OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

3 sekawan cemas terperangkap dalam banjir

Tiga sekawan berdepan detik cemas apabila lori yang mereka naiki terperangkap dalam banjir menyebabkan mereka terpaksa diselamatkan pasukan bomba, dalam kejadian di Pengkalan Telok, dekat Rumah Pam Kampung Jejawi, dekat sini.

Rosmaini Ahmad, 43; Mohd Badawi Ramli, 41, dan Lim Chee Wei, 28, berjaya diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, jam 8.30 malam kelmarin, iaitu selepas kira-kira tiga jam terperangkap dalam banjir.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah untuk melakukan pendawaian kilang padi di Kampung Tasek Berangan, dekat sini.

Rosmaini berkata, mereka menggunakan aplikasi navigasi untuk ke kilang itu dan tidak menyangka terperangkap dalam banjir.

“Sebenarnya, ini adalah kali kedua kami ke kilang berkenaan tetapi sebelum ini aplikasi ini menunjukkan jalan lain untuk sampai destinasi terbabit.

“Memandangkan kurang arif jalan di sini, kami menggunakan aplikasi itu sekali lagi, namun tidak menyangka ia menunjukkan jalan yang dinaiki air.

“Kami melalui jalan berkenaan sekitar jam 5.30 petang dengan meredah air sejauh 500 meter. Kami sangkakan paras air tidak begitu tinggi, namun terkejut apabila tiba-tiba lori sudah tidak boleh bergerak kerana paras banjir semakin tinggi.

“Dalam saat getir itu, saya menelefon talian kecemasan 999 sebelum mereka menghubungkan saya dengan pihak bomba serta polis yang kemudian datang memberi bantuan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rosmaini berkata, mereka terpaksa meninggalkan lori yang dipenuhi peralatan kerja di situ kerana kawasan berkenaan sudah terkepung dengan banjir dan buat masa ini berlindung di kilang padi sementara menunggu air surut.

Selain itu seorang pengusaha timun terpaksa meredah air separas 0.2 sehingga 0.4 meter (m) untuk memetik hasil tanaman selepas kebunnya dilanda banjir

akibat hujan lebat di Kampung Lati, di sini.

Mohd Faris Afifi Azman, 32, berkata kebunnya seluas 0.1 hektar itu berada di kawasan agak rendah menyebabkan air bertakung dan mengambil masa agak lama untuk surut sepenuhnya.

Katanya, susulan cuaca sukar dijangka, kali ini dia terpaksa berhadapan dengan proses memetik timun ketika musim tengkujuh, sekali gus memberi kesan kepada jumlah hasil serta kualiti tanamannya.

“Saya sudah mengusahakan tanaman timun selama tiga tahun dan pernah melalui pengalaman mengutip hasil pada musim tengkujuh. Saya ingatkan sempat nak kutip hasil sebelum banjir, rupanya jangkaan saya meleset.

“Bagaimanapun saya masih boleh mendapatkan hampir 300 kilogram (kg) timun setiap hari untuk dihantar kepada pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu,” katanya ketika ditemui di kebun miliknya di Kampung Lati, di sini semalam.

Projek masih berjalan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani

Husin, berkata Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 yang dijadualkan siap pada Ogos lalu masih berjalan dengan peratus kemajuan 70 peratus.

Beliau berkata, susulan pertambahan lot terbabit dengan pengambilan balik tanah dan kesan perubahan jajaran jalan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) menyebabkan kontraktor memohon lanjutan masa.

Katanya, kontraktor membuat permohonan lanjutan masa pada November 2023 dan diluluskan pada 30 Januari lalu dengan jumlah lanjutan masa selama 707 hari.

“Bagi projek PLSB Sungai Golok 3, ia dimulakan pada April lalu membabitkan proses reka

bentuk dan kerja fizikal dijangka bermula Januari tahun depan.

