OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir Kedah: 2 lagi daerah terjejas, mangsa meningkat ke 779

ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di Kedah terus meningkat ke 779 orang tengahari ini, berbanding 569 orang pagi tadi.

Selain Kubang Pasu dan Sik, daerah Padang Terap dan Pokok Sena turut dilanda banjir membabitkan pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan daerah Kubang Pasu kini merangkumi 552 mangsa dari 190 keluarga.

Mereka yang berasal dari mukim Changlun dan Temin ditempatkan di 8 PPS yang diaktifkan di daerah berkenaan. Manakala di daerah Padang Terap, 170 mangsa dari 102 keluarga sedang berteduh di 5 PPS.

Sementara itu, 34 mangsa di daerah Sik dan 23 mangsa di daerah Pokok masing-masing ditempatkan di satu PPS di daerah terbabit.

31 jalan di Terengganu ditutup kepada semua kenderaan

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 31 jalan, termasuk dua jalan utama ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air berikutan hujan lebat sejak pagi semalam.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Dr Hasli Ibrahim berkata, ia membabitkan tujuh di Besut, Hulu Terengganu (sembilan), Setiu (enam), Kemaman (lima) dan Dungun (empat).

Katanya, dua jalan utama yang ditutup adalah Jalan Seberang Jertih ke Bukit Yong sempadan Terengganu-Kelantan di Kampung Nangka, Besut yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.8 meter (m) sejauh 600m dan Jalan Air Putih-Chukai di Kampung Tasik Biru, Kemaman yang ditenggelami air

“Selain itu, 13 lagi jalan turut ditutup secara berperingkat sejak semalam kepada kenderaan ringan.

“Antara jalan yang ditutup adalah empat di Besut, Hulu Terengganu (satu), Setiu (lima), masing-masing satu di daerah Kemaman dan Marang,” katanya.

Mengenai kejadian tanah runtuh, Hasli berkata, hanya satu laluan ditutup iaitu di Kilometer 187 hingga 189, Kenyir ke Aring selepas berlaku mendapan tanah.

 

Gua Musang yang terbaharu, jadikan semua daerah di Kelantan dilanda banjir

KOTA BHARU: Gua Musang menjadi jajahan terbaharu banjir menjadikan semua daerah di Kelantan dilanda banjir pagi ini susulan hujan lebat berterusan.

Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Gua Musang iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1 yang menempatkan enam mangsa daripada tiga keluarga.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini juga meningkat kepada 33,163 orang daripada 9,986 keluarga sehingga 11.30 pagi ini berbanding 29,022 orang (8,745 keluarga) 8 pagi tadi.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa ditempatkan di 168 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah.

Pesara jadi korban pertama banjir di Terengganu

BESUT: Seorang pesara Jabatan Veterinar menjadi korban pertama banjir di Terengganu selepas ditemui lemas di Kampung Amer, di sini.

Mangsa, Tuan Jusoh Tuan Hasan, 66, dikatakan pergi ke kawasan sawah padi untuk memukat ikan, sebelum lemas dibawa arus banjir. Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.

Menurut anak mangsa, Tuan Maizan Nasuha Tuan Jusoh, ayahnya pergi ke lokasi berkenaan bersama tiga lagi rakannya dengan menaiki bot.

Dia hanya mengetahui insiden yang menimpa bapanya sekitar jam 9.15 pagi.

“Dalam 8.15 pagi dia turun Bersama empat rakan dengan naik bot. Bila sampai tempat dituju, dia turun nak pacak kayu untuk jala ikan. Dia turun sorang namun tak timbul timbul. Rakan lain yang berada di dalam bot memaklumkan kejadian kepada orang kampung dan mereka menelefon bomba untuk bantuan.” Ujarnya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, sejurus menerima panggilan kira-kira jam 9.08, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa dikesan sekitar jarak 5 meter (m) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas kira-kira satu jam pencarian dilakukan.

“Jarak jumpa berhampiran dengan mangsa dipercayai 5 meter dia berada di dalam air aktiviti jala ikan dan mayat dijumpai di dasar sungai.” Katanya.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terkini banjir: Jumlah mangsa dipindahkan meningkat ke 41,565, Kelantan paling ramai

PUTRAJAYA: Seramai 41,565 mangsa banjir membabitkan 12,694 keluarga kini ditempatkan di 369 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, Kelantan merekodkan jumlah paling ramai dengan 34,385 mangsa di 10 daerah.

Jumlah itu membabitkan 10,382 keluarga yang berlindung di 175 PPS setakat ini.

Terengganu pula mencatatkan seramai 6,485 mangsa daripada 2,043 keluarga di 177 PPS, diikuti Kedah dengan 452 mangsa di tiga PPS, Perlis (195 mangsa, tiga PPS), Johor (28 mangsa, satu PPS) dan Perak (20 mangsa, satu PPS).

Statistik JKM juga menunjukkan, lelaki dewasa yang dipindahkan adalah seramai 13,564 orang, wanita (14,723), kanak-kanak lelaki (6,198), kanak-kanak perempuan (5,958), bayi lelaki (595) dan bayi perempuan (527).

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search