OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Empangan Bukit Merah masih kritikal di sebalik peningkatan paras air

KUALA LUMPUR: Empangan Bukit Merah, Perak menunjukkan peningkatan sebanyak 0.4 peratus baki stok simpanan semasa air mentah hari ini, namun masih berada pada paras kritikal iaitu 16.83 peratus berbanding 16.43 peratus semalam.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata selain itu terdapat dua empangan berada pada paras waspada iaitu Empangan Muda, Kedah pada paras 32.95 peratus dan Empangan Ahning, Kedah (58.54 peratus).

Menurutnya, Empangan Bukit Merah berada di bawah paras normal sejak 17 Jun lalu.

"Pejabat Operasi Empangan Bukit Merah sudah menghentikan bekalan pengairan setelah paras air mencapai bawah 20 kaki dan hanya membekalkan air ke loji loji Lembaga Air Perak (LAP) berkuat kuasa 21 Julai lalu.

"Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah berada di bawah paras normal bermula semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Halim berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi satu lembangan sungai, iaitu Lembangan Sungai Muda, Baling, Kedah di satu stesen iaitu Sungai Ketil, Kuala Pegang, Baling, Kedah.

"Dua stesen kadar alir masih menunjukkan kadar alir sungai di bawah normal iaitu Sungai Pahang di Temerloh, Pahang dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai, Kelantan yang telah dikemas kini semalam," katanya.

Hujan monsun ragut 302 nyawa di Pakistan sejak Jun

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 302 orang maut manakala 727 lagi cedera dalam insiden berkaitan hujan di seluruh Pakistan sejak 26 Jun lalu, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) pada Isnin.

Berdasarkan laporan terkini NDMA, dua orang maut dan 12 cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu ketika hujan monsun lebat terus melanda pelbagai bahagian negara itu. Wilayah timur Punjab merupakan kawasan paling terjejas dengan 163 kematian dan 579 kecederaan dilaporkan.

Di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa pula, sebanyak 71 kematian dan 86 kecederaan direkodkan. Pihak berkuasa mengeluarkan amaran hujan lebat di bahagian utara dan tengah dari 5 hingga 10 Ogos, serta menasihati kerajaan-kerajaan wilayah agar melaksanakan operasi bantuan di samping memantau kawasan berisiko tinggi sepanjang tempoh terbabit. - Bernama-Xinhua

Hujan monsun ragut lebih 300 nyawa di seluruh Pakistan

ISLAMABAD, 5 Ogos: Sekurang-kurangnya 302 orang maut manakala 727 lagi cedera dalam insiden berkaitan hujan di seluruh Pakistan sejak 26 Jun lalu, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) pada Isnin, lapor Xinhua.

Berdasarkan laporan terkini NDMA, dua orang maut dan 12 cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu ketika hujan monsun lebat terus melanda pelbagai bahagian negara itu.

Wilayah timur Punjab merupakan kawasan paling terjejas dengan 163 kematian dan 579 kecederaan dilaporkan.

Di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa pula, sebanyak 71 kematian dan 86 kecederaan direkodkan.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran hujan lebat di bahagian utara dan tengah dari 5 hingga 10 Ogos, serta menasihati kerajaan-kerajaan wilayah agar melaksanakan operasi bantuan di samping memantau kawasan berisiko tinggi sepanjang tempoh terbabit. – TVS

Tragedi Putra Heights: Henti salahkan ‘tanah’ semata-mata

PENGUMUMAN hasil siasatan rasmi berkenaan insiden letupan paip gas di Putra Heights mengecewakan ramai pihak. Lebih menjengkelkan ialah bagaimana pengumuman tersebut meletakkan punca kejadian terhadap pergerakan tanah, seolah-olah masalah ini berlaku secara semula jadi tanpa sebarang kaitan dengan pembangunan manusia.

Tiada penerangan lanjut bagaimana tanah itu bergerak. Tiada analisis yang dikongsikan secara mendalam tentang faktor-faktor sekeliling. Dan tiada kebertanggungjawaban konkrit daripada pihak-pihak terlibat.

Bagi penduduk yang terkesan, wajar menuntut penjelasan bukan sahaja mengenai kejadian tetapi siapa yang akan bertanggungjawab untuk memulihkan semula kehidupan mereka.

Antara yang paling membimbangkan bagaimana pembangunan boleh diluluskan dengan begitu hampir kawasan infrastruktur kritikal seperti paip gas, pencawang atau menara elektrik, lebuh raya bertingkat atau landasan Transit Aliran Ringan (LRT)?