“Sementara projek PLSB Fasa 2 pula berada di peringkat Lembaga Perolehan bagi Pra-kelayakan Tender di bawah Kementerian,” katanya ketika ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Mengenai pelan mitigasi banjir, Dr Izani berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah menyediakan Pelan Induk Sistem Saliran Mesra (PISMA) bagi jajahan Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas dan akan diteruskan bagi tahun hadapan membabitkan jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Bachok, Jeli serta Tumpat.

4 lokasi risiko cerun runtuh

Kejadian banjir besar yang berlaku 10 tahun lalu menjadi mimpi ngeri buat penduduk Orang Asli Pos Tuel di sini apabila terkandas dan terputus bekalan makanan berikutan cerun runtuh serta hakisan tanah.

Penduduk mendakwa kini terdapat empat kawasan sepanjang laluan dari Pos Hendrop ke Pos Tuel berisiko mengalami hakisan bukit dan cerun runtuh sekiranya hujan berterusan ketika musim tengkujuh.

Justeru, lebih 1,000 penduduk Orang Asli kaum Temiar yang tinggal di Pos Tuel di sini, merayu supaya pihak berwajib dapat menyelenggara dan baik pulih kawasan cerun terbabit.

Menurut penduduk Pos Tuel, Abang Along, 52, hampir setiap tahun penduduk di kawasan pedalaman itu berhadapan kejadian cerun runtuh sehingga menyebabkan mereka terputus hubungan pada musim tengkujuh.

Katanya, kejadian hakisan dan tanah runtuh kerap berlaku selepas bencana banjir besar pada 2014.

“Sehingga kini penduduk

Kami mohon pihak berkaitan tolong pantau keadaan cerun Abang Along

masih trauma dengan kejadian runtuhan tanah ketika banjir apabila kami terkandas serta terputus bekalan makanan kerana tidak dapat ke bandar.

“Sekarang ini jika hujan turun berterusan selama seminggu akan mengakibatkan tanah runtuh. Kami mohon pihak berkaitan tolong pantau keadaan cerun di kawasan laluan kampung kami sebelum berlaku

bencana tidak diingini,” katanya ditemui di Pos Tuel di sini.

Penghulu Kampung Hanir, Pos Tuel, Razak Rongging berkata, setiap kali musim tengkujuh, penduduk

Orang Asli yang menggunakan jalan dari Pos Hendrop ke Pos Tuel itu berasa tidak selamat apabila diancam hakisan dan cerun runtuh.

“Apabila berlaku tanah runtuh kami susah hendak ke bandar Gua Musang dan menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop kerana ia satu-satunya laluan utama keluar dari perkampungan ini.

“Apabila cuaca hujan kami juga rasa tidak selamat untuk melaluinya kerana bimbang berlaku hakisan atau runtuhan tanah secara tiba-tiba,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mengakui setiap tahun kawasan penempatan Orang Asli seperti Tanah Tinggi Lojing dan pos pedalaman terdedah ancaman hakisan bukit dan cerun runtuh.

Katanya, ada beberapa lokasi hotspot tanah runtuh seperti di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Pos Tuel dan Pos Balar.

“Antara kawasan hotspot ialah di jalan Gua Musang-Lojing, Pos Hendrop-Pos Tuel dan jalan masuk ke Pos Balar iaitu Bukit Kelabu serta Bukit Pasir yang sering berlaku tanah runtuh,” katanya.

13 terbunuh, 18 cedera tanah runtuh, banjir kilat di Sumatera Utara

JAKARTA: Tanah runtuh dan banjir kilat yang melanda dua daerah di provinsi Sumatera Utara, pada malam Sabtu meragut 13 nyawa manakala 18 lain cedera, kata seorang pegawai dari agensi pengurusan dan mitigasi bencana wilayah itu.

Menurut Sri Wahyuni Pancasilawati, ketua unit kecemasan, peralatan dan logistik agensi itu, tanah runtuh dan banjir kilat melanda daerah Deli Serdang dan Karo pada malam Sabtu.

Di Deli Serdang, enam terbunuh manakala sembilan lagi cedera selepas arus deras menghanyutkan empat rumah dan sebuah bangunan keagamaan.

