Bah terburuk 2010 berulang?
- Admin UKK
- Berita
PADANG BESAR: Banjir di Perlis semakin buruk khususnya di Wang Kelian serta lokasi-lokasi sebelah utara negeri ini dengan ribuan mangsa terpaksa dipindahkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan.
Banjir tersebut khususnya di Wang Kelian dan Kaki Bukit disifatkan paling buruk dalam 40 tahun dengan kebanyakan rumah dinaiki air hingga paras pinggang selain kawasan rekreasi Gua Kelam juga tenggelam.
Wang Kelian kini masih terputus hubungan ekoran jalan utama di sekitar laluan bercerun dari View Point Wang Kelian ke kawasan kampung di situ mengalami tanah runtuh dan pokok tumbang sekali gus menyukarkan pelbagai pihak menghantar bantuan ke lokasi tersebut.
Kawasan yang jarang atau tidak pernah dinaiki air khususnya di Felda Mata Ayer dan Titi Tinggi juga antara yang terkesan teruk. Timah Tasoh dan kawasan sekitar juga ditenggelami air.
Selain di sebelah utara negeri ini, air sudah mula melimpah dengan cepat di kawasan Arau dan Kangar dengan kebanyakan kawasan serta jalan raya dipenuhi air.
Pelajar-pelajar dari Matrikulasi Arau yang mula bercuti dilihat bergegas ke stesen keretapi dan stesen bas untuk pulang ke kampung halaman sebelum keadaan bertambah buruk atau berdepan risiko terputus hubungan.
Melihat kepada situasi tersebut dengan hujan lebat masih berterusan mengundang kebimbangan bah besar 2010 yang menyaksikan 63,000 penduduk terjejas itu bakal berulang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim berkata, selain hujan luar biasa sejak kelmarin, limpahan air dari Satun, Thailand melalui Wang Burma antara faktor Wang Kelian dan sekitar dilanda banjir besar.
Katanya, kebanyakan rumah di sekitar Kampung Wang Kelian dinaiki air sehingga paras pinggang dengan keadaan dijangka lebih buruk melihat kepada keadaan hujan yang masih berterusan.
“Wang Kelian ketika ini masih terputus hubungan dan kita akan menghantar makanan dan keperluan kepada penduduk di pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan itu.
“Kita terima laporan ada yang terkandas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian yang dianggarkan lebih dari 600 ke 800 orang ekoran terputus hubungan akibat tanah runtuh.
“Pada pukul 2 pagi kelmarin pasukan pusat khidmat kita tidak dapat hantar bantuan makanan atas faktor keselamatan namun pagi semalam, bantuan dapat dihantar dengan terpaksa berjalan kaki lebih satu kilometer,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, sekumpulan pelajar matrikulasi ditemui Utusan Malaysia memaklumkan mereka terpaksa menumpang kenderaan melalui kawasan Arau untuk ke stesen keretapi selepas jalan mula dinaiki air. – UTUSAN
