OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Selesaikan isu banjir segera - Sultan Kelantan

Kota Bharu: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menggesa Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat disegerakan bagi menyelesaikan isu banjir di negeri itu.

Sultan Muhammad V bertitah, baginda menekankan kepentingan penyelesaian segera terhadap isu banjir tahunan di Kelantan.

"Beta menggesa projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat disegerakan bagi semua fasa.

"Keutamaan harus diberikan kepada pembinaan Empangan Lebir yang menjadi keperluan mendesak dalam mengatasi isu banjir di Kelantan," titah baginda.

Sultan Muhammad V bertitah demikian dalam Titah Ucapan Diraja ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan timbalannya, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan serta Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Turut berangkat tiba, Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Dalam titah itu, baginda turut memandang serius isu keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

"Maka cadangan pembinaan tembok dan zon penampan di kawasan Sungai Golok perlu dimuktamadkan dengan segera.

"Beta juga menzahirkan rasa sukacita dengan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Antara yang menjadi keutamaan ialah pembangunan infrastruktur membabitkan pelaksanaan projek penting yang diluluskan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Ke-12," titah baginda.

Pada masa yang sama, baginda menyeru jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang terbabit dalam sektor pertanian tetap fokus kepada fungsi dan tugas utama masing-masing serta meningkatkan usaha bagi memastikan sekuriti makanan negeri dan negara terjamin.

Sultan Muhammad V berharap pihak kerajaan dan rakyat meneroka serta mendinamikkan tanaman berpotensi tinggi seperti kelapa dan durian sebagai sumber pendapatan dalam bidang pertanian.

"Selaras dengan Enakmen Pemajuan Pertanian Negeri Kelantan 2022, beta berharap sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian Lojing dapat dibangunkan dengan segera.

"Tanpa langkah tegas untuk memperkukuhkan jenama hasil pertanian Lojing, Kelantan akan kehilangan peluang dari segi hasil, pelaburan dan pembangunan ekonomi.

"Dengan strategi penjenamaan, infrastruktur yang baik dan pematuhan undang-undang, Kelantan berpotensi mengukuhkan jajahan kecil Lojing sebagai pusat pertanian berdaya saing di Malaysia," titah baginda.

 

Cadangan tembok di Sungai Golok perlu dimuktamad segera – Sultan Kelantan

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menggesa cadangan pembinaan tembok dan zon penampan di kawasan Sungai Golok perlu dimuktamadkan dengan segera.

Baginda bertitah, isu tersebut perlu dipandang serius berikutan ia melibatkan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri.

“Beta sukacita dengan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam konteks federalisme.

“Beta telah dimakumkan bahawa kerajaan negeri telah menyediakan senarai permohonan Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Justeru, beta berharap fokus dan hala tuju yang dirancang ke arah pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan memacu pembangunan sektor eknonomi sekali gus meningkatkan daya saing negeri, nasional dan antarabangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 2025 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sultan Muhammad V turut menyeru kerajaan negeri supaya memberi keutamaan kepada pembinaan Empangan Lebir.

Titah baginda, pembinaan itu menjadi keperluan mendesak dalam mengatasi isu banjir di Kelantan.

“Seperti yang beta zahirkan sebelum ini, beta menekankan kepentingan penyelesaian segera terhadap isu banjir tahunan di negeri ini.

“Justeru, beta menggesa projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat diberikan disegerakan bagi semua fasa seperti yang dizahirkan sebelum ini,” titah baginda.

Baginda turut bertitah, pembangunan infrasturuktur yang berkaitan perlu dipercepatkan selain menyediakan insentif pengecualian cukai secara kompetetif bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Kelantan.

“Sebagai contoh pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan memberi fungsi baharu kepada dua kawasan iaitu ‘Cargo-Oriented Development di Jajahan Pasir puteh dan ‘Transit-Oriented Development di Tunjong, Kota Bharu.

“Selain memperkukuhkan sistem pengangkutan, projek itu juga secara tidak langsung akan memberikan kesan gandaan ekonomi kepada rakyat beta,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

METMalaysia uji siren amaran awal tsunami di Balik Pulau esok

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan melaksanakan pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) di Balik Pulau, Pulau Pinang, esok.

