PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen Pelaksanaan Operasi

Percepat pelan mitigasi banjir

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan dan negeri didesak mempercepatkan pelan mitigasi banjir di beberapa kawasan berisiko Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning bagi menangani bencana itu daripada terus menghantui penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi pelan mitigasi banjir dan berharap pelaksanaan projek itu memberikan bantuan kepada komuniti setempat.

Menurut beliau, antara kawasan berisiko banjir seperti di Taman Sri Muda (TSM), Bukit Kemuning, Greenville, Kampung Bukit Lanchong dan semua taman perumahan di DUN berkenaan.

"JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) telah memberikan kemas kini mengenai status projek-projek yang sedang dijalankan dan amat menghargai usaha mereka, namun kami mendesak agar projek tersebut dipercepatkan.

 "Kami memahami bahawa penduduk telah menunggu terlalu lama untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan," katanya. Preakas berkata, penjagaan sistem saliran air amat penting dan berharap ia diberi keutamaan oleh pihak bertanggungjawab.

"Banjir berulang kali menyebabkan tekanan dan kerugian harta benda dan saya menegaskan ini masa paling sesuai untuk memberi keutamaan kepada rakyat berbanding projek mega yang boleh ditangguhkan," jelas beliau.

Beliau memberitahu, penduduk juga membangkitkan kerisauan mereka berhubung koordinasi antara agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu banjir.

Ujarnya, ketiadaan koordinasi telah menyebabkan penderitaan penduduk dan pihaknya mendesak semua pihak bekerja secara bersatu serta cekap dalam menangani isu tersebut dengan segera.

"Untuk memastikan ketelusan dan memberikan maklumat kepada komuniti, saya akan memuat naik kemas kini berkaitan di laman Facebook, Instagram, aplikasi X dan TikTok.

"Kami sedang mengkaji situasi ini secara aktif, dan dengan tekad kami menetapkan sasaran untuk menangani kebimbangan ini secepat mungkin," tambah beliau.

Dalam pada itu, Preakas memberitahu, pemasangan pam skru yang sepatutnya siap pada Rabu berdepan masalah berikutan berlakunya pergerakan tanah yang tidak terduga.

Bagaimanapun, ujar beliau, tindakan segera telah diambil untuk mengukuhkan platform sebelum pembinaan stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersebelahannya dapat diteruskan.

"Kami mengakui kepentingan dan kecemasan dalam menangani perkara ini, selain berjanji untuk terus memantau dengan teliti dan bertindak secepat mungkin bagi menyelesaikan isu yang tidak dijangka ini demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

"Saya juga ingin mendapatkan laporan terperinci punca banjir semalam daripada MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan JPS dalam kadar segera supaya dapat mengambil tindakan seterusnya serta tidak boleh menerima sebarang kelewatan dan memandang hal ini serius."Keselamatan dan kesejahteraan penduduk DUN Kota Kemuning adalah keutamaan saya dan dengan komitmen tinggi, saya berjanji untuk terus bekerja tanpa henti dalam menyelesaikan isu-isu banjir yang terus mengganggu komuniti kita," jelas beliau.

Penduduk berpindah ke PPS meningkat

KUCHING: Jumlah penduduk yang dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak hari ini meningkat seramai 441 orang berbanding 362 pada petang semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 27 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Assyakirin, Bintulu.

PPS Balai Raya Kampung Assyakirin itu dibuka sejak jam 4 petang Khamis lalu bagi menempatkan mangsa ribut yang mengalami kerosakan rumah di Iris Garden dan Pine Court, Bintulu.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS iaitu satu di Tatau, Bintulu dan satu di Debak, Betong pula meningkat manakala satu lagi kekal.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Muput yang dibuka sejak jam 4 petang Khamis lalu bagi menempatkan mangsa banjir di Rumah Panjang Steven, Tatau di Bintulu kini dihuni seramai 55 orang daripada 27 keluarga berbanding 52 orang semalam.

PPS Dewan Millenia Debak yang menempatkan mangsa banjir di Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu pula kekal dengan 141 orang mangsa banjir daripada 39 keluarga.Sementara itu, penghuni PPS Dewan Perpaduan Debak yang turut menempatkan mangsa banjir di Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu pula meningkat seramai 218 orang daripada 70 keluarga berbanding 142 orang daripada 39 keluarga semalam.

SMART ke Jepun, AS jalani latihan

PUCHONG: Kerajaan bercadang menghantar anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke luar negara bagi meningkatkan kepakaran pasukan menangani bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) dicadangkan memandangkan negara itu mempunyai kecekapan pengurusan bencana yang lebih baik serta terbaik di dunia.

“Mereka (Jepun dan AS) banyak pengalaman berhadapan bencana. Pengalaman, peralatan dan teknologi mereka lebih daripada kita. 

“Jadi, kita perlu belajar daripada pihak yang mempunyai ketiga-tiga elemen itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun 2024 bersama Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Markas SMART NADMA Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini. – UTUSAN

Previous Next

12 Disember 2023, Perlis - Telah berlangsung Sesi Kunjungan Hormat YBhg. Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril bin Idrus ke atas Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Perlis, Puan Maznah binti Musa pada jam 9.30 pagi bertempat di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis. Sesi kunjungan hormat ini bertujuan untuk membincangkan mengenai peruntukan bantuan bencana dan menjelaskan isu-isu semasa berkaitan bantuan bencana.
 
Sesi ini diteruskan dengan Kunjungan Hormat ke atas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Encik Rusdi bin Yahya. Sesi kunjungan hormat ini adalah untuk membincangkan kerjasama dan keperluan pengurusan bencana antara NADMA dan Kerajaan Negeri Perlis termasuk pembentangan perbelanjaan negeri Perlis bagi peruntukan yang telah disalurkan oleh NADMA. Sesi kunjungan hormat ke SUK Perlis ini turut dihadiri oleh wakil APM Perlis, JKM Perlis dan ICU Negeri Perlis. Selain itu, YBhg. Ketua Pengarah NADMA turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas YDH DCP Dato' Muhammad bin Abdul Halim, Ketua Polis Perlis bagi mendapatkan pandangan mengenai peruntukan yang telah disalurkan bagi menambahbaik PKTK dan beberapa cadangan penambahbaikan pengurusan bencana termasuk aspek SOP dan latih amal di Perlis dan seluruh negara secara amnya.
 
Previous Next

17 November 2023 - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengadakan sesi RETREAT sempena MTL 2023/2024, bersama YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas. Objektif program ini adalah untuk memantapkan gerak kerja dan cabaran yang mendatang dalam menghadapi MTL selaras dengan kehendak Malaysia Madani Siaga Bencana. Selain itu Program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Tanaki, Papar, sebagai jaringan kerja sama Pengurusan Bencana peringkat komuniti.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search