OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kelantan, Terengganu dapat dana tambahan

Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggarkan nilai kerugian akibat banjir ketika ini boleh mencecah RM1 bilion, terutama di Kelantan dan Terengganu yang teruk terkesan akibat bencana itu.

Serentak itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Pusat akan terus menyalurkan bantuan bagi meringankan keperluan keluarga mangsa banjir serta peruntukan memperbaiki kemudahan asas yang terjejas.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan tambahan segera untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu, masing-masing RM25 juta, susulan keadaan banjir yang serius di kedua-dua negeri itu.

“Untuk negeri lain kita sedang pantau, tidak mahu jadi salah faham akan ikut keperluan dan saya jangka jumlah keseluruhan (negeri terkesan banjir) mengalami (kerugian) banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan, (SK) Kampung Telaga Papan, yang menempatkan 269 mangsa, di sini semalam.

Perdana Menteri berkata, peruntukan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri

(JPM) itu akan digunakan untuk memperbaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembetung, termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.

“Dari segi Kerajaan Persekutuan, seperti mana yang sudah diumumkan, kita akan beri seluruh kerjasama bantuan yang penuh.

“Untuk Kelantan dan Terengganu seperti mana yang kita umumkan, RM50 juta sudah diputuskan untuk disalurkan, kemudian saya dapat maklumat lagi mengenai keperluan-keperluan terakhir ini.

“Kita sudah lulus selain daripada RM50 juta itu, tambahan kerana nampak jumlah yang terkesan itu jauh lebih besar daripada unjuran awal.

“Ini kita tambah lagi RM25 juta yang saya umum hari ini (semalam), iaitu RM75 juta (untuk Kelantan dan Terengganu sahaja), ” katanya.

Tak perlu isytihar darurat

Selain itu, Anwar berkata, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat meskipun situasi banjir, terutama di Kelantan dan Terengganu semakin serius.

Beliau berkata, seluruh jentera pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan seluruh jentera Persekutuan, negeri dan daerah mampu menangani masalah bencana ini dengan baik.

“Jadi tidak ada keperluan sama sekali untuk diisytihar darurat,” katanya.

Sejurus melawat mangsa di SK Telaga Papan, Anwar yang juga diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, turut meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat mangsa banjir di PPS SK Mangkuk yang menempatkan 372 mangsa.

Dalam pada itu, Anwar mengumumkan bantuan khas kewangan RM500 kepada setiap penjawat awam negeri Terengganu.

Katanya, ia membabitkan lebih 14,000 penjawat awam Terengganu dengan peruntukan keseluruhan akan disalurkan kerajaan negeri Terengganu adalah sebanyak RM7.4 juta.

Penat lelah petugas banjir dihargai, pengorbanan besar tak ternilai kepada rakyat dan negara - Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghargai usaha serta semangat tinggi dipamerkan pasukan keselamatan, petugas kesihatan dan seluruh agensi kerajaan Persekutuan serta negeri yang bertungkus lumus membantu menguruskan kebajikan serta keperluan mangsa banjir ketika ini.

"Penat lelah sehingga terpaksa berjauhan serta meninggalkan keluarga mereka, akan dikenang sebagai satu pengorbanan besar yang tidak ternilai kepada rakyat dan negara," katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook, malam ini.

Perdana Menteri turut meminta sektor swasta menyemarakkan semangat kebersamaan untuk terbabit dalam misi membantu rakyat yang memerlukan dan dilanda kesusahan ketika ini

"Semua pihak harus turun padang dan sama-sama membantu meringankan beban ditanggung sehingga mereka yang terkesan ini dapat menjalani kehidupan seperti sediakala," katanya. – BERNAMA

Kerajaan peruntuk lebih RM127 juta untuk Bantuan Musim Tengkujuh - Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM127.4 juta sebagai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada 318,642 pekebun kecil di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pekebun kecil terlibat akan menerima keseluruhan RM400 seorang, dibayar dua kali sebanyak RM200 masing-masing untuk November dan bulan ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bantuan berkenaan meliputi pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

"Bantuan itu antara lain bagi membantu pekebun kecil terjejas banjir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kedai serbaneka RisSMart24 serta melancarkan Syiling Peringatan Jubli Emas RISDA di UOA Business Park Glenmarie hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kemungkinan 20 hingga 25 peratus mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu akan mula pulang ke rumah secara berperingkat susulan keadaan banjir yang mula reda.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang menghuni kawasan rendah di Pahang dan Johor untuk bersiap siaga kerana kemungkinan luruan air dari Kelantan dan Pahang akan sampai di kedua-dua negeri terbabit, sekali gus menjejaskan penduduk di kawasan rendah.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata situasi banjir di seluruh negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di PPS mencatatkan trend penurunan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memaklumkan koordinasi telah diatur antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia untuk mengenal pasti jalan yang terputus dan memerlukan pembinaan jambatan Bailey.

"Setakat ini kita dapat maklumat, lokasi jambatan itu (akan dibina) Kelantan, Terengganu dan Kedah namun pemantauan berterusan akan dilakukan di Pahang dan Johor," katanya.

Semalam Ahmad Zahid telah mengarahkan supaya gerak kerja bagi pembinaan jambatan Bailey di laluan yang terputus hubungan membabitkan kawasan terjejas akibat banjir di seluruh negara disegerakan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan JKR, katanya mempunyai stok mencukupi untuk pembinaan jambatan Bailey di kawasan terjejas. - Bernama

 

Banjir: Landasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim masih ditutup

ALOR SETAR - Landasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (AOR) masih ditutup akibat banjir.

Malaysia Airports hari ini dalam satu kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan bahawa terminal itu masih beroperasi dan penumpang disarankan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini jadual penerbangan.

"Penumpang dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan dan memantau pengumuman untuk perkembangan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Kedah antara negeri paling terjejas teruk sejak banjir melanda pada Rabu lepas yang menyaksikan jumlah mangsa meningkat kepada 8,051 daripada 2,449 keluarga pagi ini, berbanding 7,954 daripada 2,398 keluarga pada malam tadi. - Bernama

METMalaysia warns of monsoon surge, heavy rains ahead from Dec 8 to 14

KUALA LUMPUR: METMalaysia has forecast a monsoon surge from Dec 8 to 14, 2024.

"This weather pattern may lead to continuous rainfall in the eastern part of Peninsular Malaysia during this period," METMalaysia said in a statement today.

Additionally, weather models indicate that wind convergence is expected in Kelantan and Terengganu from the afternoon of Dec 3 to the early hours of Dec 4, 2024.

This may result in thunderstorms and heavy rainfall during this time.

The public is advised to regularly check METMalaysia's official website at www.met.gov.my, follow its social media channels, and download the myCuaca app for the latest updates and accurate information.
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search