
 

“Seramai 80 orang mangsa berada di dua PPS di dua daerah setakat pukul 7 pagi tadi. Kini, hanya tinggal 36 mangsa yang masih berlindung di sebuah PPS di Rantau Panjang,” ujarnya.

Sementara itu, Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan dalam satu kenyataan berkata, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang semakin menurun, namun menunjukkan bacaan amaran.

Menurutnya, Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat kembali kepada paras berjaga-jaga.

Tambahnya, sungai-sungai utama di Kelantan masih menunjukkan bacaan normal. – KOSMO! ONLINE

 

Mangsa banjir meningkat di lima negeri

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencatatkan peningkatan kepada 191 orang setakat 6 pagi Selasa, berbanding 183 mangsa semalam.
Angka terkini ini melibatkan 48 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri.
 
Negeri-negeri yang terjejas ialah Kelantan, Terengganu, Johor, Sarawak dan Selangor.
 
Kelantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 80 orang daripada 20 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di Bachok dan Pasir Mas.
Di Terengganu, seramai 58 mangsa daripada 14 keluarga berada di dua PPS yang dibuka di Marang.
 
Johor mencatatkan 28 mangsa daripada lapan keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di Segamat.
Di Sarawak, seramai 18 mangsa daripada empat keluarga berlindung di sebuah PPS di Betong.
Sementara itu, Selangor merekodkan tujuh mangsa daripada dua keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di daerah Kuala Langat.
 
 

Laluan jambatan Bailey di Jalan Kuantan-Segamat dibuka semula hari ini

KUANTAN - Laluan jambatan Bailey di Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak) berhampiran kawasan Burung Unta yang ditutup bermula 22 November lepas bagi kerja-kerja pembaikan, dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya bermula jam 4 petang hari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan dalam satu kenyataan memaklumkan laluan jambatan sementara itu dibuka dua hala kepada semua kenderaan dengan had muatan yang dibenarkan tidak melebihi 20 tan.

"Kerja-kerja pembaikan jalan di jambatan sementara (Bailey Bridge), Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak), Jalan Persekutuan 12 Seksyen 102 telah siap sepenuhnya.

"Sehubungan dengan itu, laluan terbabit dibuka sepenuhnya kepada pengguna. Pengguna dinasihati agar berhati-hati ketika melalui laluan itu dan sentiasa mematuhi arahan papan tanda yang disediakan,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan jambatan Bailey itu dibina bagi memastikan pengguna jalan raya terutama penduduk setempat tidak terputus hubungan sebelum kerja pembinaan pembetung kekal dilaksanakan.

Pada 18 Januari lepas, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebuah jambatan kekal akan dibina bagi menggantikan jambatan Bailey di lokasi itu, dengan permohonan peruntukan bernilai RM17 juta telah dikemukakan ke Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. - Bernama

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search