PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Jerebu dijangka hingga September

PETALING JAYA: Rakyat negara ini dijangka terus berdepan isu jerebu sehingga hujung September mengambil kira fasa akhir Monsun Barat Daya.

Selain itu, ia juga bergantung kepada bila kebakaran hutan di Indonesia dapat dipadamkan sepenuhnya.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, arah tiupan angin dari negara jiran itu ke negara ini dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyebabkan jerebu semakin teruk.

Jelas beliau, arah tiupan angin itu sepanjang musim Monsun Barat Daya telah membawa jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di negara jiran yang masih belum terkawal.

Katanya, keadaan cuaca panas dan kurang hujan di negara akibat daripada Monsun Barat Daya pula dijangka akan berterusan hingga penghujung September.

“Selagi masih berlaku kebakaran yang tidak dikawal, agak sukar untuk jerebu berkurangan sebab tiupan angin sepanjang musim monsun ini adalah dari Indonesia ke negara kita

“Jika terdapat peningkatan dalam taburan hujan masalah jerebu ini akan dapat dikurangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebanyak 29 kawasan di seluruh negara masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 3 petang semalam.

Bagaimanapun, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 32 kawasan pada sebelah pagi.

Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 182.

Di Sarawak, selain Serian, kawasan lain yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Sri Aman (170), Kuching (160), Samarahan (156) dan Sarikei (153).

Mengulas mengenai Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi mengatasi masalah itu, Mohd. Hisham berkata, keadaan atmosfera dan pembentukan awan semasa di kawasan terjejas masih belum kondusif untuk berbuat demikian.

Tambahnya, bagi unjuran tiga hingga lima hari akan datang, kualiti udara bergantung sepenuhnya kepada perkembangan di lapangan terutamanya usaha mengawal kebakaran di negara jiran.

“Masalah jerebu ini dijangka berkurangan jika api berjaya dipadamkan dan semakin buruk sekiranya sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

KL, Putrajaya antara 19 kawasan udara tidak sihat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, dengan Sri Aman, Sarawak mencatat bacaan tertinggi iaitu 168 setakat ini.

Sri Aman diikuti Serian, Sarawak (167), Nilai, Negeri Sembilan dan Samarahan, Sarawak masing-masing 162; Putrajaya dan Johan Setia, Selangor (160).

Shah Alam dan Seremban masing-masing merekodkan bacaan 159, diikuti Cheras, Kuala Lumpur (157); Tangkak, Johor (153); Batu Muda, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor (152).

Turut mencatat bacaan tidak sihat ialah Bukit Rambai, Melaka (151); Banting, Selangor (150); Alor Gajah, Melaka (144); Petaling Jaya, Selangor (122); Taiping, Perak (116); Kuching, Sarawak (108) dan Segamat, Johor (103).

Secara keseluruhan, Selangor mencatat jumlah kawasan paling banyak terjejas dengan lima kawasan, diikuti Sarawak (empat), manakala Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Melaka masing-masing dua kawasan.-UTUSAN

Korek pasir cara terbaik dalamkan Sungai Pahang

MARAN – Kerajaan digesa mengambil tindakan drastik termasuk mendalamkan Sungai Pahang yang makin kering dalam usaha memulihkan kawasan yang terkenal dengan lubuk ikan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak berkata, keadaan Su­ngai Pahang ketika ini agak kritikal berikutan kawasan yang kering kontang dan membentuk dataran berpasir semakin meluas.

“Memang perkara ini merisaukan penduduk setempat termasuk nelayan sungai dan usaha mengeluarkan pasir merupakan satu-satunya kaedah yang paling sesuai sekali.

“Perkara ini sudah lama dan usaha mendalamkan kawasan itu perlu dilakukan dengan segera,” katanya di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Sungai Pahang di Pesagi di sini semakin kering sehingga boleh dilalui oleh pejalan kaki dan penunggang motosikal, malah terdapat kawasan yang sudah ditum­buhi rumput.

Kawasan yang dahulunya terkenal dengan lubuk ikan kerana dasar yang dalam dan berarus deras itu berubah menjadi kering kontang.

Dalam pada itu, Mujibur berkata, keadaan kering kontang itu perlu diatasi segera kerana melibatkan kebajikan penduduk terutama nelayan sungai yang sukar untuk menangkap ikan.

 

Malah katanya, sekiranya dibiarkan ia mungkin bertambah teruk dan menjejaskan ekosistem dan sumber perikanan sungai yang menjadi sumber rezeki penduduk setempat.

Sementara itu, seorang penduduk, Khairul Nizam Omar,43, melahirkan kebimbangan kawasan kering itu semakin meluas sehingga menjejaskan lokasi baharu yang menempatkan ikan sangkarnya.

