Menunggang ketika cuaca panas
- Admin UKK
- Korporat
CUACA panas kesan fenomena El Nino di Lautan Pasifik memberi impak kepada peningkatan suhu tinggi di kawasan terdedah.
Malah Malaysia ketika ini sedang dilanda gelombang haba yang diramal berlanjutan sehingga September.
Negara kita pernah mengalami fenomena sama pada 2015 dan 2016 menyebabkan kemarau, iaitu pengurangan taburan hujan yang signifikan daripada biasa.
Fenomena El Nino boleh menyebabkan manusia terdedah dengan strok haba akibat terdedah dengan suhu panas melampau dalam tempoh lama.
Oleh itu, cuaca panas semestinya memberi kesan kepada mereka yang menunggang motosikal sama ada ulang-alik ke tempat kerja setiap hari atau yang melakukan 'ride' pada hujung minggu.
Bagi menangani cabaran menunggang motosikal dalam cuaca panas, ada beberapa tip yang boleh diikuti supaya kita dapat menunggang dengan selesa dan selamat.
1. Pilih pakaian yang sesuai dengan musim panas
Gunakan baju dan jaket yang memberikan aliran udara yang baik dan menyerap peluh. Namun sebagai penunggang motosikal, aspek keselamatan masih menjadi keutamaan maka jaket perlulah yang ada perisai.
Kasut dan topi keledar juga masih perlu diberi keutamaan, gunakan kasut yang sesuai dan selamat untuk menunggang, jangan pakai selipar dan gunakan topi keledar 'open face'. Jika pakai full face, boleh buka visor supaya udara dapat masuk.
Boleh juga amalkan basahkan pakaian untuk menyejukkan badan dan menjadikan anda lebih selesa.
2. Kekal hidrasi
Pening, sakit kepala, hilang tumpuan, mengantuk adalah tanda anda dehidrasi atau kehilangan air dalam badan. Gejala ini berlaku terutama ketika menunggang dalam keadaan cuaca panas.
Bagi mengekalkan hidrasi, kita perlu minum air kosong atau jus buah-buahan tanpa gula serta minuman isotonik tetapi jangan ambil minuman yang mempunyai kandungan gula tinggi kerana ia akan membuatkan badan dehidrasi lebih cepat.
Maka pastikan anda bawa botol air sekurang-kurangnya bersaiz dua liter.
3. Rancang masa, elak ride tengah hari
Bagi yang ulang-alik ke ke tempat kerja menunggang motosikal setiap hari anda kebiasaannya keluar rumah pada waktu pagi dan pulang petang di mana sinaran matahari di kedua-dua waktu itu tidak terlalu panas.
Namun bagi yang 'ride' hujung minggu, elakkan menunggang pada waktu tengah hari kerana ketika itu pastinya suhu paling panas. HARIAN METRO
4. Kerap berhenti untuk rehat
Menunggang motosikal untuk yang lama menyebabkan badan keletihan dan ditambah dengan cuaca panas, keletihan akan berlaku lebih cepat sekali gus membuatkan penunggang hilang fokus.
Oleh itu jika menunggang ke lokasi jauh dalam keadaan cuaca panas, eloklah berhenti dan berehat lebih kerap. Lebih molek jika berhenti untuk minum air kelapa bagi menyegarkan semula badan.
5. Guna jalan teduh dilitupi pokok
Bagi yang merancang mahu menunggang hujung minggu dalam keadaan cuaca panas, cuba cari laluan yang teduh dengan bayang pokok kerana selain mengelak terkena cahaya matahari ia juga memberikan suasana lebih selesa dan sejuk.