PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen ICT

Pembenihan awan tumpu tiga kawasan di Sabah

KOTA KINABALU - Pembenihan awan yang dilaksanakan bermula Khamis menumpukan tiga kawasan utama iaitu di pantai barat dan pantai timur Sabah.

Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Ahmad Fairudz Jamaluddin memaklumkan bahawa Ibu Pejabat MetMalaysia ada menerima permohonan daripada kerajaan Sabah untuk melaksanakan pembenihan awan tersebut. 

Menurutnya, mesyuarat untuk pelaksanaan proses pembenihan awan itu telah dilakukan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Bagaimanapun, tempoh hari ia tidak boleh terus dilakukan kerana keadaan cuaca yang kering. Apabila kajian dibuat tarikh 28, 29 dan 30 Mac mempunyai udara yang lembab sesuai untuk tujuan pembenihan awan.

 "Jadi kita memutuskan tarikh tersebut untuk dilaksanakan pembenihan awan yang dimulakan hari ini yang secara amnya dilakukan di tiga kawasan utama iaitu dua di pantai timur Sabah iaitu Tawau dan Sandakan manakala satu lagi di Papar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, keupayaan pesawat TUDM hanya mampu memuatkan sekitar empat tangki air bancuhan untuk tujuan proses pembenihan awan tersebut. 

"Jadi empat tangki itu secara asasnya kami anggarkan mungkin cukup untuk dua daripada tiga kawasan tersebut. Setiap satu tangki membabitkan bancuhan sebanyak 1,500 liter air dan 200 kilogram garam.

"Keseluruhannya untuk empat tangki air terdapat 6,000 liter air dan 800 kilogram garam yang digunakan untuk tujuan pembenihan awan tersebut," katanya. 

Ahmad Fairudz bagaimanapun berkata, proses itu tetap bergantung dengan keadaan cuaca lembab dan angin di lapangan mengikut taklimat akhir sebelum pelaksanaannya.

"Jadi hari ini bergantung pada keadaan di lapangan dan juga taklimat akhir. Semua bergantung dengan keadaan, jika ada awan terbentuk dan faktor angin maka jam 11 pagi pesawat bolehlah diterbangkan untuk melakukan proses tersebut," jelasnya. Sebelum itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkongsi di laman Facebook miliknya bahawa Pasukan Operasi Pembenihan Awan Sabah telahpun berlepas dari Labuan untuk proses pembenihan awan di negeri ini.

Fenomena Lahaina Noon

KUALA LUMPUR: Negara sedang mengalami fenomena Lahaina Noon, iaitu bayang-bayang seseorang hampir tidak kelihatan yang diunjurkan berlaku pada jam 1.18 tengah hari.

Tinjauan di Dataran Merdeka menyaksikan rata-rata pengunjung luar dan tempatan kurang menyedari mengenai fenomena berkenaan, sebaliknya mereka melakukan kegiatan biasa dengan merakam gambar sebagai kenangan.

Dalam masa yang sama, kemungkinan keadaan awan yang ada kalanya mendung dan panas pada waktu tertentu tidak dapat menunjukkan dengan jelas keadaan bayang-bayang hampir tiada ketika itu.

Bagi pelajar, Adlina Johari, 21, beliau tidak menyedari perubahan dan fenomena berkenaan memandangkan cuaca ketika ini panas seperti biasa. 

"Setiap hari saya rasakan sama saja memandangkan cuaca ketika ini panas dan ada kalanya mendung sekejap.

"Bagaimanapun saya teruja apabila mengetahui berkenaan fenomena ini dan akan cuba untuk melihat bagaimana keadaan apabila tiada bayang-bayang itu,"katanya kepada BH, di sini, hari ini. 

Rata-rata pengunjung yang berada di situ merakam gambar dan kebanyakannya pengunjung luar seperti dari China.

Fenomena Lahaina Noon yang berlaku dua kali dalam setahun meliputi kawasan yang terletak di antara garisan Sartan dan Jadi.

Secara geografi asas, Sartan atau Tropic of Cancer serta lawannya, iaitu Jadi atau Tropic of Capricorn terletak masing-masing garisan latitud 23 darjah utara dan 23 darjah selatan.

Kedua-duanya had lingkungan maksimum zenith dan turut berlaku di Makkah apabila matahari melintasi tepat atas Kaabah yang dirujuk falak sebagai Istiwa A'dzam.

Sementara itu, di Masjid Putra pula ia akan menyaksikan bayang-bayang seluruh dunia menghala tepat di menara masjid ikonik Putrajaya itu tiga minit sebelum azan Zohor.

Kemarau: Kerajaan Kelantan gali 100 telaga tiub bantu pesawah

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan menggali 100 buah telaga tiub bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang menghantui pesawah di negeri ini akibat kemarau.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerja-kerja tersebut melibatkan peruntukan penuh daripada pihak kerajaan Kelantan.

 

"Antara kawasan sawah yang terlibat ialah Salor (Kota Bharu), Pasir Puteh, Jelawat dan beberapa lagi lokasi lain yang turut terkesan dengan masalah tersebut.

"Kerja-kerja ini dilakukan secara berperingkat-peringkat. Hal ini kerana, Kelantan berdepan dengan tenaga kerja untuk melakukan tugas tersebut buat masa ini," katanya kepada pemberita. 

Menurutnya, kerja-kerja menggali itu melibatkan kedalaman antara 42.6 meter hingga 76.2 meter bergantung kepada lokasi yang berdepan dengan masalah tersebut.

