PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen Logistik

Pemantauan keselamatan tapak projek mega diperkasa

Pemantauan keselamatan tapak projek mega diperkasa

LIMBANG, 2 Ogos: Aspek pemantauan keselamatan di kawasan pelaksanaan projek mega di daerah ini terus diperkasakan bagi memastikan pematuhan undang-undang, ketenteraman awam dan keselamatan infrastruktur sentiasa terpelihara.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, rondaan dan pemantauan di tapak pembinaan turut dipertingkatkan bagi membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja.

Menurutnya, pegawai dan anggota polis turut diarahkan mendapatkan maklumat daripada pemaju serta penyelia tapak projek bagi memastikan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dikesan dan dibendung lebih awal.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan pemaju projek, selain mengadakan taklimat keselamatan dan langkah-langkah pencegahan. Setakat ini, keadaan adalah selamat dan terkawal termasuk di kawasan pelaksanaan projek-projek mega di Limbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Kempen Derma Darah anjuran Musyati Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Limbang, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Projek Musyati Sdn. Bhd., Steven Sim berkata, penganjuran kempen berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam membantu Hospital Limbang menambah bekalan darah bagi keperluan pesakit.

Beliau menjelaskan, menderma darah merupakan amalan mulia yang mampu menyelamatkan nyawa kerana setiap pek yang disumbangkan berpotensi memberi peluang kedua kepada pesakit, termasuk kanak-kanak, mangsa kemalangan dan individu yang memerlukan rawatan.

“Kami amat menghargai peranan PBSM Cawangan Limbang dalam berkhidmat kepada masyarakat, khususnya melalui penganjuran kempen derma darah serta tindakan pantas mereka ketika menghadapi kecemasan dan bencana, termasuk insiden kebakaran di Medamit baru-baru ini,” ujarnya.

Menurut Steven, kempen tersebut mencerminkan semangat perpaduan dan keprihatinan masyarakat, sekali gus membuktikan setiap individu mampu menyumbang ke arah perubahan yang positif.

“Membina Limbang yang lebih baik bukan sekadar membangunkan infrastruktur, malah memastikan kebajikan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan.

“Kami berharap dapat terus berganding bahu dengan PBSM Limbang, pihak berkuasa tempatan serta pelbagai pertubuhan masyarakat dalam berkhidmat kepada komuniti dan membantu mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Selain menggalakkan budaya menderma darah, Musyati Sdn. Bhd. turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada PBSM Cawangan Limbang bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemanusiaan.

“Semoga sumbangan kecil ini dapat membantu memperkukuh usaha-usaha kemanusiaan yang dilaksanakan PBSM, di samping menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk terus menyumbang kepada masyarakat,” katanya.-TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search