OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir terburuk di Kampung Pasir Tebrau dalam tempoh 29 tahun

Banjir terburuk di Kampung Pasir Tebrau dalam tempoh 29 tahun

JOHOR BAHRU - Hujan lebat berterusan selama dua hari menyebabkan penduduk Kampung Pasir Tebrau, di sini, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, pada Khamis.

Suri rumah, Zaleha Bachok, 52, berkata, paras air mula naik pada pagi tadi selepas hujan sepanjang malam, malah rumahnya yang terletak di kawasan tinggi turut dimasuki air.

"Di depan rumah, air sudah paras pinggang, kira-kira satu meter. Saya terpaksa berpindah pagi tadi. Malam semalam pun kami berbuka puasa di luar kerana PPS belum dibuka.

"Sepanjang 29 tahun tinggal di sini, ini banjir paling teruk pernah terjadi. Tapi apa boleh buat, kami reda kerana menetap di kawasan rendah," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hairul Azim Jasmin, 21, berkata, kawasan yang terjejas melibatkan 54 rumah dengan 105 keluarga, termasuk warga emas dan kanak-kanak.

Menurutnya, keadaan semakin memburuk sejak semalam dan air sempat surut tengah hari tadi, namun kembali naik pagi Khamis hingga menenggelamkan rumah penduduk.

"Waktu malam keadaan sudah teruk, tetapi sekitar tengah hari sempat surut. Pagi tadi hujan turun lagi dan air naik semula.

"Setakat ini semua penduduk sudah dipindahkan ke PPS, kecuali satu keluarga yang sedang dibantu pihak bomba," katanya.

Tambahnya, kebiasaannya jika kampung lain sudah banjir, Kampung Pasir Tebrau hanya akan dinaiki air dalam tempoh dua hingga tiga hari kemudian.

"Tapi kali ini air naik mendadak, mungkin sebab sungai semakin cetek dan tiada pembinaan tebing," katanya.

Hairul Azim berkata, kejadian banjir kali ini hampir sama dengan tahun lalu yang berlaku sekitar Februari atau Mac, namun lebih mencabar kerana penduduk sedang berpuasa dan bakal menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, semua penduduk yang terjejas telah dipindahkan ke PPS sementara menunggu keadaan kembali pulih.

"Segala persiapan Hari Raya Aidilfitri yang telah dibeli, termasuk pakaian raya, langsir dan televisyen baharu, tidak dapat diselamatkan.

"Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja," ujarnya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search