OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir: 8 negeri terkesan melibatkan 18,465 mangsa pagi ini

PETALING JAYA – Situasi banjir di seluruh negara terus memburuk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke 117 pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 18,465 orang, melibatkan lapan negeri setakat pukul 8.30 pagi ini.

Menerusi laman web Info Bencana JKM, negeri terjejas adalah Selangor, Kelantan, Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang.

Selangor kekal sebagai negeri paling teruk terjejas apabila banyak kawasan rendah ditenggelami air sehingga menjejaskan 2,698 orang daripada 737 keluarga yang terpaksa dipindahkan ke 19 PPS.
Bagi pecahan mangsa banjir keseluruhan, lelaki dewasa merekodkan seramai 5,727 orang, wanita dewasa (6,030 orang), kanak-kanak lelaki (3,193 orang), kanak-kanak perempuan (2,992orang), bayi lelaki (258 orang) dan bayi perempuan (265 orang). – KOSMO! ONLINE

Usah sambut musim tengkujuh dengan skrip sama

SEPERTI 'acara' tahunan tidak pernah gagal hadir, musim tengkujuh kembali membawa banjir yang makin memburuk ke lapan negeri setakat ini, dengan lebih 13,000 mangsa daripada 4,734 keluarga sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5 petang semalam.

Kelantan paling terkesan dengan lebih 9,600 mangsa di 38 PPS, disusuli Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Sarawak. Dengan hujan lebat, jumlah mangsa meningkat dari semasa ke semasa, malah negeri lain tidak boleh berasa selamat kerana sudah banyak kali kita dikejutkan dengan bencana ini, terutama akibat perubahan iklim.

Memang benar, Malaysia sudah mempunyai keupayaan operasi yang mantap, terutama memindahkan mangsa, mencari dan menyelamat (SAR) serta pengagihan bantuan. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bomba, polis, Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ribuan petugas lapangan menjalankan latihan berkala, malah ada protokol tersusun bagi pemindahan, logistik dan pengurusan PPS. Namun, persoalan asas tetap menghantui kita, iaitu mengapa banjir masih membawa impak sebesar ini setiap kali dan pola kerosakan tidak banyak berubah walaupun pengalaman mengajar kita begitu lama?

Hakikat yang pahit untuk ditelan adalah kelemahan paling besar bukannya persediaan dan persiapan menghadapi banjir, sebaliknya pembangunan tidak lestari dan perbandaran tidak mampan hingga longkang tersumbat, sistem saliran tidak dinaik taraf dan kawasan hijau ditukar kepada projek komersial, malah pembangunan baharu tidak mengambil kira kapasiti tadahan air, semuanya menyumbang kepada limpahan air yang akhirnya menjadikan kampung dan bandar sebagai mangsa. Selagi kita membiarkan perancangan fizikal dilakukan tanpa disiplin, selagi itulah bencana alam biasa berubah menjadi tragedi manusia, saban tahun.

Pada masa sama, insiden 4,000 rakyat Malaysia terperangkap di Hatyai akibat banjir kilat perlu dibaca sebagai manual menghadapi bencana baharu kerana dalam dunia saling terhubung, risiko bencana tidak lagi terbatas di sempadan negara.

Apatah lagi, pergerakan rakyat kita tinggi dengan jumlah pelancong Malaysia ke negara jiran semakin meningkat, ia menunjukkan pihak berkuasa, terutama Wisma Putra perlu proaktif memberikan nasihat perjalanan dari semasa ke semasa serta menghebahkannya dengan lebih meluas.

Dalam perenggan berasingan, kita juga perlu menilai semula sejauh mana penggunaan teknologi maklumat membantu kesiapsiagaan negara. Sistem amaran awal, ramalan cuaca jangka pendek, pemetaan risiko melalui imejan satelit serta aplikasi maklum balas kecemasan masih belum dimanfaatkan secara optimum. Kita sering lambat 'membaca' pola taburan hujan ekstrem, sedangkan teknologi hari ini boleh memberi maklumat hampir waktu nyata, manakala kelemahan komunikasi risiko kepada masyarakat turut memperlahankan tindakan pemindahan, menyebabkan mangsa terkepung sebelum bantuan sempat tiba.

Banjir tidak dapat dielakkan kerana monsun timur laut pasti datang setiap tahun. Namun, kemusnahan dan kehilangan nyawa boleh dikurangkan jika kita lebih jujur menilai kelemahan, memperbaiki sistem perancangan dan memanfaatkan teknologi, manakala masyarakat mendengar amaran pihak berkuasa tanpa kompromi. Jika tidak, setiap tahun kita hanya mengulang babak sama, malangnya dengan skrip semakin pahit.

 

Bah terburuk 2010 berulang?

PADANG BESAR: Banjir di Perlis semakin buruk khususnya di Wang Kelian serta lokasi-lokasi sebelah utara negeri ini dengan ribuan mangsa terpaksa dipindahkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan.

Banjir tersebut khususnya di Wang Kelian dan Kaki Bukit disifatkan paling buruk dalam 40 tahun dengan kebanyakan rumah dinaiki air hingga paras pinggang selain kawasan rekreasi Gua Kelam juga tenggelam.

