SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan akan berlaku ribut petir berserta hujan lebat di Kelantan dan Terengganu bermula pada petang 3 Disember hingga 4 Disember ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan fenomena itu berlaku disebabkan penumpuan angin yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh tersebut.
“Luruan monsun pula dijangka bermula pada 8 hingga 14 Disember 2024. Keadaan ini pula berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
BAGAN DATUK: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan trak berkapasiti tujuh, lima dan tiga tan bagi mengangkut calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke asrama dan pusat peperiksaan mulai semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan semua calon boleh berada di pusat peperiksaan pada waktu yang ditetapkan.
“Keputusan ini selaras permohonan dibuat Menteri Pendidikan. Di Kelantan terdapat 3,011 calon SPM, 1,734 di Terengganu dan 532 calon di Kedah yang akan menduduki peperiksaan tersebut mulai esok.
“Terdapat 174 sekolah di seluruh negara yang terjejas akibat banjir dengan Kelantan paling tinggi jumlah terjejas iaitu 80 sekolah,” katanya.
Di Terengganu, sebanyak 62 buah sekolah terjejas manakala 14 buah sekolah di negeri Kedah turut terjejas akibat bencana berkenaan.
Dalam pada itu, sebanyak 396 buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan sekolah di seluruh negara setakat ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program One Stop Centre Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Bagan Datuk di sini, hari ini.
SEREMBAN - Jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan menunjukkan trend penurunan dengan mencatatkan seramai 1,617 mangsa berbanding 2,120 mangsa sebelum ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi Facebooknya memaklumkan setakat jam 4 petang Ahad, terdapat lapan pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.
"Ia membabitkan PPS di daerah Jempol, Tampin dan Kuala Pilah yang menempatkan 439 bilangan ahli keluarga menjadikan jumlah 1, 617 mangsa dan menunjukkan trend penurunan.
"Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan termasuk agensi kerajaan yang membantu membersihkan rumah dan menyantuni mangsa banjir di negeri ini.
"Khidmat dan bantuan yang diperlukan waktu ini adalah usaha pembersihan rumah kepada mangsa yang telah dibenarkan pulang dari PPS.
"Kepada sukarelawan yang ingin turun membantu diharap dapat menghubungi pihak Pusat Khidmat Operasi Banjir Daerah (PKOB) bagi menyelaraskan kerja-kerja pembersihan," katanya.
Aminuddin dalam kenyataannya sebelum ini berkata, pihaknya telah menyelaraskan bantuan-bantuan untuk seluruh mangsa banjir bersama dengan agensi-agensi yang terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysian (APM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Keselamatan semua mangsa adalah diutamakan, kerajaan Negeri Sembilan telah mewujudkan Negeri Sembilan Command Centre (NeSCOM) bagi sebarang laporan berhubung dengan situasi banjir di negeri ini.
"Sebarang pertanyaan boleh dirujuk menerusi talian 012-9446380 (Lt. M (PA) Mohd Adib). Kerja-kerja pembersihan rumah-rumah mangsa akan digerakkan sejurus situasi banjir berakhir," katanya.
IPOH: Kinta menjadi antara empat daerah terbaharu di Perak yang dilanda banjir kilat susulan hujan berterusan.
Selain Kinta, tiga lagi daerah baharu yang dilanda banjir adalah daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) Hilir Perak, serta Kampar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Bomba Perak hari ini menerima panggilan berhubung insiden banjir yang berlaku di Kampung Tasek dan Kampung Seri Kinta.
Katanya, panggilan diterima jam 11.05 pagi tadi mengenai banjir yang berlaku di Kampung Tasek membabitkan lima mangsa terperangkap; serta jam 12.21 tengah hari tadi mengenai banjir di Kampung Seri Kinta juga membabitkan insiden lima mangsa terperangkap banjir.
Katanya, mangsa di Kampung Tasek terdiri dari dua lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak yang diselamatkan menggunakan bot; manakala mangsa di Kampung Seri Kinta membabitkan seorang lelaki warga emas, tiga wanita warga emas dan seorang kanak-kanak.
“Mangsa di Kampung Tasek dipindahkan sementara ke Dewan Orang Ramai Kampung Tasek, manakala mangsa di Kampung Seri Kinta dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Seri Kinta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh menerusi hantaran Facebook (FB) hari ini memaklumkan, BBP Ipoh menerima banyak panggilan kecemasan berhubung banjir di beberapa tempat sekitar Ipoh.
Menurut hantaran itu, operasi menyelamatkan mangsa banjir masih diteruskan di sekitar Kampung Tasek Seberang, Anjung Bercham Utama, Persiaran Taman Tasek, Kepayang Putra, Kampung Kepayang Fair Park dan beberapa tempat lain.
ALOR SETAR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan pengendali pusat pemindahan sementara (PPS) supaya memastikan kualiti makanan terjaga bagi mengelak berlaku sebarang kes keracunan makanan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata amat penting untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan yang disediakan di PPS, selain mengawal penularan penyakit bawaan banjir sepanjang tempoh bencana itu.
“Paling mustahak, pastikan tiada kes keracunan makanan atau penyakit yang berkaitan dengan banjir. Buat masa ini, tiada kes penyakit berjangkit seperti leptospirosis (kencing tikus).
“Selepas banjir, kemungkinan wabak denggi akan memerlukan pemantauan rapi. Apa-apa pun, yang paling penting, sesiapa yang memerlukan rawatan khusus akan dipindahkan, misalnya untuk rawatan hemodialisis,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya berpuas hati dengan pengurusan fasiliti kesihatan di negeri ini yang berada dalam keadaan terkawal, setakat ini.
Beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri juga akan terus memantau dan menambah baik kualiti perkhidmatan mereka.
Katanya, fasiliti kesihatan bawah KKM yang terjejas akibat banjir, telah dipindahkan ke lokasi terdekat bagi memastikan perkhidmatan rawatan dapat diteruskan seperti biasa walaupun dalam situasi bencana.
“Kami berharap cuaca akan bertambah baik selepas ini. Diharapkan juga cuaca di negara jiran akan reda supaya limpahan air dari sana tidak menjejaskan kawasan kita,” katanya.
Sepanjang tempoh banjir, beliau berkata, petugas KKM akan diarahkan membantu fasiliti yang memerlukan jika perlu.
“Misalnya, mungkin ada petugas dihantar ke negeri lain atau ke daerah lain dalam negeri yang sama untuk membantu,” katanya. – BERNAMA
