Kota Bharu - Penduduk Kampung Pasir Jering, Kuala Krai di sini mula berjaga-jaga berikutan air naik selepas hujan lebat kira-kira lima hari lalu.
Penduduk, Mohd Saidi Jaafar, 57 berkata, sehingga jam 6.30 petang (hari ini) ada kediaman penduduk yang dinaiki air sehingga 0.3 meter di bahagian dapur.
Menurutnya penduduk juga terputus hubungan kerana jambatan Kampung Pasir Jering yang menjadi laluan utama ke bandar sudah ditenggelami air.
"Kami belum lagi berpindah tetapi dalam keadaan berjaga-jaga kerana hujan masih belum berhenti," katanya.
Sebanyak tiga pusat pemindahan banjir dibuka di Kelantan membabitkan 126 keluarga dengan 377 mangsa berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Air Sungai Kelantan di Tangga Krai dicatatkan setinggi 20.96 meter manakala Sungai Semerak di Jambatan Melor setinggi 7.35 meter iaitu masing-masing di paras berjaga-jaga.
Media sebelum ini melaporkan hujan lebat di negeri ini mengakibatkan banjir di daerah Pasir Puteh namun situasi itu tidak lama dan ada penduduk yang sudah pulang ke rumah.
KUALA BERANG - Pusat Konservasi Gajak Tasik Kenyir (KECV) dilanda fenomena kepala air sebanyak dua kali, berikutan hujan lebat sejak Isnin lepas.
Pengarah KECV, Ang Ching Yang berkata, kejadian pertama berlaku sekitar 1 tengah hari semalam, mengakibatkan beberapa kawasan di pusat itu termasuk kafeteria, surau dan tandas mengalami kerosakan.
"Dua hari sebelum kejadian (Isnin) pun saya tengok air sungai bewarna kuning dan bercampur lumpur serta gajah-gajah di sini juga telah memberikan isyarat bunyi.
Ching Yang berkata, kedua-dua kejadian itu tidak menjejaskan kesemua 17 ekor gajah di pusat berkenaan kerana telah dipindahkan ke lokasi selamat lebih awal, manakala pengunjung tidak berada di KECV kerana ditutup susulan cuaca buruk.
"Kos kerosakan memang kami belum kira tetapi hampir saban tahun tempat kami dilanda kepala air dan setiap tahun juga kos membersih dan membaiki kawasan serta kemudahan terjejas antara RM250,000 hingga RM300,000,” katanya.
Beliau berkata, KECV akan dibuka semula kepada pengunjung apabila kerja-kerja pembersihan serta pembaikan selesai dan cuaca kembali pulih. - Bernama
HULU TERENGGANU - Kegigihan Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) meredah air banjir telah berjaya membawa keluar jenazah seorang warga emas wanita yang meninggal dunia di Kampung Bukit Tadok, dekat sini pada Khamis.
Dengan terpaksa mengharungi banyak laluan ditenggelami air banjir di kawasan tersebut, mereka telah mengusung jenazah warga emas itu sehingga ke trak tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejauh lebih 100 meter. Pasukan tersebut mengharung banjir sedalam lebih satu meter bagi membawa jenazah Kalthom Mat, 84, yang meninggal dunia di rumahnya akibat sakit tua pada jam 9 pagi tadi.
Kediaman mangsa yang digenangi air sejak semalam menyebabkan van jenazah tidak dapat memasuki kampung berkenaan.
Sementara itu, anak arwah Kalthom, Mat Sudin Mustafa, 63, berkata, dia berterima kasih kepada ATM yang telah membantu memindahkan jenazah ibunya dengan meredah air susulan pekarangan rumah dinaiki air lebih satu meter sehingga menyukarkan urusan selanjutnya.
Menurut Mat Sudin, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tadok selepas solat Asar.
"Penghulu kampung dan pengurusan kampung meminta bantuan ATM yang melakukan operasi membantu mangsa banjir di kampung ini.
"Terima kasih ATM kerana sudi membantu mengharungi banjir sedalam lebih satu meter mengusung arwah ibu sebelum dibawa dengan trak ke masjid.
