PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Kebakaran hutan di Kampung Kut belum berjaya dipadam sepenuhnyahttps://www.tvsarawak.my/2026/08/13/kebakaran-hutan-di-kampung-kut-belum-berjaya-dipadam-sepenuhnya/

DARO, 13 Ogos: Kebakaran hutan di Kampung Kut di sini, yang memasuki hari keempat operasi pada hari ini masih belum dipadam sepenuhnya, dengan kira-kira 13 hektar kawasan masih terbakar.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kebakaran yang bermula dari sebuah kebun itu didapati merebak menghampiri Sungai Batang Lassa dan menghala ke Stesen Minyak Buraq.

“Hasil pemantauan menggunakan dron oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menganggarkan keseluruhan kawasan terjejas seluas 28 hektar.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro membentang dua aliran dengan dua pancutan bagi mengawal kemerebakan api,” kata kenyataan itu.

Aliran pertama menggunakan empat gulung hos Forest Pump sepanjang 200 kaki, manakala aliran kedua menggunakan enam gulung hos sepanjang 300 kaki dengan sumber air dari parit berhampiran jalan utama.

Usaha turut memberi tumpuan kepada pembentukan fire break bagi menghalang api daripada menghampiri Stesen Minyak Buraq.

Operasi dibantu lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Daro, selain dua anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sibu dan dua anggota NREB Mukah.

Setakat operasi hari keempat, kira-kira 15 hektar kawasan berjaya dipadamkan, manakala baki 13 hektar masih terbakar.

Operasi ditangguhkan apabila keadaan semakin gelap serta mengambil kira faktor keselamatan anggota berikutan terdapat bahaya lain di kawasan kebun dan belukar.

Operasi akan disambung pada hari esok.-TVS

Pengusaha Tadika, Taska di Sarawak dibenarkan beroperasi jika IPU melebihi 200

KUCHING, 13 Ogos: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak membenarkan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika)) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) beroperasi untuk menampung keperluan ibu bapa yang bekerja, meskipun Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras 200 dan ke atas.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kehadiran kanak-kanak ke institusi berkenaan adalah tertakluk kepada pertimbangan serta pilihan ibu bapa masing-masing dalam mendepani situasi jerebu berterusan di negeri ini.

Beliau berkata, Tadika dan Taska bertindak sebagai sistem sokongan penting kepada ibu bapa yang bekerja, selain menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan terkawal dilengkapi pendingin udara serta sistem penapis udara bersesuaian berasaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi Tadika dan Taska yang sepatutnya ditutup apabila IPU mencapai 200 dan ke atas, pusat-pusat ini boleh dibuka bagi menampung kanak-kanak yang ibu bapanya masih perlu bekerja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fatimah yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) Sarawak berkata, semua aktiviti luar bilik darjah di institusi berkenaan hendaklah digantung serta-merta sepanjang tempoh ini.

Bagi mengurangkan pendedahan di luar rumah, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak memakai pelitup muka semasa dalam perjalanan dari rumah ke pusat jagaan berkenaan.

Beliau turut menegaskan supaya saringan kesihatan dilakukan terhadap kanak-kanak sejurus tiba di pusat jagaan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan masuk, manakala kanak-kanak yang tidak sihat perlu kekal berada di rumah.

“Sekiranya kanak-kanak menunjukkan gejala semasa berada di pusat berkenaan, ibu bapa akan dihubungi untuk membawa mereka pulang,” tegas beliau.

Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah asma, penyakit pernafasan atau penyakit kronik lain, ibu bapa perlu memastikan ubat penyedut (inhaler) yang dipreskripsikan dibawa bersama, selain memaklumkan tahap kesihatan serta keperluan penjagaan anak kepada pihak pengurusan pusat berkenaan.

Fatimah turut memohon ibu bapa memastikan anak-anak minum air secukupnya bagi kekal terhidrat sepanjang hari. – TVS

Sekolah perlu henti aktiviti luar bilik darjah jika IPU lebih 100 - JPN Pulau Pinang

GEORGETOWN: Sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid di kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, susulan keadaan jerebu yang melanda negeri itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata laman sesawang rasmi JAS, iaitu Air Pollutant Index Management System (APIMS) menunjukkan bacaan IPU kategori tidak sihat bagi Stesen Minden di sini petang tadi.

"Kami sedang memantau keadaan IPU dari semasa ke semasa buat masa ini dan mengambil tindakan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Sekolah yang berada di kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat masih beroperasi seperti biasa tetapi tiada sebarang aktiviti di luar bilik darjah dibenarkan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Sebanyak tujuh sekolah, melibatkan empat sekolah rendah dan tiga sekolah menengah berada di kawasan sekitar Minden. Jika tahap IPU masih merekodkan bacaan tidak sihat pagi esok, pihak sekolah akan menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah," katanya ketika dihubungi BERNAMA malam ini.

APIMS menunjukkan bacaan IPU kategori tidak sihat bagi Stesen Minden pada paras 107 kira-kira 12 tengah hari dan 103 sejam kemudian. Seterusnya bacaan pada 3 petang bagi stesen itu menurun kepada IPU sederhana, iaitu dengan bacaan 97 dan terkini pada 8 malam bacaan 96 (sederhana).

Bacaan pada 8 malam ini bagi Stesen Balik Pulau, Stesen Seberang Perai dan Seberang Jaya pula mencatatkan antara 84 hingga 95, iaitu sederhana.

Mohamad Dziauddin berkata beliau juga akan mengadakan mesyuarat bersama semua guru besar dan pengetua pada 11 pagi esok untuk memberikan maklumat terkini serta tindakan yang perlu diambil sekiranya keadaan jerebu atau IPU mencatatkan bacaan tidak sihat di Pulau Pinang.

