OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jalan rebak ancam keselamatan 600 penduduk Orang Asli

Jalan rebak ancam keselamatan 600 penduduk Orang Asli

IPOH: Kira-kira 600 penduduk Orang Asli Kampung Makmur, Hulu Kinta di sini, bimbang ke­selamatan mereka terancam susulan keadaan jalan utama kampung yang semakin rebak dan dikhuatiri runtuh pada bila-bila masa.

Lebih membimbangkan, bahagian jalan yang mengalami kerosakan itu terletak di lereng bukit dan menjadi semakin licin serta berbahaya setiap kali hujan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa bahagian jalan berkenaan mengalami kerosakan teruk dengan kewujudan lubang, selain laluan semakin sempit dan sukar dilalui kenderaan.

Jalan itu merupakan laluan utama penduduk untuk berhubung dengan kampung lain di sekitar Hulu Kinta, selain digunakan bagi urusan harian termasuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan keluar ke kawasan luar.

Tok Batin Kampung Makmur, Jalani Rasid berkata, kerosakan jalan berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama dan semakin serius jika tidak dibaiki segera.

Menurutnya, keadaan itu membahayakan semua pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal, khususnya ketika hujan apabila permukaan jalan menjadi licin.

“Setiap kali melalui jalan yang rosak, penduduk perlu berhati-hati kerana kerosakannya agak teruk dan membahayakan, lebih-lebih lagi bahagian yang rebak terletak di lereng bukit.

“Sesiapa sahaja yang melalui jalan ini pasti dapat melihat betapa bahayanya kawasan yang rebak itu. Memang takut untuk melalui jalan ini,” katanya.

Jalani berkata, setakat ini belum berlaku sebarang kejadian tidak diingini membabitkan penduduk, namun kerosakan ber­kenaan tidak sepatutnya dibiarkan sehingga mengundang risiko lebih besar.- UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search