METMalaysia dalam hantaran melalui platform X memaklumkan bahawa ia akan dijalankan dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, bertujuan menguji sistem siren tsunami baharu bagi Site Acceptance Test (SAT) di lokasi berkenaan.

"Penduduk di kawasan sekitarnya dinasihatkan tidak panik dengan bunyi siren berkenaan kerana ia adalah suatu ujian sahaja.

"METMalaysia akan memaklumkan jika terdapat sebarang pindaan," menurut kenyataan itu.

 

Jambatan Sg Klah akan dibaiki segera - EXCO Perak

SUNGKAI: Jambatan Sg Klah yang runtuh pagi semalam sehingga mengakibatkan laluan keluar masuk ke Hot Spring Felda Sungai Klah, Kampung Tisong serta Buyong Mas Sanctuary Camp Site di sini terputus, akan dibaiki secepat mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata insiden itu akan dipanjangkan kepada pihak berwajib bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan kerajaan negeri.

"Esok saya akan pastikan pihak mana yang bertanggungjawab terhadap isu ini bagi memudahkan tindakan susulan yang kerajaan negeri akan luluskan.

"Saya datang ke sini pada malam ini juga untuk pastikan yang masih terkandas di sebelah Kampung Sungai Tisong itu dapat meneruskan urusan seharian mereka termasuk pelajar sekolah," katanya selepas meninjau lokasi lewat petang semalam.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melaporkan seramai 136 individu termasuk 81 pelajar sebuah politeknik terkandas akibat kejadian itu.

Mohammad Nizar turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Malim serta Pejabat Penghulu Mukim Sungkai yang membantu memudahkan urusan berhubung kejadian tersebut. – BERNAMA

Panduan prosedur keselamatan kebakaran

INSIDEN letupan gas yang berlaku di Putra Heights pada 2 Syawal lalu memberi kesan terhadap penduduk yang mendiami kawasan tersebut. 

Apatah lagi kejadian itu mengakibatkan kediaman mereka musnah teruk sehingga mereka tiada tempat berlindung.  Disini panduan bagi memastikan cara menyelamatkan diri apabila berlaku insiden tidak diingini seperti letupan dan kebakaran.

 

Jangan panik!

Seperti semua situasi kecemasan, anda perlu hadapinya dengan tenang. Memang susah, tapi cuba bertenang supaya dapat berfikir dengan baik.

Kalau anda panik, susah nak fikir apa yang patut dibuat dan ada kemungkinan anda lagi cepat lemas dalam asap kebakaran.

Pasang sistem penggera kebakaran.

Kalau boleh pasang di setiap ruangan rumah (dapur, bilik tidur, ruang tamu) dan ia selalunya diletak pada siling. 

Jika ada asap kebakaran, ia akan terus berbunyi dan memberi amaran kepada orang dalam rumah.

 

Merangkak atas lantai

Bila terjadi kebakaran, asap toksik akan berkumpul dengan banyak di bahagian siling. Asap ini sangat bahaya dan boleh menyebabkan kematian.

Tutup hidung dan mulut menggunakan kain atau tuala basah dan merangkak di atas lantai untuk ke tempat yang le­bih selamat.

 

Jauhi dinding

Ada kemungkinan dinding rumah boleh roboh dan menghempap anda semasa kebakaran. Jadi, pastikan anda tak bersandar dan duduk jauh dari mana-mana dinding.

 

Tutup suis elektrik

Suis elektrik sentiasa mengalirkan elektrik dan boleh mengakibatkan kebakaran jika terjadi litar pintas.

Oleh itu, pastikan semua suis elektrik sentiasa ditutup bila tak digunakan dan cabut juga plug dari soket.

Ini sangat penting bila anda nak keluar rumah atau mening­galkan rumah untuk jangka masa yang panjang. Selain tu, anda juga dapat menjimatkan bil elektrik.

 

Percikan api

Kalau ternampak percikan api di suis, soket atau mana-mana peralatan elektrik, jangan ambil mudah dan biarkan saja ia selesai sendiri.

Panggil juruelektrik untuk periksa keadaan percikan api dan baiki apa yang perlu.

 

Pastikan ada laluan kecemasan

Jangan penuhkan ruang dengan barangan dan pastikan ada laluan yang boleh digunakan untuk sebarang kecemasan. Semua penghuni juga perlu tahu tentang laluan ini.-UTUSAN

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search