OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Selesaikan isu banjir segera - Sultan Kelantan

Selesaikan isu banjir segera - Sultan Kelantan

Kota Bharu: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menggesa Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat disegerakan bagi menyelesaikan isu banjir di negeri itu.

Sultan Muhammad V bertitah, baginda menekankan kepentingan penyelesaian segera terhadap isu banjir tahunan di Kelantan.

"Beta menggesa projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat disegerakan bagi semua fasa.

"Keutamaan harus diberikan kepada pembinaan Empangan Lebir yang menjadi keperluan mendesak dalam mengatasi isu banjir di Kelantan," titah baginda.

Sultan Muhammad V bertitah demikian dalam Titah Ucapan Diraja ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan timbalannya, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan serta Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Turut berangkat tiba, Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Dalam titah itu, baginda turut memandang serius isu keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

"Maka cadangan pembinaan tembok dan zon penampan di kawasan Sungai Golok perlu dimuktamadkan dengan segera.

"Beta juga menzahirkan rasa sukacita dengan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Antara yang menjadi keutamaan ialah pembangunan infrastruktur membabitkan pelaksanaan projek penting yang diluluskan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Ke-12," titah baginda.

Pada masa yang sama, baginda menyeru jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang terbabit dalam sektor pertanian tetap fokus kepada fungsi dan tugas utama masing-masing serta meningkatkan usaha bagi memastikan sekuriti makanan negeri dan negara terjamin.

Sultan Muhammad V berharap pihak kerajaan dan rakyat meneroka serta mendinamikkan tanaman berpotensi tinggi seperti kelapa dan durian sebagai sumber pendapatan dalam bidang pertanian.

"Selaras dengan Enakmen Pemajuan Pertanian Negeri Kelantan 2022, beta berharap sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian Lojing dapat dibangunkan dengan segera.

"Tanpa langkah tegas untuk memperkukuhkan jenama hasil pertanian Lojing, Kelantan akan kehilangan peluang dari segi hasil, pelaburan dan pembangunan ekonomi.

"Dengan strategi penjenamaan, infrastruktur yang baik dan pematuhan undang-undang, Kelantan berpotensi mengukuhkan jajahan kecil Lojing sebagai pusat pertanian berdaya saing di Malaysia," titah baginda.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search