Beliau berkata murid juga dinasihatkan supaya memakai penutup hidung serta minum air dengan kerap manakala pihak sekolah perlu merujuk murid yang didapati tidak sihat kepada ibu bapa atau penjaga dengan segera.

Berdasarkan garis panduan berhubung pengurusan sekolah ketika fenomena jerebu, sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100.

Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta, manakala jika bacaan melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.

Garis panduan itu turut menetapkan pembukaan semula sekolah bergantung kepada bacaan IPU yang berada di bawah 200 dan menunjukkan trend penurunan.

 

Jerebu: Indonesia ambil pelbagai langkah tangani kebakaran hutan

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengambil pelbagai langkah untuk memadamkan kebakaran yang mengakibatkan jerebu dan telah merebak ke negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.

Ini menyebabkan Kementerian Luar Negeri Indonesia memastikan kerajaan terus berkoordinasi dengan negara-negara berkaitan, tanpa mengira sama ada terdapat bantahan rasmi atau tidak.

Pihak kementerian  turut memanfaatkan mekanisme pemantauan dan pertukaran maklumat berdasarkan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan. 

Ia merupakan perjanjian alam sekitar antara negara anggota ASEAN yang mengikat di sisi undang-undang bagi mencegah, memantau dan mengawal pencemaran jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah.

“Secara amnya, kerajaan menjalankan pelbagai usaha penyelarasan bagi langkah-langkah pencegahan dan pengendalian secara bersepadu, dengan meminimumkan kesan terhadap masyarakat serta juga alam sekitar,” kata Jurucakap II Kementerian Luar Indonesia, Vahd Nabyl, di pejabatnya di Jakarta, Khamis.

Nabyl menambah, kerajaan turut terus mengambil pelbagai langkah bagi menangani kebakaran hutan dan tanah, termasuk memperkukuh kesiapsiagaan, melakukan rondaan, pemadaman di darat, operasi pembenihan awan atau pengeboman air, penguatkuasaan undang-undang serta pengubahsuaian cuaca yang dilaksanakan secara bersepadu.

 

“Jadi, langkah-langkah ini terus dilaksanakan tanpa mengira sama ada terdapat bantahan rasmi yang diterima daripada mana-mana negara atau tidak,” jelasnya. – AGENSI

Jerebu dijangka berterusan 7 hari lagi

PETALING JAYA: Jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini dijangka berterusan tanpa perubahan ketara sepanjang tempoh seminggu akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan cuaca juga dijangka kekal hampir sama sepanjang minggu hadapan.

“Hujan sementara mungkin berlaku di beberapa kawasan, namun jumlahnya dijangka tidak mencukupi untuk mengurangkan jerebu secara menyeluruh.

“Jerebu setempat ketika ini lebih tertumpu di kawasan perindustrian dan berpenduduk padat seperti Lembah Klang serta Pulau Pinang.

“Bagi selatan dan barat Sara­wak pula, keadaan itu dipengaruhi jerebu rentas sempadan berikutan banyak kebakaran terbuka dikesan berlaku di barat Kalimantan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, perubahan cuaca yang lebih ketara dijangka berlaku selepas berakhirnya Monsun Barat Daya.

“Keadaan cuaca dijangka ber­ubah dengan lebih ketara selepas Monsun Barat Daya berakhir pada penghujung September ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memaklumkan, penutupan sementara sekolah-sekolah yang terjejas akibat jerebu di kawa­san Serian dilanjutkan sehingga Jumaat.

Katanya, keputusan itu di­buat susulan satu sesi libat urus bersama pengetua serta guru besar sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah selia­an Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian.

“Keputusan ini dibuat agar tidak membebankan pihak pentadbir sekolah, guru, ibu bapa serta murid-murid terutamanya yang melibatkan sekolah ber­asra­ma.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Sebanyak 10 kawasan di Sa­rawak, Selangor dan Wilayah Per­sekutuan Kuala Lumpur men­catatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 6 petang semalam.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Sarawak mencatatkan kawasan tertinggi terjejas de­ngan tujuh kawasan mencatat bacaan IPU antara 146 hingga 179.

Di Selangor pula Johan Setia mencatatkan IPU 154, dan Shah Alam (104) sementara Cheras di Kuala Lumpur IPU 146.

Sementara itu, Pengarah Ka­nan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Maqrun Fadzli Mohd. Fahmi berkata, hujan diramal di beberapa tempat tetapi tidak cukup memperbaiki kualiti udara secara menyeluruh.

“Daripada maklumat yang kami ada setakat ini, kita tidak melihat ada satu perubahan besar daripada situasi ini. Kita jangka keadaan ini akan hampir sama juga dan dalam beberapa hari akan datang, akan ada sedikit hujan berbanding keadaan kering sekarang.

“Kita harap hujan membantu tetapi kalau keadaan udara banyak berjerebu, hujan yang sedikit mungkin tidak mampu menghilangkan kesan jerebu tersebut,” katanya dalam program Fokus 15: Ancaman Jerebu Rentas Sempadan.

Dalam pada itu, kebakaran hutan dan tanah yang semakin merebak di Kalimantan memusnahkan tanaman serta ladang penduduk.

Indonesia dilaporkan berjaya memadamkan empat kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan keseluruhan kawasan seluas 16 hektar di empat provinsi.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Dodi Yuleova dilaporkan berkata, kejadian dilaporkan di Trenggalek, Jawa Timur; Sragen, Jawa Tengah; Cianjur, Jawa Barat dan Sidenreng Rappang, Sulawesi Selatan. – UTUSAN

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search