OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

190 rumah terjejas kebakaran paip gas kembali dihuni

KUALA LUMPUR: 

Sejumlah 190 rumah terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, 1 April lalu, kembali dihuni mangsa selepas pemeriksaan pihak bertanggungjawab mendapati ia selamat diduduki.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata setakat semalam, sebanyak 487 rumah terjejas diperiksa 12 agensi teknikal termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor Berhad, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan pihaknya.

“Daripada jumlah itu, rumah selamat diduduki sebanyak 328 buah dan 190 rumah telah dihuni,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, Hussein berkata sebanyak 306 rumah terjejas telah dibekalkan tenaga elektrik oleh TNB.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kawasan berkenaan masih dikawal ketat oleh anggota polis yang bertugas dan hanya penduduk serta pihak mempunyai pas khas dibenarkan masuk ke kawasan terjejas.

Difahamkan, Hussein akan mengadakan sidang media pada 4 petang ini bagi memaklumkan perkembangan semasa kerja menstabilkan tanah di ‘ground zero’, susulan terbentuknya kawah sedalam 8m dan berkeluasan 70x80m susulan kebakaran berkenaan.

Terdahulu, Hussein memaklumkan kerja menstabilkan tanah mencapai 30% selesai.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi pada Aidilfitri kedua itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah celsius, mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Tragedi Putra Heights: 190 rumah kembali diduduki penghuni - Polis

SUBANG JAYA: Sebanyak 190 rumah yang sebelum terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini, dapat diduduki semula oleh pemiliknya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata sebanyak 12 agensi sahabat teknikal termasuk pasukan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan kerja-kerja siasatan, pemulihan dan penilaian di kawasan terjejas.

Beliau berkata, antara agensi lain yang terbabit ialah Petronas; Koridor Utiliti Selangor (KUSEL); Air Selangor; Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); Jabatan Kerja Raya (JKR); Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ); Indah Water; Telekom Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Syarikat Perumahan Negara Bhd dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Setakat semalam (Rabu), sebanyak 487 rumah yang terjejas telah di periksa.

"Daripada jumlah itu, sebanyak penghuni 328 unit rumah sudah dibenarkan kembali ke rumah mereka, manakala rumah yang telah diduduki adalah sebanyak 190 buah rumah," katanya kepada media hari ini.
 

Hussein berkata, setakat ini juga sebanyak 306 buah rumah yang terjejas telah dibekalkan dengan tenaga elektrik oleh pihak TNB.

Katanya, polis juga telah menerima sebanyak 741 laporan berkaitan insiden kejadian letupan dan kebakaran ini.

Op Gas, yang telah memasuki hari sembilan semalam, dilaksanakan dengan kekuatan 697 orang daripada 18 agensi.

"Secara keseluruhan untuk kekuatan PDRM termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) ialah seramai 169 orang.

"Pihak PGA masih membuat kawalan keselamatan 24 jam di kawasan yang terjejas untuk memastikan harta benda yang ditinggalkan mangsa dalam keadaan selamat," katanya.

Insiden yang berlaku ini telah mengakibatkan kerosakan rumah yang dianggarkan berjumlah RM65.4 juta termasuk kos untuk pendawaian.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini menyatakan bahawa, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), ketika kejadian telah berjaya menyelamatkan aset bernilai lebih RM285.9 juta.

 

Selamatkan mangsa kebakaran paip gas, 5 warga Pakistan terima penghargaan

Kuala Lumpur: Tindakan berani lima warga Pakistan meredah sungai demi membantu penduduk yang terkesan dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, bukan sahaja tular di media sosial malah mendapat penghargaan rasmi daripada Kedutaan Pakistan di Malaysia.

Kelima-lima mereka Khaista Nawab, 50, Bakht Munir, 37, Amir Nawab, 47, Rafiq Ullah, 25 dan Jaafar Ali, 40, dipanggil untuk menerima sijil penghargaan yang disampaikan wakil Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia di kedutaan negara itu, semalam.

Khaistan berkata dia dan rakan-rakannya langsung tidak menyangka bantuan spontan yang diberikan akan menerima pujian serta diberi pengiktirafan kerana melakukannya secara ikhlas bagi membantu mereka yang dalam kesusahan.

"Kami bantu kerana itu yang patut dilakukan sebagai manusia, bukan untuk habuan. Bila lihat penduduk di seberang sungai panik, kami tahu kami perlu lakukan sesuatu," katanya di sini hari ini.

Dia berkata kesemua mereka yang berasal dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan itu berada di Malaysia antara tujuh hingga 20 tahun bagi mencari rezeki.

Mengimbau kejadian itu, Khaista berkata dia dan rakan-rakannya bertindak terjun dari tebing sungai Klang di Kampung Sri Aman, Puchong bagi membantu kira-kira 30 penduduk yang ketika itu berada seberang tebing sungai di Kampung Tengah menyelamatkan diri daripada haba panas akibat kebakaran itu.

