OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jalan rebak ancam keselamatan 600 penduduk Orang Asli

IPOH: Kira-kira 600 penduduk Orang Asli Kampung Makmur, Hulu Kinta di sini, bimbang ke­selamatan mereka terancam susulan keadaan jalan utama kampung yang semakin rebak dan dikhuatiri runtuh pada bila-bila masa.

Lebih membimbangkan, bahagian jalan yang mengalami kerosakan itu terletak di lereng bukit dan menjadi semakin licin serta berbahaya setiap kali hujan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa bahagian jalan berkenaan mengalami kerosakan teruk dengan kewujudan lubang, selain laluan semakin sempit dan sukar dilalui kenderaan.

Jalan itu merupakan laluan utama penduduk untuk berhubung dengan kampung lain di sekitar Hulu Kinta, selain digunakan bagi urusan harian termasuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan keluar ke kawasan luar.

Tok Batin Kampung Makmur, Jalani Rasid berkata, kerosakan jalan berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama dan semakin serius jika tidak dibaiki segera.

Menurutnya, keadaan itu membahayakan semua pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal, khususnya ketika hujan apabila permukaan jalan menjadi licin.

“Setiap kali melalui jalan yang rosak, penduduk perlu berhati-hati kerana kerosakannya agak teruk dan membahayakan, lebih-lebih lagi bahagian yang rebak terletak di lereng bukit.

“Sesiapa sahaja yang melalui jalan ini pasti dapat melihat betapa bahayanya kawasan yang rebak itu. Memang takut untuk melalui jalan ini,” katanya.

Jalani berkata, setakat ini belum berlaku sebarang kejadian tidak diingini membabitkan penduduk, namun kerosakan ber­kenaan tidak sepatutnya dibiarkan sehingga mengundang risiko lebih besar.- UTUSAN

Banjir kilat landa sekitar i-City, Seri Kembangan

PETALING JAYA – Banjir kilat dilaporkan berlaku di sekitar Seksyen 7 dan i-City, di sini susulan hujan lebat serta ribut.

Beberapa pengguna media sosial memaklumkan situasi itu menerusi hantaran masing-masing, selain menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengelak laluan berkenaan.

Antara kawasan terjejas termasuk laluan sekitar i-City menuju Sogo dan keluar menghala ke Lebuh Raya Persekutuan.

Satu hantaran yang dikongsikan pada pukul 4.25 petang turut memaklumkan laluan berkenaan dinaiki air dan pengguna dinasihatkan supaya mencari laluan alternatif.

Seorang pengguna Threads, @_ainhalimm yang tinggal di kawasan berkenaan turut bimbang dengan keadaan trafik ketika mahu pulang dari Klang.

“Saya duduk situ, masaklah jem nak balik rumah dari Klang sekejap lagi,” katanya.

Sementara itu, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Sri Indah, Seri Kembangan, susulan cuaca buruk.

Orang ramai yang menggunakan laluan terlibat dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika memandu. – KOSMO! ONLINE

Jerebu: Kepulan asap berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan, Sumatera – JAS

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini berpunca daripada kepulan asap sederhana sehingga tebal daripada kelompok titik panas yang dikesan pada sebahagian besar kawasan Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam melaporkan sebanyak 327 titik panas dikesan di Kalimantan, manakala 191 lagi di Sumatera, selain satu titik panas dikesan di Sarawak.

“ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana diperhatikan meliputi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Singapura dan bahagian barat laut Borneo,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata JAS terus memperkukuh tindakan pemeriksaan, rondaan dan pemantauan di kawasan yang terdedah kepada risiko kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah, berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang berterusan.

“Sekiranya terdapat kesalahan yang dikenal pasti, tindakan susulan akan diambil berdasarkan hasil pemeriksaan, siasatan dan bukti yang diperoleh di lapangan,” katanya.

Azuri Azizah berkata JAS akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), titik panas dan perkembangan jerebu rentas sempadan, dengan mengambil kira maklumat meteorologi sebagai input dalam penilaian situasi serta penyelarasan tindakan pengurusan jerebu pada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Setakat 2 petang ini, 23 kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan tertinggi direkodkan di beberapa negeri, iaitu Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang, serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata tindakan JAS dilaksanakan secara bersepadu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), yang menetapkan peranan pelbagai agensi berdasarkan tahap dan perkembangan situasi jerebu.

Pada masa sama, JAS akan terus mengemukakan maklumat berkaitan perkembangan situasi, hasil pemantauan, rondaan, Operasi Membanteras Pembakaran Terbuka (OMPT) dan tindakan penguatkuasaan secara berkala mengikut mekanisme pelaporan yang ditetapkan.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan perkembangan situasi dapat dinilai secara berterusan dan tindakan sewajarnya dapat diselaraskan pada semua peringkat.

JAS turut menekankan kerjasama pihak industri dalam memastikan pelepasan udara daripada punca utama dikurangkan, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300. -TVS

Kebakaran di Kalimantan: Malaysia masih tunggu maklum balas Indonesia tawaran bantuan aset

PUTRAJAYA: Kerajaan setakat ini masih belum menerima apa-apa maklum balas daripada Indonesia berhubung nota tawaran bantuan aset Malaysia untuk membantu memadam kebakaran di negara itu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan susulan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Indonesia dan pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto baru-baru ini.

“Wisma Putra memaklumkan mereka belum lagi menerima maklum balas daripada nota yang sudah dihantar oleh Wisma Putra kepada pihak Indonesia.

“Jadi kita masih mengikut saluran rasmi dan juga perbincangan secara langsung dan terus di antara pimpinan utama,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Katanya, pada mesyuarat sama, Ahmad Zahid turut membangkitkan isu aset Malaysia yang mungkin boleh digunakan bagi membantu memadam kebakaran di wilayah Indonesia ketika pertemuan dengan Prabowo.

Dalam perkembangan berkaitan jerebu, Fahmi berkata, keputusan mengenai penganjuran acara besar hujung minggu ini adalah di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, tiga acara besar dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober, iaitu Le Tour de Langkawi, Bahrain F1 Malaysia dan Standard Chartered Marathon.

“Bagi pihak kerajaan yang menguruskan F1, pihak KBS menyatakan akan meneruskan. Belum ada apa-apa makluman sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

Bomba selamatkan 37 kanak-kanak, 7 guru tadika terperangkap banjir kilat

JOHOR BAHRU: Seramai 37 kanak-kanak dan tujuh guru tadika di Jalan Muhd Amin, di sini berdepan detik cemas terperangkap selepas premis berkenaan dinaiki air susulan banjir kilat petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.53 petang itu, kesemua mangsa berjaya dipindahkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Surau Medan Selera Tepian.

Komander Operasi, Nakish Nekmat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.53 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin tiba di lokasi pada jam 4.14 petang.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan bot sukarela untuk memindahkan kesemua mangsa ke Surau Medan Selera Tepian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi masih dijalankan dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.

Seramai 10 anggota JBPM terbabit dalam operasi itu dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Hujan lebat bermula jam 2 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dinaiki air sebelum banjir kilat beransur pulih secara berperingkat.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search