Malah katanya, keadaan itu juga dibimbangi akan menyebabkan banjir lebih teruk pada musim hujan nanti akibat sungai yang cetek. -KOSMO! ONLINE

Selangor, Kuala Lumpur kerjasama atasi masalah banjir

SHAH ALAM: Selangor dan Kuala Lumpur akan bekerjasama bagi menangani masalah banjir yang melibatkan limpahan air dari Hulu Selangor ke ibu kota dan seterusnya ke kawasan selatan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh Tseow Suan dalam kenyataan bersama berkata, kedua-dua negeri itu harus menggembleng tenaga bagi menguruskan saliran tersebut.

“Keperluan mendesak ini didorong faktor bahawa tiga daripada 10 rakyat Malaysia merupakan penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur. Rakyat di kedua-dua kawasan itu menyumbang 41.7 peratus kepada keseluruhan ekonomi Malaysia.

“Persetujuan dasar yang dicapai merangkumi pengurusan tanah, kapasiti takungan, ruang hijau, pembangunan bandar secara mampan dan pengaliran air. Lima tindakan yang dipersetujui bagi mengurangkan insiden banjir di Lembah Klang,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, kedua-dua mereka menggariskan lima tindakan iaitu mesyuarat Teknikal dalam tempoh dua minggu, kajian kapasiti Empangan Batu dan Klang Gate, pengenalpastian lokasi kolam takungan banjir baharu, peningkatan kapasiti tiga kolam sedia ada serta penyelarasan kerja pengorekan sungai dan pembuangan kelodak.

“Agensi teknikal berkaitan akan mengenal pasti lokasi yang sesuai di kawasan hulu sungai bagi pembinaan kolam takungan banjir baharu termasuk di Selangor.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan mengenal pasti tiga kolam sedia ada yang sesuai untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti takungan. Tiga kolam tersebut ialah Kolam Kampung Laksamana, Kolam Sungai Kertas dan kolam di Bukit Lagong,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu lagi, JPS Selangor bersama JPS Kuala Lumpur akan menyelaras pengenalpastian sungai di Kuala Lumpur dan Selangor yang memerlukan kerja pengorekan dan pengeluaran kelodak.

“JPS Kuala Lumpur juga akan membantu mengenal pasti tapak khas seluas 30 ekar yang sesuai bagi pembuangan sisa korekan kelodak di Selangor. Pemilihan tapak akan mengambil kira kesesuaian teknikal, status tanah, kaedah pengurusan kelodak serta kesannya terhadap alam sekitar dan kawasan berhampiran.

“Keutamaan kedua-dua pentadbiran adalah untuk mengurangkan risiko banjir, mengukuhkan daya tahan bandar selain mengurangkan keresahan apabila musim hujan, sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui perancangan yang lebih proaktif, tersusun dan bersepadu,” ujarnya. – UTUSAN

Malaysia hantar surat kepada Sekretariat ASEAN berkaitan isu jerebu

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengemukakan surat kepada Sekretariat ASEAN bagi membincangkan usaha bersama menangani isu jerebu yang memberi kesan kepada negeri Sarawak.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, surat berkenaan telah dihantar oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, langkah itu bertujuan mendapatkan kerjasama negara anggota ASEAN dalam mencari penyelesaian bersama agar setiap negara terlibat perlu bertanggungjawab terhadap masalah jerebu yang berlaku.

“Setiap negara ASEAN perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan masalah jerebu dapat ditangani secara berkesan.

“Surat itu sudah dihantar oleh Datuk Seri Mohamad Hasan dan dia nak tengok macam mana dalam ASEAN kita boleh bersama-sama menyelesaikan soal jerebu ini kerana setiap negara dalam ASEAN kena main peranan untuk memastikan penguatkuasaan pembakaran terbuka, pembakaran ladang.

“Perlu kita pastikan bahawa ini adalah perkara sangat penting, maka isu ini akan dibincang oleh Datuk Mohamad kepada rakan-rakan sejawat dia di ASEAN,”katanya pada sidang akhbar Perasmian Prog-Alpha Gen Talent @ Kemas di Arena Sukan KL, hari ini.

Sebelum ini, Malaysia akan mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN berhubung isu pembakaran terbuka di negara jiran yang menyebabkan cuaca jerebu bertambah teruk, khususnya di Sarawak.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada masa sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup akan mengutus surat kepada rakan sejawatannya di negara berkenaan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lawatan rasmi ke Brunei bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Johari berkata kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei.

Katanya, lawatan berkenaan diadakan secara bergilir setiap tahun, dengan Brunei dijangka mengadakan kunjungan ke Malaysia pada tahun depan.

“Lawatan itu memang rutin yang kita laksanakan setiap tahun. Tahun ini kita pergi ke sana, manakala tahun depan mereka pula akan datang ke Malaysia.

“Jadi, kali ini memang giliran kita untuk berkunjung ke Brunei. Ia hanya pertemuan dua hala yang diadakan seperti biasa, tidak ada perkara lain,” katanya. –UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search