Dia berkata mereka membawa penduduk termasuk kanak-kanak dan warga emas menyeberangi sungai selebar lebih 40 meter dan dalam lebih 1.8 meter itu kembali ke tebing di Kampung Sri Aman dengan cara memikul mereka di bahu pada bahagian sungai yang sedikit cetek dan menolak mereka sambil berenang di bahagian yang dalam.

Khaista berkata pada hari kejadian, kelima-lima mereka sedang berada di rumah masing-masing yang berdekatan dengan sungai kerana masih bercuti sempena Aidilfitri dan perkara pertama yang terlintas di fikiran apabila melihat api yang marak dalam jarak kira-kira satu kilometer dari rumahnya ialah mengambil pasport dan melarikan diri.

"Tapi kemudian saya fikir, tidak boleh lari kerana nanti pada hari kiamat akan ditanya juga. Harus bantu orang walau nyawa sendiri dalam bahaya.

"Jadi, kami berenang ke seberang dan kembali ke tebing di Kampung Sri Aman lebih lima kali bagi menyelamatkan semua penduduk," katanya.

Kisah keberanian mereka bukan saja tular di Malaysia, malah menarik perhatian rakyat senegara di Malaysia iaitu pemilik syarikat pakaian Alfaro Sdn Bhd, Farooq Ahmed yang bertindak memberikan sagu hati berupa pakaian dan wang tunai.

Farooq berkata Menteri Persekutuan Pakistan Amir Muqam yang juga rakannya turut menghubunginya bagi menyampaikan rasa bangga dan penghargaan kerajaan Pakistan terhadap tindakan lima individu itu.

"Saya tertarik untuk memberi mereka sagu hati kerana keikhlasan membantu insan lain yang dalam kesusahan. Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mereka dalam menjalani kehidupan di negara ini.

"Mereka tular bukan saja di Malaysia malah di Pakistan hingga mendapat perhatian seorang menteri di sana," katanya.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi, 1 April itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

 

Health minister: Hospitals unaffected by Putra Heights gas fire, 38 victims still receiving care

TAPAH, April 10 — No hospital facilities were affected following the gas pipeline fire tragedy in Putra Heights, Subang Jaya, on April 1, said Health Minister Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly said that despite the tragic incident, there were no deaths reported so far.

 

“Although there are those in the ICU, none of our facilities (Ministry of Health) have been affected,” he said at a press conference after attending the Health Minister’s programme to instill cordiality with Batang Padang district health workers at Tapah Hospital here today.

He said this when asked if there were hospitals near the gas pipeline fire tragedy in Putra Heights, Subang Jaya that were affected.

When asked if medical gas-related equipment at the hospital was affected by the incident, he replied simply: “Not related, medical gases have nothing to do with that”.

 

Dzulkefly said as of 12 noon yesterday, a total of 38 victims were still being treated in hospital wards and the latest statistics and detailed information will be released by the Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) at 3 pm.

The Petronas gas pipeline fire incident at 8.10 am on April 1, caused the fire to burn more than 30 metres high with temperatures reaching 1,000 degrees Celsius and took almost eight hours to be completely extinguished. — Bernama

Kebakaran gas Putra Heights: KKM lapor polis, nafi dakwaan ada kematian

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) membuat laporan polis berhubung komen di media sosial yang mendakwa terdapat kematian dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Menurut kenyataan KKM hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut dimaklumkan mengenai perkara itu.
 
"KKM menegaskan tiada sebarang laporan berhubung kematian diterima daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta berkaitan kejadian tersebut.
 
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu hingga menimbulkan kegusaran awam, mengikut peruntukan undang-undang," menurut kenyataan itu.
Setakat pukul 12.30 tengah hari semalam, sebanyak 38 mangsa masih menerima rawatan, melibatkan 17 orang di hospital kerajaan dan 21 lagi di hospital swasta.
 
Daripada jumlah itu, seorang pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta, namun dilaporkan semakin pulih.
Secara keseluruhan, seramai 150 mangsa terlibat dalam kejadian itu dengan 127 daripadanya mengalami kecederaan langsung seperti luka melecur atau kecederaan fizikal lain.
 
Sementara itu, 18 mangsa mengalami kecederaan tidak langsung seperti serangan panik, kebimbangan dan tekanan darah tinggi, manakala lima lagi tidak memerlukan rawatan lanjut.
KKM memaklumkan fasiliti kesihatan akan memastikan mangsa terus mendapat sokongan diperlukan, terutamanya bagi luka kebakaran di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Putrajaya.
 
"Ini termasuk perkhidmatan untuk kesihatan mental yang amat penting untuk membolehkan keluarga terkesan dapat meneruskan kehidupan seharian secara normal secepat mungkin," menurut KKM.
KKM memaklumkan lapan petugas mereka terlibat dalam insiden itu, juga akan menerima sokongan penuh sehingga mampu kembali bertugas seperti sebelumnya.
 
Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search