Apakah pertimbangan keselamatan pihak berkuasa tempatan? Adakah pemaju membuat analisis impak jangka panjang? Atau adakah semua proses ini hanya bersandarkan kelulusan teknikal tanpa melihat kepada risiko sebenar terhadap komuniti sekeliling?

Lebih mengecewakan, ramai pembeli rumah mendakwa tidak dimaklumkan langsung tentang kewujudan paip gas ini semasa proses jual beli. Ini bukan perkara remeh. Ini adalah soal hak. Pembeli berhak tahu jika hartanah yang mereka beli terletak bersebelahan dengan infrastruktur berisiko tinggi. Jika perkara asas seperti ini pun tidak didedahkan, bagaimana mereka boleh membuat keputusan bijak sebagai pengguna?

Selain itu, timbul pula isu pelaksanaan kerja-kerja pemulihan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan rancangan membina semula rumah-rumah yang musnah dengan dana kerajaan dan sumbangan daripada pemilik infrastruktur berkenaan. Namun, sudah berbulan-bulan berlalu dan kerja-kerja masih belum berjalan lancar, khususnya di Taman Putra Harmoni. Beberapa kenalan saya yang tinggal di kawasan tersebut meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan yang masih tidak menentu. Mereka masih tidak tahu apakah langkah seterusnya dan komunikasi efektif dengan pihak bertanggungjawab hampir tidak wujud.

Lebih menghairankan, kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pemulihan ini merupakan kontraktor yang dilantik pemaju asal iaitu pihak sama yang didakwa gagal memaklumkan tentang kehadiran paip gas sejak awal lagi. Dan kini, pihak pemaju berkenaan diberi mandat oleh KPKT, untuk membina semula rumah-rumah mangsa dengan dana yang disebutkan tadi.

Ada penduduk yang mengalami kerosakan penuh mendakwa cuma kerja-kerja pembaikan akan dijalankan ke atas rumah mereka berbanding ‘pembinaan semula’ seperti yang dinyatakan sebelum ini – walaupun struktur rumah sudah jelas musnah.

Ada juga mangsa yang dimaklumkan oleh kontraktor yang pendawaian elektrik dalam rumah tidak termasuk dalam skop kerja. Ada pula yang dimaklumkan paip air di dalam rumah akan dipasang secara luaran, di atas lantai, bukan di bawah seperti biasa.

Jubin lantai tidak akan dipasang dan lantai hanya akan disimen dan dicat. Bumbung rumah yang rosak hampir separuh pula hanya akan dibaiki secara separa. Semua ini bukan sahaja menjengkelkan, malah menjatuhkan maruah dan hak mangsa. Lebih menyedihkan, mereka diminta menandatangani ‘surat setuju terima’ yang menggugurkan hak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang – walhal butiran kerja pun masih belum jelas.

Di tengah-tengah semua kekeliruan ini, ‘tanah’ terus dipersalahkan tetapi tiada siapa menjawab soalan sebenar, mengapa tanah itu bergerak atau mendap sehinggakan paip gas boleh pecah? Bukankah kawasan itu dulunya mempunyai aliran sungai? Ke mana air itu dialihkan semasa pembangunan projek perumahan? Bagaimana pula dengan sistem saliran dan pembetungan pembangunan perumahan? Semua ini memerlukan siasatan terperinci, bukan diketepikan dengan mempersalahkan gerakan tanah.

Di seberang kawasan perumahan pula, kerja-kerja pembangunan oleh pemaju lot kedai juga seharusnya menimbulkan tanda tanya. Ada laporan tentang ketidaktelusan dalam proses kelulusan dan kebenaran merancang. Namun sehingga kini, tiada penjelasan yang diberikan. Yang pasti, apabila semuanya gagal dijawab, ‘tanah’ dipersalahkan. Begitu mudahnya melarikan diri daripada tanggungjawab sebenar.

Kita tidak boleh terus membiarkan perkara ini berlaku. Di sebalik semua laporan teknikal dan permainan salah-menyalah ini, penduduk di kawasan berkenaan kehilangan segalanya – rumah, keselamatan, dan keyakinan terhadap sistem. Apakah kita mahu berdiam diri dan membiarkan mereka terkapai-kapai tanpa harapan?

Saya menyeru semua pihak yang terlibat baik kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju, mahupun syarikat pemilik infrastruktur hentikan permainan persepsi dan mula bertindak. Ini bukan semata-mata soal membaiki rumah, tetapi membina semula kepercayaan rakyat.
Tanggungjawab ini bukan boleh dipindah atau dipersalahkan antara satu sama lain. Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti ditunaikan, sekarang, bukan esok.-UTUSAN

DATUK NADZIM JOHAN
Pengerusi Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search