PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Pingat Persekutuan khusus untuk anggota penyelamat

Pingat Persekutuan khusus untuk anggota penyelamat

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti syor untuk mewartakan pingat khidmat khusus anggota penyelamat yang terbabit dalam misi kemanusiaan sebagai Pingat Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata secara prinsipnya perkara itu sudah dipersetujui dan ketika ini pihak yang berkenaan sedang memuktamadkan prosesnya dengan Bahagian Istiadat, Istana Negara.

Katanya, selepas selesai, anugerah Pingat Khas ini akan dinaik taraf sebagai Pingat Persekutuan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada anggota kerajaan khususnya pasukan beruniform yang terbabit dengan mana-mana misi menyelamat ditetapkan kerajaan.

Katanya, pada masa ini Pingat Khas yang diberikan hanya sekadar di peringkat dalaman yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Secara dasarnya cadangan ini telah dipersetujui di peringkat Kabinet dan bagi permulaan kita menganugerahkan Pingat Khas ini terlebih dahulu kepada anggota yang terlibat," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Pingat Khas Misi Bantuan Kemanusiaan Dan Bencana, di sini hari ini.

Seramai 250 anggota yang terbabit dalam misi itu di Gaziantep,Turkiye, Februari lalu menerima Pingat Khas.

Sebelum ini Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya semua petugas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berkhidmat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria diberikan elaun khas, sijil penghargaan serta pingat khidmat khusus sebagai menghargai pengorbanan serta komitmen petugas terbabit.

Anggota yang terbabit dalam misi itu terdiri daripada SMART, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Armizan berkata, anugerah julung kali itu menjadi satu pembaharuan dilakukan Kerajaan Perpaduan.

"Kita juga bercadang dan sedang mengkaji untuk memberikan pengiktirafan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam misi kemanusiaan," katanya.-BERITA HARIAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search