Wang Kelian kini masih terputus hubungan ekoran jalan utama di sekitar laluan bercerun dari View Point Wang Kelian ke kawasan kampung di situ mengalami tanah runtuh dan pokok tumbang sekali gus menyukarkan pelbagai pihak menghantar bantuan ke lokasi tersebut.

Kawasan yang jarang atau tidak pernah dinaiki air khusus­nya di Felda Mata Ayer dan Titi Tinggi juga antara yang terkesan teruk. Timah Tasoh dan kawasan sekitar juga ditenggelami air.

Selain di sebelah utara negeri ini, air sudah mula melimpah dengan cepat di kawasan Arau dan Kangar dengan kebanyakan kawasan serta jalan raya dipenuhi air.

Pelajar-pelajar dari Matrikulasi Arau yang mula bercuti dilihat bergegas ke stesen keretapi dan stesen bas untuk pulang ke kampung halaman sebelum keadaan bertambah buruk atau berdepan risiko terputus hubungan.

Melihat kepada situasi tersebut dengan hujan lebat masih berterusan mengundang kebimbangan bah besar 2010 yang menyaksikan 63,000 penduduk terjejas itu bakal berulang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim berkata, selain hujan luar biasa sejak kelmarin, limpahan air dari Satun, Thailand melalui Wang Burma antara faktor Wang Kelian dan sekitar dilanda banjir besar.

Katanya, kebanyakan rumah di sekitar Kampung Wang Kelian dinaiki air sehingga paras pinggang dengan keadaan dijangka lebih buruk melihat kepada keadaan hujan yang masih berterusan.

“Wang Kelian ketika ini masih terputus hubungan dan kita akan menghantar makanan dan keperluan kepada penduduk di pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan itu.

“Kita terima laporan ada yang terkandas di Kompleks Imigre­sen, Kastam, Kuarantin dan Ke­selamatan (ICQS) Wang Kelian yang dianggarkan lebih dari 600 ke 800 orang ekoran terputus hubungan akibat tanah runtuh.

“Pada pukul 2 pagi kelmarin pasukan pusat khidmat kita tidak dapat hantar bantuan makanan atas faktor keselamatan namun pagi semalam, bantuan dapat dihantar dengan terpaksa berjalan kaki lebih satu kilometer,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, sekumpulan pelajar matrikulasi ditemui Utusan Malaysia memaklumkan mereka terpaksa menumpang kenderaan melalui kawasan Arau untuk ke stesen keretapi selepas jalan mula dinaiki air. – UTUSAN

Sukan SEA: MOM teliti semula pelan kecemasan banjir

PETALING JAYA: Situasi banjir yang melanda 10 wilayah selatan Thailand memaksa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meneliti semula persiapan kontinjen negara ke Sukan SEA.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, pihaknya baru dimaklumkan mengenai situasi terkini oleh ibu pejabat SEAGF dan meminta sedikit masa untuk meneliti perkembangan banjir di Thailand sebelum memuktamadkan sebarang pelan kecemasan bagi kontinjen negara yang bakal berangkat ke Sukan SEA bulan depan.

“Kami baru sahaja menerima maklumat tersebut, jadi beri mereka ruang untuk mengkaji dan mengambil tindakan sewajarnya sebab banjir belum surut sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai perjalanan kontinjen Malaysia yang dijadualkan menggunakan laluan darat dengan menaiki bas bagi memasuki Thailand, Nasir menjelaskan perkara itu berada di bawah tanggungjawab Majlis Sukan Negara (MSN).

“Berkaitan persiapan bas dan jadual perjalanan, lebih baik rujuk kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) kerana mereka yang menguruskannya,” jelas beliau ringkas.

Setakat semalam, banjir di Thailand masih melanda di beberapa wilayah selatan antaranya Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat akibat hujan berterusan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran temasya dwitahunan itu.

Apa yang lebih membimbangkan, Songkhla merupakan salah satu wilayah utama selain Bangkok dan Chonburi untuk Sukan SEA edisi kali ini, termasuk beberapa acara teras iaitu bola sepak, catur, kabadi, karate dan pencak silat yang melibatkan atlet negara. – UTUSAN

Mangsa banjir Kedah melonjak kepada 1,632 orang

ALOR SETAR: Banjir di daerah Kubang Pasu semakin memburuk apabila bilangan penduduk yang diarahkan berpindah melonjak mendadak kepada 1,361 orang berbanding hanya 263 mangsa, semalam.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan seramai 1,632 orang daripada 525 keluarga di dua daerah di Kedah dilaporkan terjejas sehingga pukul 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, kesemua mangsa banjir di daerah itu kini berlindung di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan.

“Tiga PPS baharu yang dibuka di Kubang Pasu adalah Dewan Kampung Tradisi Paya Pahlawan,  Dewan Padang Sera dan Sekolah Kebangsaan (SK) Malau bemula kira-kira pukul 10 malam tadi.

“Sebanyak lima mukim dalam daerah itu juga dilaporkan terjejas melibatkan hampir 30 buah kampung dan taman perumahan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, mangsa banjir di Kulim berkurangan kepada 271 orang setelah PPS Surau KEDA Naga Lilit yang sebelum ini menempatkan 44 mangsa ditutup pukul 6 petang, semalam. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search