PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen Penyelarasan Operasi

Isu jalan putus akibat banjir di Chukai selesai

Isu jalan putus akibat banjir di Chukai selesai

CHUKAI: Masalah jalan terputus sering dihadapi penduduk akibat banjir diselesaikan selepas projek naik taraf jalan Persekutuan menghubungkan Chukai ke Air Putih siap sepenuhnya, April lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek naik taraf membabitkan kos RM192.8 juta itu dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu bermula Mei 2017.

"Projek ini membabitkan kerja naik taraf jalan sedia ada sepanjang 11.4 kilometer (km) dari persimpangan Tol Chukai Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) ke Jalan Persekutuan di Kemaman dengan piawaian JKR R5 yang lebih lebar.

"Turut dibina sebuah jambatan baharu sepanjang 25 meter (m) di Sungai Tempurung, jambatan tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepanjang 313m, serta menaikkan aras jalan kira-kira dua meter tinggi di lokasi banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan projek berkenaan daripada JKR Terengganu kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini, hari ini.

 

Alexander berkata, KKR sebelum ini menerima permohonan daripada kerajaan Terengganu untuk menaik taraf dan meninggikan aras jalan berkenaan bagi mengurangkan kesan akibat banjir, selain menyediakan infrastruktur awam yang selesa dan selamat untuk pengguna.

"JKR sentiasa memantau keperluan lebih-lebih lagi di kawasan terkena banjir.

"KKR mempunyai data dan maklumat, jadi langkah yang diambil termasuk selepas kenal pasti keperluan itu, kita cari bagaimana (penyelesaiannya) untuk kerja pembaikan secepat mungkin dengan keutamaan di jalan-jalan Persekutuan," katanya.

Tahun lalu, jelasnya, KKR memperuntukkan lebih RM28 juta bagi projek naik taraf dan baik pulih 68 batang jalan Persekutuan di Terengganu membabitkan kerja pavemen berkala dan tidak berkala.

Projek berkala pavemen meliputi kerja-kerja penurapan jalan dan baik pulih lapisan permukaan jalan seperti resurfacing (penurapan semula), mill and pave (mengisar dan menurap), partial reconstruction (pembinaan semula sebahagian) dan reconstruction (pembinaan semula).

Projek berkala bukan pavemen membabitkan kerja pembaikan, baik pulih, penggantian dan pemasangan baharu semua item bukan pavemen dalam rizab jalan seperti bina baharu longkang konkrit, memasang baharu perabot jalan termasuk papan tanda serta baik pulih struktur dan cerun. -BERITA HARIAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search