Tuan Mohd Saripudin memberitahu, selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan pam-pam bergerak dan jumlah keseluruhan yang diperuntukan untuk perkara ini bernilai RM200,000. "Kerajaan negeri mengambil serius perkara ini. Pada masa sama, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan berpadu tenaga dalam berdepan situasi kemarau. "Agensi negeri dan pusat yang terlibat ialah KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu), IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu) Kemasin Semerak, Jabatan Pertanian serta JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran)," katanya. Dalam perkembangan lain, menurut beliau sebanyak 7,000 hektar kawasan padi di negeri ini telah mengalami kerosakan akibat kemarau dan pesawah yang terkesan boleh membuat laporan kepada Jabatan Pertanian bagi mendapatkan bantuan di bawah tabung bantuan bencana. 

Proses pembenihan awan di Sabah bermula hari ini

KOTA KINABALU - Operasi pembenihan awan untuk menghasilkan hujan bagi mengurangkan situasi kemarau yang dihadapi di Sabah dimulakan pada Khamis.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan pasukan operasi pembenihan awan tersebut telah berlepas dari Labuan. 

"Pasukan Operasi Pembenihan Awan Sabah berlepas dari Labuan. Semoga dipermudahkan segalanya," kongsinya bersama beberapa gambar mengenai operasi tersebut.

Hajiji pada Rabu memaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mencadangkan operasi pembenihan awan dilaksanakan pada Khamis hingga Sabtu bagi kawasan yang terjejas di negeri ini. 

Katanya, kos untuk pembenihan awan akan ditanggung sepenuhnya oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan MetMalaysia telah bersetuju menyediakan sumber manusia serta bantuan teknikal untuk tujuan itu.

Beliau turut memaklumkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri. 

Urus fenomena perubahan cuaca panas kurangkan kesan El Nino

Cuaca panas memberi kesan kepada tingkah laku manusia seperti mana dihuraikan oleh bapa Sosiologi Muslim iaitu Ibn Khaldun di dalam buku beliau yang terkenal iaitu Muqaddimah. Menurutnya lokasi manusia tinggal akan mempengaruhi budaya, nilai, pekerjaan, cara pakai dan pemakanan masyarakatnya.

Manusia di kawasan beriklim panas, tingkah laku mereka akan lebih kasar berbanding yang tinggal di lokasi sejuk. Kenyataan ini selaras dengan kajian oleh pengkaji terkini yang mendapati cuaca serta suasana panas akan meningkatkan tingkah laku agresif.

Hari ini kita di Malaysia sedang mengalami fenomena El Nino. Walaupun ia sudah diingatkan namun tidak terjangka kepanasannya akan seperti sekarang. Bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas, mengharungi Ramadan dalam cuaca normal bukanlah mudah apatah lagi dalam keadaan terik seperti sekarang.

Mengurus fenomena perubahan cuaca yang sangat memberi kesan kepada manusia bukanlah perkara mudah. Hal ini disebabkan ia bukan sahaja memberi kesan kepada tingkah laku manusia malah seluruh ekosistem termasuk tanam-tanaman serta hasil laut dan seterusnya membawa kepada isu lebih serius iaitu keterjaminan makanan.

Justeru, kita sangat mengalu-alukan cadangan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) supaya pemakaian uniform sekolah boleh diganti dengan penggunaan pakaian sukan kerana lebih fleksibel.

Kebenaran itu tentu saja melegakan banyak pihak terutama sekali ibu bapa serta guru. Tentu mereka sangat bersimpati dengan anak-anak kecil yang sedang belajar berpuasa namun dalam masa sama perlu mengharung kepanasan cuaca.

Bukti nilai empati situasi semasa

Tindakan itu jelas memperlihatkan nilai empati serta sensitif dengan apa yang berlaku di persekitaran dan ia adalah perkara penting dalam membentuk ekosistem masyarakat prihatin dan cakna. Ini juga bersesuaian dengan Islam itu sendiri yang melambangkan konsep ‘Rahmatan lil alamin’ iaitu agama yang membawa kesejahteraan di muka bumi ini.

Perubahan hormon dan tingkah laku pelajar yang baru beradaptasi dengan keadaan sekolah juga perlu diberi perhatian oleh guru dan pentadbir sekolah. Ini kerana pendedahan kepada suhu panas secara semula jadi meningkatkan kadar denyutan jantung di samping mengurangkan keselesaan, apatah lagi dalam suasana kelas yang mungkin jumlah muridnya mencecah hingga 40 orang.

Suasana begini juga akan meningkatkan sikap agresif dan perasaan mementingkan diri serta permusuhan dalam kalangan kanak-kanak mahupun yang dewasa. Tekanan haba juga mengurangkan prestasi kognitif individu dan seterusnya mewujudkan suasana tidak selesa sehingga membuatkan individu menjadi cepat marah.

Guru yang peka akan prestasi kognitif kanak-kanak merundum disebabkan oleh cuaca serta suasana panas boleh mempelbagaikan suasana pengajaran supaya mereka tidak terjejas teruk dengan keadaan semasa. Kefahaman ini juga harus ada pada setiap ibu bapa kerana apabila kanak-kanak ini balik dari sekolah mereka berpotensi untuk meragam. Hal ini akan menyebabkan perkara yang kecil boleh menjadi besar sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Berdasarkan data dan maklumat diperoleh, semua pihak harus mengambil tanggungjawab bagi memastikan kesan akibat perubahan cuaca yang drastik ini diminimumkan sebanyak mungkin. Ia harus dimulai oleh kepimpinan utama dengan menggubal polisi yang mampu diterjemahkan oleh pihak pemantau dan juga masyarakat secara amnya.

Mengurus fenomena perubahan cuaca yang sangat memberi kesan kepada manusia bukanlah perkara mudah. Hal ini disebabkan ia bukan sahaja memberi kesan kepada tingkah laku manusia malah seluruh ekosistem

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search