Di daerah Karo, bencana serupa menyebabkan tujuh maut dan sembilan cedera.

Mereka yang cedera dibawa ke hospital dan klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan, katanya kepada Xinhua.

Pada awal pagi Sabtu, tanah runtuh dan banjir kilat turut melanda daerah Padang Lawas dan Tapanuli Selatan di provinsi itu, menyebabkan enam maut dan tujuh cedera.

Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia mengeluarkan amaran cuaca ekstrem, meramalkan intensiti hujan melebihi normal di kawasan itu.

Usaha sedang dijalankan untuk membantu komuniti yang terjejas dan mengurangkan risiko lanjut sementara pihak berkuasa terus memantau keadaan dengan teliti. - BERNAMA-XINHUA

Ribut petir landa UK, tiga maut

LONDON - Ribut Bert yang membawa angin kencang, hujan lebat dan banjir menyebabkan tiga kematian dan menjejaskan bekalan elektrik di seluruh United Kingdom (UK) hujung minggu lalu.

Xinhua melaporkan kesemua mangsa maut dalam insiden jalan raya ketika ribut melanda di Hampshire, Lancashire dan Trefriw, North Wales.

 

Di South Wales, ratusan kediaman terjejas akibat banjir. Natural Resources Wales mengeluarkan dua amaran banjir besar pada petang Ahad bagi kawasan Sungai Monnow di Forge Road, Osbaston dan Skenfrith.

Lebih 100 amaran banjir dan 200 amaran berjaga-jaga berkaitan banjir masih dikuat kuasa di seluruh negara.

Gangguan perjalanan turut dilaporkan dengan kira-kira 200 penerbangan dibatalkan pada Ahad di Lapangan Terbang Heathrow, London.

Perkhidmatan kereta api turut terjejas di beberapa bahagian, manakala National Rail memberi amaran bahawa cuaca buruk mungkin menjejaskan sebahagian kawasan di England, Wales, dan Scotland sehingga Isnin.

Bekalan elektrik turut terganggu di beberapa kawasan di England dan Wales sepanjang hujung minggu, menyebabkan ribuan pengguna terputus bekalan elektrik.

Di Ireland, Ribut Bert turut menyebabkan banjir dan puluhan ribu kediaman terputus bekalan elektrik. - Bernama-Xinhua

Bomba beku cuti 6,000 pegawai, anggota di lima negeri

MARANG: Cuti kira-kira 6,000 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lima negeri akan dibekukan sekiranya bencana banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini berlaku pada tahap yang kritikal.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata arahan ini melibatkan petugas di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak berikutan amaran enam siri hujan lebat dan air pasang di negeri-negeri berkenaan pada 27-28 Nov dan 15-17 Dis.

Beliau berkata setakat ini cuti dihadkan kepada 20 peratus daripada keseluruhan anggota serta pegawai dengan arahan telah dikeluarkan kepada pengarah JBPM negeri untuk bersiap sedia membekukan cuti petugas jika banjir terjadi di luar keupayaan di samping siri hujan lebat tahap merah.

“Kebimbangan kita hujan lebat berlaku di kawasan yang dah tepu air...maksudnya air dah penuh disebabkan banjir gelombang pertama,“ katanya selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Sains Kebombaan Siri 1 2024 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini hari ini.

Nor Hisham berkata pihaknya telah mengaktifkan pangkalan hadapan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Johor sebagai persediaan menghadapi bencana berkenaan.
 

“Tahun lepas kita wujudkan pengkalan hadapan di tiga lokasi termasuk satu di Pulau Pinang, tetapi kali ini kawasan Pantai Barat dijangkakan tidak kritikal seperti di Pantai Timur,” katanya.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 22 Pasukan Gerak Cepat telah dibentuk di seluruh negara dan pasukan itu dilengkapi pelbagai aset yang akan diatur gerak dalam tempoh singkat bagi membantu balai di lokasi bencana banjir.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search