"Alhamdulillah... bantuan tersebut memudahkan proses membawa keluar arwah ibu ke masjid berjalan dengan baik," ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 RAMD (Para) Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh berkata, pasukannya telah mengatur gerakan 'first responder' untuk membantu mangsa banjir yang terjejas di Hulu Terengganu.
"Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) tidak ketinggalan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Terengganu dengan kehadiran mereka di lokasi yang terbabit.
"Pasukan 18 RAMD (Para) turut memberikan bantuan memindahkan jenazah seorang wanita warga emas dari rumah ke tanah perkuburan di Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu.
"Atur gerak ini membabitkan tiga pegawai dan 25 anggota diketuai oleh Mejar Shah Hadi Shah Budin termasuk aset perairan dan kenderaan bagi membantu memindahkan mangsa di kawasan terjejas ke PPS," jelasnya.
SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa negeri berkuat kuasa sehingga pukul 7 malam Khamis.
Jabatan itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, amaran tersebut dikeluarkan ekoran ramalan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang yang dijangka melanda Kedah (Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim, Bandar Baharu) serta seluruh Pulau Pinang dan Perak.
Selain itu di Pahang melibatkan beberapa daerah iaitu Jerantut, Bentong, Maran, Kuantan, Bera, Pekan, Tanah Tinggi Cameron dan Rompin manakala Sarawak di Betong Saratok dan Kabong, Sarikei dan Sibu (Kanowit).
Negeri lain yang terlibat termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Percepat pelan mitigasi banjir
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan dan negeri didesak mempercepatkan pelan mitigasi banjir di beberapa kawasan berisiko Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning bagi menangani bencana itu daripada terus menghantui penduduk. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi pelan mitigasi banjir dan berharap pelaksanaan projek itu memberikan bantuan kepada komuniti setempat. Menurut beliau, antara kawasan berisiko banjir seperti di Taman Sri Muda (TSM), Bukit Kemuning, Greenville, Kampung Bukit Lanchong dan semua taman perumahan di DUN berkenaan. "JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) telah memberikan kemas kini mengenai status projek-projek yang sedang dijalankan dan amat menghargai usaha mereka, namun kami mendesak agar projek tersebut dipercepatkan.
Beliau memberitahu, penduduk juga membangkitkan kerisauan mereka berhubung koordinasi antara agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu banjir. Ujarnya, ketiadaan koordinasi telah menyebabkan penderitaan penduduk dan pihaknya mendesak semua pihak bekerja secara bersatu serta cekap dalam menangani isu tersebut dengan segera.
"Untuk memastikan ketelusan dan memberikan maklumat kepada komuniti, saya akan memuat naik kemas kini berkaitan di laman Facebook, Instagram, aplikasi X dan TikTok.
"Kami sedang mengkaji situasi ini secara aktif, dan dengan tekad kami menetapkan sasaran untuk menangani kebimbangan ini secepat mungkin," tambah beliau.
Dalam pada itu, Preakas memberitahu, pemasangan pam skru yang sepatutnya siap pada Rabu berdepan masalah berikutan berlakunya pergerakan tanah yang tidak terduga.
Bagaimanapun, ujar beliau, tindakan segera telah diambil untuk mengukuhkan platform sebelum pembinaan stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersebelahannya dapat diteruskan.
"Kami mengakui kepentingan dan kecemasan dalam menangani perkara ini, selain berjanji untuk terus memantau dengan teliti dan bertindak secepat mungkin bagi menyelesaikan isu yang tidak dijangka ini demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
"Saya juga ingin mendapatkan laporan terperinci punca banjir semalam daripada MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan JPS dalam kadar segera supaya dapat mengambil tindakan seterusnya serta tidak boleh menerima sebarang kelewatan dan memandang hal ini serius."Keselamatan dan kesejahteraan penduduk DUN Kota Kemuning adalah keutamaan saya dan dengan komitmen tinggi, saya berjanji untuk terus bekerja tanpa henti dalam menyelesaikan isu-isu banjir yang terus mengganggu komuniti kita," jelas beliau.