PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen ICT

Jerebu kembali melanda negara

PETALING JAYA: Fenomena jerebu yang pernah melanda negara kembali memburuk apabila 12 kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) susulan fenomena Super El-Nino dan kebakaran hutan di Indonesia.

Cuaca panas yang melanda rantau ini sejak minggu lalu menyebabkan lebih 107,000 hektar kawasan hutan terbakar di seluruh Indonesia setakat ini, kira-kira dua kali ganda berbanding keluasan yang direkodkan sebelum ini. 

Situasi itu memaksa aktiviti luar bilik darjah bagi sekolah di Sarawak yang berada di kawasan mencatatkan IPU melebihi 100 diarahkan dihentikan serta-merta.

Dalam pada itu, jerebu semakin buruk apabila kualiti udara 12 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU  tahap tidak sihat susulan fenomena Super El-Nino dan kebakaran hutan di Indonesia.

Sistem Pengurusan Indeks Pen­cemaran Udara (APIMS) setakat pu­kul 4 petang semalam me­nunjukkan Serian, Sarawak mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 190. 

Selain itu, 11 lokasi IPU tidak sihat adalah Samarahan dengan bacaan 169, Kuching (166), Bintulu (159), Samalaju (155), Mukah (155), Sri Aman (155), Sibu (154), Sarikei (154), Johan Setia, (151) dan Miri (145) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (119).

Pada masa sama, sebanyak 22 kawasan di Selangor, Putrajaya, Melaka, Labuan, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Johor turut mencatatkan IPU sederhana melebihi bacaan 80.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai sihat, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).

Sebanyak lima kawasan di Lembah Klang mencatatkan bacaan IPU melebihi 80 iaitu membabitkan Shah Alam pada kadar 98, Banting (92), Petaling Jaya (88), Kuala Selangor (87) dan Klang (83).

Kawasan lain mencatatkan bacaan melebihi 80 adalah Putrajaya pada kadar 97, Cheras (92), Batu Muda (90) dan Labuan (89).

Beberapa kawasan di Johor turut dilaporkan terjejas membabitkan Segamat pada bacaan 86, Batu Pahat (82), Kluang (81), Pasir Gudang (81) dan Tangkak (80).

Lain-lain kawasan yang mencatatkan bacaan melebihi 80 adalah Bukit Rambai, Melaka (90); Temerloh, Pahang (87); Alor Gajah, Melaka (86); Tanjung Malim, Perak (85); Nilai, Negeri Sembilan (84); Kota Kinabalu, Sabah (83); Politeknik Kota Kinabalu, Sabah (83) dan Seremban, Negeri Sembilan (82).

Semalam, media Indonesia melaporkan lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh negara tersebut terjejas akibat kebakaran dengan kerajaannya meningkatkan usaha bagi mengelakkan jerebu rentas sempadan menjejaskan negara jiran.

Enam wilayah, iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan, sedang dipantau rapi sebagai kawasan paling kritikal.

Situasi itu menyebabkan puluhan sekolah di Indonesia ditutup untuk hari kedua berturut-turut pada Selasa susulan krisis jerebu akibat kebakaran hutan yang semakin buruk di seluruh negara itu.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago berkata, situasi tersebut berlaku pada permulaan musim kemarau yang panjang dan lebih ekstrem tahun ini, yang turut dipengaruhi fenomena cuaca El Nino.

“Kami telah menegaskan kepada anggota di lapangan bahawa usaha ini bukan sekadar memadamkan kebakaran dan melindungi alam sekitar serta kesihatan awam. Sebaliknya ia juga adalah tanggungjawab negara yang perlu dipikul bersama,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan fenomena El Nino berpotensi menjadi kuat dan boleh mencapai tahap super dengan kebarangkalian peningkatan 96 peratus hingga awal tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ramalan terkini daripada Pusat Ramalan Iklim (CPC) Amerika Syarikat menunjukkan peluang El Nino berlaku mulai bulan ini adalah 82 peratus.

Fenomena El Nino yang kuat boleh mempercepatkan kebakaran hutan dan tanah serta dijangka berterusan sehingga sekitar awal Oktober atau awal tahun depan.-UTUSAN

 

 

 

 

China guna alasan taufan kawal trafik Selat Taiwan

TAIPEI: Taiwan menyifatkan cubaan China mengenakan langkah kawalan trafik terhadap kapal yang menuju ke Selat Taiwan ketika Taufan Dolphin melanda sebagai ‘tidak masuk akal’, menegaskan Beijing tidak berhak menyekat akses ke perairan antarabangsa.

Pada Rabu, media kerajaan China melaporkan, kapal yang menuju ke utara melalui pintu masuk selatan Selat Taiwan perlu mematuhi langkah kawalan trafik bermula malam Khamis  berikutan kedatangan taufan berkenaan.

Menurut laporan itu, semua kapal perlu mematuhi arahan berkenaan, memilih perairan selamat untuk berlindung daripada ribut serta mengikut arahan pihak berkuasa pengurusan maritim di lokasi bagi memastikan keselamatan pelayaran.

