OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jalan Gua Musang-Jeli di KM 35 ditutup susulan tanah mendap

Gua Musang: Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35 berdekatan Kampung Jerek menuju ke Jelawang ditutup kepada semua kenderaan berikutan berlaku mendapan tanah sepanjang 15 meter, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, jalan terbabit kelihatan melengkung dan semakin menurun justeru terpaksa ditutup kerana bimbang berlaku pergerakan air bawah tanah.

Beliau berkata, kejadian berkenaan berlaku berkemungkinan faktor cuaca kerana hujan berterusan sejak petang semalam.

"Pemantauan dan penilaian dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada malam tadi dan jalan ditutup untuk semua kenderaan.

"Kami risau ada pergerakan air bawah tanah dan sedang menunggu penilaian oleh pihak JKR sama ada jalan itu selamat digunakan atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sik berkata, pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Jelawang-Sungai Sam untuk ke Gua Musang.

"Berdasarkan laporan daripada JKR daerah, mendapan tanah dikesan seawal 10 pagi semalam, namun jalan masih boleh dilalui dan dibuka kepada semua kenderaan.

"Pihak terbabit membuat tindakan awal dengan meletakkan kon penghalang dan papan tanda sebagai peringatan tanah runtuh untuk makluman kepada pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata, anggota penyelamat dan JKR akan melakukan pemantauan secara berterusan untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.

Mangsa banjir meningkat, hampir 120,000 orang di PPS

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir negara ini terus meningkat pagi ini, apabila mencatatkan seramai 119,701 orang yang terjejas di sembilan negeri, berbanding 102,000 mangsa dilaporkan malam tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 119,701 orang daripada 36,032 keluarga ditempatkan di 697 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 7 pagi ini.

Sembilan negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor, yang mana ia membabitkan 38 daerah terjejas bah.

Daripada jumlah itu, di Kelantan, 279 PPS diaktifkan untuk menempatkan 80,241 orang daripada 24,817 keluarga yang terjejas di 10 daerah, menjadikan ia negeri merekodkan jumlah mangsa tertinggi.

Banjir: Tiga kematian direkodkan

KUALA LUMPUR: Situasi banjir yang melanda negara semakin buruk apabila tiga kematian direkodkan akibat bencana itu.

Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dua kematian dilaporkan berlaku di Kelantan dan satu lagi di Terengganu.

Katanya, jumlah mangsa juga semakin meningkat apabila seramai 103,226 mangsa banjir di sembilan negeri dilaporkan sehingga jam 8 malam tadi.

"Semua mangsa adalah dari 31,196 keluarga membabitkan 35 daerah dan 590 pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif.

"Kelantan merekodkan jumlah mangsa paling tinggi dengan 69,050 dari 21,501 keluarga di 10 daerah dengan 248 PPS yang aktif," katanya, hari ini.

Pada masa sama, menurut NADMA, Terengganu menjadi negeri kedua berdepan banjir paling buruk dengan 24,540 mangsa dari 6,847 keluarga di tujuh daerah membabitkan 255 PPS yang aktif.

Katanya, ia diikuti Kedah dengan 6,000 mangsa membabitkan 1,860 keluarga di enam daerah dan 49 PPS yang aktif.

Seramai 2,161 mangsa membabitkan 595 keluarga pula dicatatkan di empat daerah di Negeri Sembilan dengan 20 PPS aktif.

"Perlis pula mencatatkan sebanyak 496 mangsa; Selangor (487); Johor (305); Melaka (167) dan 20 mangsa banjir di Perak," katanya.

Banjir di 9 negeri sudah cecah lebih 120,000 mangsa

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di sembilan negeri terus meningkat 120,202 orang daripada 36,182 keluarga yang ditempatkan di 697 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 7.30 pagi ini, berbanding 102,000 dilaporkan malam tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor yang mana ia membabitkan 38 daerah.

Kelantan paling teruk dilanda banjir kali ini dengan sebanyak 279 PPS diaktifkan untuk menempatkan 80,725 orang daripada 24,951 keluarga yang terjejas di 10 daerah.

Di Terengganu, banjir melanda lapan daerah membabitkan 31,170 mangsa daripada 8,744 keluarga di 324 PPS manakala di Negeri Sembilan pula, 22 PPS di empat daerah dibuka bagi memberi perlindungan kepada 2,200 mangsa daripada 620 keluarga.

Seramai 4,562 mangsa daripada 1,434 keluarga di enam daerah di Kedah pula berlindung di 50 PPS yang diaktifkan di negeri berkenaan sementara di Perlis pula, seramai 488 mangsa daripada 145 keluarga ditempatkan di empat PPS yang dibuka di tiga daerah terjejas banjir.

Selain itu, Selangor merekodkan 473 mangsa daripada 119 keluarga yang diberi perlindungan di dua PPS membabitkan satu daerah di negeri berkenaan.

Keadaan banjir di Johor kekal dengan seramai 336 orang membabitkan 101 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS di dua daerah terbabit banjir begitu juga di Melaka, sebanyak enam PPS diaktifkan bagi memberi perlindungan kepada 228 mangsa daripada 61 keluarga di tiga daerah.

Manakala, sebanyak tujuh keluarga membabitkan seramai 20 mangsa terjejas banjir di satu daerah dipindahkan ke sebuah PPS di Perak.

Dakwaan MADA melepaskan air Empangan Muda tidak benar - Sanusi

SIK: Keadaan limpahan air di Empangan Muda masih tidak perlu kepada tindakan serta pengisytiharan kecemasan berikutan belum dikategorikan sebagai kritikal.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata limpahan yang berlaku kini adalah bersifat semula jadi apabila takungan air di empangan itu melebihi paras maksimum.

Sekali gus beliau menafikan pihak yang mengurus selia empangan berkenaan iaitu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melepaskan air empangan seperti yang didakwa.

"Saya baru sahaja mendapat taklimat daripada jurutera yang bertanggungjawab terhadap keselamatan empangan ini, sekarang keadaan paras air empangan 101.8 meter.

"Tidak perlu kepada apa-apa tindakan kecemasan dan dakwaan MADA lepas air itu tidak benar kerana limpahan air akibat daripada dalamnya air (takungan) adalah secara semula jadi. Paras limpahan sekarang ini empat kaki (1.21 meter) atas tembok mukanya.

"Paras air menunjukkan trend menurun yang sebelum ini 337 kaki (102.7 meter) sekarang 334 kaki (101.8 meter) dan insyaAllah keadaan akan terus menurun dan tidak ada keperluan mengisytiharkan kecemasan dan sebagainya," katanya dalam satu video yang dimuat naik di media sosial selepas meninjau keadaan Empangan Muda di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata sekiranya paras limpahan Empangan Muda melebihi 3.04 meter pihak MADA akan memaklumkan kepada pengerusi keselamatan daerah iaitu Pegawai Daerah untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, tindakan yang akan diambil selari dengan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Saya nasihatkan kepada orang ramai yang datang ambil gambar dan video tak perlu mencetuskan suasana panik dan benda itu (pelepasan air) tidak berlaku, tidak perlu kepada laporan dan ulasan yang berlebihan.

"MADA akan buat pemantauan 24 jam, tak perlu kepada spekulasi yang berlebihan, kita tunggu maklumat lanjut daripada pengerusi keselamatan daerah dan MADA," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search