OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kawasan pencemaran gas butana diisytihar selamat

KEMAMAN – Kawasan paip gas Petronas Gas Berhad (PGB) di tapak projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di Kerteh, di sini yang bocor lima hari lalu diisytihar selamat dan bebas daripada pencemaran gas butana sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, pemantauan selama dua hari oleh alat pengesanan gas (LEL) mengesahkan kandungan gas tersebut di lapan lokasi terlibat konsisten berada pada tahap sifar.

“Petronas juga telah menyuntik gas nitrogen di dalam paip saluran bagi mengesan kehadiran gas butana.

“Alhamdulillah bacaan LEL tetap positif berada pada tahap sifar. Sehubungan itu, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup secara rasmi pada pukul 4 petang tadi,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Razi berkata, selepas ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membantu pasukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memasuki lokasi insiden bagi melakukan siasatan.

Beliau berkata, pihak Petronas hanya akan dibenarkan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan terhadap paip gas yang pecah tersebut selepas JKKP selesai melakukan siasatan.

Sementara itu, Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM Terengganu, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya sedia membantu JKKP terutama memantau bacaan semasa udara sekiranya memerlukan sepanjang tempoh siasatan kelak. – KOSMO! ONLINE

Amaran ribut petir, hujan lebat di 8 negeri pagi ini

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat diramal melanda lapan negeri hingga 9 pagi ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran itu melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.

“Antara kawasan yang dijangka terjejas adalah Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, Kedah dan seluruh kawasan di Pulau Pinang.

Selain itu, di Perak adalah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak, manakala Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor,” ujarnya.

Amaran kawasan lain yang terbabit adalah Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin, Negeri Sembilan dan seluruh negeri Melaka.

Seterusnya, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Pontian di Johor manakala, di Sarawak adalah Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong) dan Kapit (Song). – KOSMO! ONLINE

14 maut tasik takungan pecah di Taiwan

TAIPEI – Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh, manakala 18 cedera apabila sebuah tasik takungan pecah di Taiwan, kata seorang pegawai kerajaan hari ini, selepas Taufan Ragasa membadai pulau itu dengan hujan lebat.

Tasik takungan di daerah Hualien timur itu pecah semalam, menghanyutkan jambatan ke sebuah pekan dengan jejak lumpur yang tebal.

“Ia seperti gunung berapi yang meletus. Air banjir berlumpur datang menderu, terus ke tingkat satu rumah saya,” kata Ketua Kejiranan perbandaran Kuang Fu, Hsu Cheng-hsiung kepada AFP.

Pegawai Akhbar kerajaan daerah Hualien, Lee Kuan-ting berkata, 14 orang terbunuh dan 18 cedera. Menurut Agensi Bomba Kebangsaan, 124 orang hilang.
 

“Ia bagaikan filem bencana,” kata seorang penduduk tempatan, Yen Shau, kepada AFP.

Tambahnya, sejam sebelum penghadang tasik itu pecah, ramai orang masih berada di pasar raya dan kedai runcit tempatan.

“Dalam beberapa minit, air telah naik ke separuh tingkat satu,” katanya.

Rakaman video dikeluarkan oleh agensi bomba menunjukkan jalan raya dinaiki air, kereta separuh tenggelam dan pokok tumbang.

Lebih 7,600 orang telah dipindahkan di seluruh Taiwan akibat Taufan Ragasa setakat ini. – AFP

China keluarkan amaran merah Taufan Ragasa hampiri Guangdong

ANKARA: Pihak berkuasa China mengeluarkan dua amaran merah bagi ribut dan ombak tinggi ketika Taufan Ragasa semakin menghampiri pantai selatan negara itu.

Pusat Ramalan Alam Sekitar Marin China memberi amaran ombak setinggi empat hingga tujuh meter dijangka melanda perairan pesisir wilayah Guangdong.

Pusat itu turut meramalkan keadaan laut bergelora dengan ombak setinggi lapan hingga 13 meter di bahagian utara Laut China Selatan.

Ombak setinggi empat hingga enam meter juga diramalkan di Selat Taiwan selatan dan Saluran Bashi.

Perairan pesisir Fujian selatan, Fujian utara, Zhejiang selatan dan Hainan timur diletakkan di bawah tahap amaran lebih rendah.

Pihak berkuasa di Guangdong telah menggantung kerja, sesi persekolahan, pengangkutan dan operasi perniagaan di 10 bandar.

Hong Kong turut mengaktifkan Pusat Pemantauan dan Sokongan Kecemasan pada Isnin.

Filipina dan Taiwan turut menangguhkan sesi persekolahan serta operasi pejabat kerajaan di beberapa wilayah. – Bernama-Anadolu

Taufan Ragasa paksa pembatalan penerbangan di seluruh Asia, amaran tertinggi dikeluarkan

BEIJING, 23 Sept: Taufan Super Ragasa menyebabkan gangguan besar penerbangan di seluruh Asia ketika ia membadai Laut China Selatan dengan syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific pada Selasa memaklumkan lebih 500 penerbangan dibatalkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Syarikat penerbangan lain turut membatalkan banyak penerbangan, dengan impak paling teruk terhadap perjalanan udara dijangka pada Rabu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, hab utama bagi penerbangan ke seluruh Asia serta ke Australia dan New Zealand secara teknikalnya akan terus beroperasi semasa ribut itu.

Namun, pegawai lapangan terbang memberi amaran mengenai “gangguan besar” terhadap operasi penerbangan dan menasihatkan penumpang menyemak status penerbangan terus dengan syarikat penerbangan.

Satu kawasan khas turut disediakan di lapangan terbang itu untuk menempatkan penumpang yang terkandas.

Pihak berkuasa di wilayah Fujian, Guangdong dan Hainan di China telah mengeluarkan amaran taufan tertinggi berikutan kebimbangan terhadap potensi impak ribut itu yang melangkaui sektor penerbangan.

Agensi cuaca kebangsaan China meramalkan Ragasa akan mendarat di Guangdong pada Rabu sebelum bergerak ke arah barat di sepanjang pantai dan beransur lemah.

Pada Selasa, ribut itu yang bergerak pada kelajuan 20 hingga 25 kilometer (km) sejam ke arah China, membawa angin kencang sekitar 200 km/j, dengan tiupan angin yang jauh lebih kencang.

Ragasa ialah taufan ke-18 dalam musim Pasifik dan ketika ini dikategorikan sebagai taufan super, iaitu kategori paling kuat.

Ragasa sebelum ini melanda Taiwan dengan hujan lebat dan membadai utara Filipina pada Isnin.

Pihak berkuasa Filipina melaporkan sekurang-kurangnya seorang maut dan kira-kira 25,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka, manakala sekolah serta pejabat kerajaan ditutup.

Taiwan pula melaporkan 25 kecederaan berkaitan ribut antara Isnin dan Selasa.- TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search