“Kenyataan tidak munasabah dan kasar daripada jabatan Parti Komunis China berkenaan mencerminkan kejahilan, sikap tidak mengendahkan serta pencabulan terhadap ketertiban dan norma antarabangsa. Ia benar-benar tidak masuk akal.

“Urusan Taiwan sendiri tidak memerlukan campur tangan Parti Komunis China,” kata Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan dalam satu kenyataan dipetik Reuters.

Dalam kenyataan berasingan, Pengawal Pantai Taiwan berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang pergerakan luar biasa oleh kapal China dan tiada syarikat perkapalan melaporkan mengalami gangguan siaran.

Pengawal Pantai turut menggesa kapal dagang dan kapal kargo yang melalui kawasan itu supaya mengabaikan sebarang arahan melalui siaran radio daripada China yang mungkin diterima serta segera melaporkan kejadian berkenaan.

Pihak berkuasa berkata, mereka akan mengambil semua langkah yang diperlukan bagi memastikan kebebasan dan keselamatan pelayaran.

Taufan Dolphin bergerak ke Jepun dan utara Taiwan sebelum melanda pantai timur China lewat Sabtu.

Gempa bumi sederhana landa selatan Sumatera

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter melanda Selatan Sumatera, Indonesia pada 11.15 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan semalam memaklumkan gempa bumi itu berpusat pada koordinat enam darjah selatan dan 102.4 darjah timur dengan kedalaman 78 kilometer (km).

Menurut kenyataan itu, lokasi berkenaan terletak pada jarak 239 km barat daya dari Pagar Alam, Indonesia. Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

 

Indonesia tutup akses taman negara ketika kebakaran hutan memasuki hari keenam

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menutup akses ke sebuah taman negara di Pulau Jawa ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan yang telah berlaku selama hampir seminggu.

Kebakaran itu telah memusnahkan kawasan seluas 176 hektar sejak tercetus pada Isnin di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, berhampiran destinasi pelancongan popular Gunung Bromo di Jawa Timur, kata seorang pegawai bencana.

Pihak berkuasa melarang kemasukan pelawat mulai lewat Sabtu sehingga diberitahu kelak.

Tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan, kata jurucakap Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari.

Dua helikopter pengebom air telah dikerahkan untuk memadam kebakaran di kawasan yang sukar dimasuki anggota bomba berikutan cerun curam dan angin kencang, katanya dalam kenyataan pada Ahad.

“Keadaan ini menjadikan operasi udara penting untuk mencapai kawasan yang tidak dapat diakses dengan sempurna melalui jalan darat,” kata pegawai itu.

Indonesia dijangka mengalami musim kering yang lebih sengit dan berpanjangan tahun ini, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan serta kemarau, sebahagiannya disebabkan fenomena cuaca El Nino, menurut agensi cuaca BMKG.

Lebih 107,000 hektar kawasan di Indonesia terbakar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu lebih dua kali ganda keluasan kawasan yang musnah akibat kebakaran hutan pada 2023.

El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan perubahan pada angin, tekanan udara dan corak taburan hujan di seluruh dunia. Fenomena itu biasanya menyebabkan keadaan lebih kering di Asia Tenggara dan India. – AFP

Siapa kata Klang panas semalam, hari ini sudah ribut

PETALING JAYA – Cuaca panas yang dirasai penduduk sekitar Klang semalam berubah dalam tempoh tidak sampai 24 jam apabila beberapa kawasan dilanda hujan lebat berserta angin kencang hari ini.

Perubahan cuaca secara mendadak itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang sebelum ini mengeluh mengenai bahang panas di daerah berkenaan.

Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang pengguna @_whosdeejis memuat naik rakaman menikmati makanan bersama beberapa individu di sebuah premis makan.

Bagaimanapun, suasana bertukar kecoh apabila angin kencang melanda kawasan itu menyebabkan mereka terpaksa memegang payung besar bagi mengelak daripada diterbangkan angin.

“Siapa yang marah Klang panas semalam? hari ini dah ribut,” tulisnya berseloroh.

Rakaman itu meraih lebih 12,000 tontonan setakat petang ini selain mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna yang turut berkongsi cuaca terkini di sekitar Klang.

Bagaimanapun seorang pengguna, @whoistyr4 berkata, cuaca hujan lebat itu hanya berlaku dalam tempoh singkat sebelum kembali panas.

“Kejap sahaja ribut, selepas itu panas semula,” katanya.

Sementara itu, @zaty.la berkata, hujan lebat itu dianggap satu rahmat kerana dia tidak perlu menyiram pokok hari ini.

“Tak lama (kejadian) ribut dan hujan lebat, selepas itu panas terik. Jimat masa tak perlu siram pokok hari ini sebab tadi hujan lebat,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @lizaliez_ memberitahu, angin kuat berserta hujan turut dirasai di sekitar Kampung Jawa, Klang.

“Memang angin kuat tadi siap (sekali) hujan, alhamdulillah buat ‘rasa-rasa’ kawasan Kampung Jawa, Klang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search