Bomba jangka tiada kemarau ekstrem melanda ketika Monsun Barat Daya
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU: Tiada kemarau ekstrem dijangka berlaku di negara ini walaupun cuaca sedang mengalami fasa peralihan Monsun Barat Daya.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, bagaimanapun beberapa negeri kini sedang dilanda banjir kilat yang dianggap memberi impak lebih teruk berbanding banjir ketika Monsun Timur Laut.
Sehubungan itu, beliau berkata, tumpuan khusus diberikan kepada negeri yang dilanda bencana terbabit dan mengarahkan anggotanya sentiasa bersiap siaga.
"Peralihan Monsun Barat Daya untuk tahun ini kita tidak menjangkakan berlaku kemarau ekstrem kerana pemanasan suhu permukaan Lautan Pasifik di sekitar Khatulistiwa adalah sekitar 0.5 darjah Celcius.
"Yang wujud adalah hari tanpa hujan yang panjang dan kebelakangan ini berlaku beberapa siri hujan pada waktu petang dengan taburan yang tinggi serta tertumpu di sesetengah lokasi.
"Keadaan ini turut menyebabkan banjir kilat di beberapa negeri termasuk Selangor, Johor serta Sabah dan saya percaya apabila ia berlaku, akan menyebabkan kerugian lebih besar, itu yang kami beri tumpuan," katanya ketika sidang media di Tunjong di sini, hari ini.
Beliau berkata, peringatan sudah dikeluarkan kepada balai bomba yang terbabit terus bersiap siaga bagi memastikan penugasan sentiasa dalam keadaan lancar.
Dalam perkembangan berasingan, Nor Hisham berkata, JBPM Kelantan mencatatkan masa tindak balas (response time) 9.24 untuk suku pertama tahun ini berbanding 9.36 dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Beliau juga berkata, sasaran response time yang diletakkan untuk JBPM pada tahun lalu adalah 9.30 dan secara keseluruhannya pencapaian berjaya direkodkan pada 8.36 kerana sebahagian besarnya disumbang oleh negeri bertaraf metropolitan iaitu Kuala Lumpur serta Selangor.
"Sebaran kependudukan di negeri metropolitan sedikit tertumpu dan lokasi antara balai bomba ke balai yang lain juga dekat, manakala untuk negeri lain seperti Kelantan, Pahang dan Kedah, kita dapati patern kependudukannya berbeza.
"Paling penting kita mahukan response time sentiasa di bawah sasaran nasional dan berharap trend ini berterusan," katanya.