KUALA LUMPUR: Kualiti udara di Serian, Sarawak kekal membimbangkan apabila merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 212, setakat jam 8 pagi ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 28 kawasan di seluruh negara pula merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Di Sarawak, Samarahan merekodkan bacaan 186, diikuti Sarikei dan Sri Aman masing-masing 174, manakala ILP Miri (172) dan Mukah (157), Bintulu (156), Miri (151) serta Sibu (104).
Selain Sarawak, beberapa kawasan di Semenanjung turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Batu Muda, Kuala Lumpur mencatat bacaan 170, diikuti Shah Alam, Selangor (162).
Di Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan 159, Tasek Ipoh dan Tanjung Malim, Perak masing-masing 158, manakala Putrajaya (158).
Banting, Selangor pula merekodkan bacaan 157, Bukit Rambai, Melaka (155), Segamat, Johor (155) dan Jerantut, Pahang (155).
Di Petaling Jaya dan Klang, Selangor masing-masing mencatat bacaan 154, manakala Seri Manjung, Perak (152), Kuala Selangor, Selangor (152), Alor Gajah, Melaka (152) dan Batu Pahat, Johor (152).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Pegoh Ipoh, Perak dengan 147, Kluang, Johor (136), Tangkak, Johor (130) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (109).
Sementara itu, sebanyak 23 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana.
Antaranya Bandaraya Melaka dengan bacaan 99, Pasir Gudang, Johor (96), Temerloh, Pahang (96), Larkin, Johor dan Kuala Terengganu, Terengganu masing-masing 95.
KATHMANDU: Operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Nepal kini berdepan cabaran luar biasa apabila beberapa operasi dijalankan serentak di dalam terowong hidroelektrik di kawasan Himalaya.
Pakar penyelamat Australia, Arnold Dix, berkata situasi itu antara cabaran paling sukar pernah dihadapinya berikutan operasi menyelamat perlu dijalankan di beberapa lokasi pada masa sama.
“Kami berdepan sesuatu yang belum pernah saya hadapi sebelum ini.
“Bukan satu operasi menyelamat, tetapi beberapa operasi berpotensi yang berlaku serentak di lokasi berbeza, masing-masing dengan bahaya, ketidakpastian dan nyawa yang mungkin masih dapat diselamatkan,” kata Dix, Presiden Persatuan Terowong dan Ruang Bawah Tanah Antarabangsa, dalam satu hantaran di media sosial.
Runtuhan glasier dan gunung di sempadan China-Nepal pada 26 Ogos mengorbankan sekurang-kurangnya 1,385 orang, manakala lebih 5,500 lagi masih hilang di kedua-dua negara.
Ratusan pekerja projek hidroelektrik antara yang masih hilang, manakala operasi mencari dan menyelamat kini memasuki hari ke-13.
Nepal mengisytiharkan Isnin sebagai hari berkabung kebangsaan mengikut tradisi Hindu, namun operasi menyelamat tetap diteruskan.
Jurucakap Tentera Nepal, Raja Ram Basnet, berkata operasi dijalankan pada tiga peringkat iaitu di darat, udara dan dalam terowong.
“Fokus kami adalah mencari dan menyelamat di tiga peringkat — di darat, udara dan dalam terowong. Kami memastikan tiada sesiapa yang masih terperangkap,” katanya kepada AFP.
Harapan untuk menemukan lebih ramai mangsa terselamat meningkat selepas tiga pekerja berjaya diselamatkan dari dalam terowong, termasuk dua warga Nepal pada Jumaat dan seorang warga China pada Sabtu.
Pakar dari China, India dan Korea Selatan turut membantu pasukan Nepal dalam operasi berkenaan, termasuk Dix.
“Kami dinilai bukan sahaja berdasarkan nyawa yang berjaya diselamatkan, tetapi juga nyawa yang enggan kami tinggalkan,” katanya.
Dix sebelum ini menjadi penasihat dalam operasi menyelamat 41 pekerja yang terperangkap selama 17 hari di dalam terowong Silkyara yang runtuh di Uttarakhand, India pada 2023.
“Silkyara mengajar saya supaya tidak menganggap sesuatu yang sukar berlaku sebagai sesuatu yang mustahil,” katanya.
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia bergerak ke Trishuli Bazar untuk misi HADR
- Admin UKK
- Berita
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia bergerak ke Trishuli Bazar untuk misi HADR
KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 kini dalam perjalanan dari Kathmandu menuju Trishuli Bazar di Nepal bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) di kawasan terjejas.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim, berkata perjalanan ke Trishuli Bazar mengambil lebih kurang tiga jam dengan diiringi tentera Nepal.
Katanya, pasukan berkenaan terdiri 11 pegawai dan anggota serta pergerakan menggunakan sebuah lori seberat 10 tan dan dua kenderaan.
"Perjalanan mengambil masa tiga jam, bergantung keadaan jalan raya dan trafik," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sabtu lalu, 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Subang, kira-kira jam 9 pagi.
Pasukan turut membawa peralatan mencari dan menyelamat (SAR) bagi menyokong operasi di kawasan terjejas.
Setakat ini, lebih 5,000 individu masih dilaporkan hilang, manakala 1,300 lagi disahkan terkorban dalam bencana berkenaan.
Daripada jumlah yang masih hilang itu, 55 adalah rakyat Malaysia.
PETALING JAYA – Sarawak menjadi antara negeri paling banyak melibatkan kawasan yang dijangka dilanda ribut petir dan hujan lebat sehingga pukul 9 malam ini.
Jabatan Meteorologi berkata, antara kawasan terlibat ialah Sri Aman membabitkan Lingga, Sri Aman dan Lubok Antu selain Betong serta Sarikei meliputi Julau dan Pakan.
“Amaran sama turut membabitkan Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit) serta kawasan di pedalaman Sarawak.
Selain Sarawak, empat negeri lain iaitu Kedah, Perak, Kelantan dan Sabah turut berada di bawah amaran ribut petir serta hujan lebat sehingga pukul 9 malam ini,” ujarnya.
Di Kedah, kawasan terlibat ialah Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Perak membabitkan Selama, Hulu Perak, Larut Matang dan Kuala Kangsar.
Sementara itu, di Kelantan, amaran berkenaan melibatkan Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.
Bagi Sabah pula, kawasan terlibat ialah Pedalaman meliputi Pensiangan, Sook, Keningau, Tambunan dan Tenom.
Turut terjejas ialah Sandakan membabitkan Tongod, Telupid, Paitan dan Kinabatangan serta Labuk dan Sugut. – KOSMO! ONLINE
KUALA LUMPUR: Malaysia menunggu kebenaran Kerajaan Nepal untuk menghantar pakar asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu mengenal pasti identiti jasad mangsa bencana di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata permohonan untuk menghantar pakar berkenaan sudah dikemukakan kepada Kerajaan Nepal dan proses pengecaman menerusi DNA dijangka dilakukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan.
Beliau berkata, kepakaran itu diperlukan bagi membolehkan sampel DNA daripada jasad mangsa bencana dipadankan dengan sampel diberikan ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan.
"Terdapat jasad yang ditemukan tetapi terus dikebumikan kerana mereka tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi.
"Kita memerlukan DNA untuk dipadankan dengan sampel DNA ahli keluarga rakyat Malaysia. Proses itu akan dilakukan selepas operasi SAR ditamatkan," katanya dalam sidang media selepas majlis makan tengah hari sempena lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, beliau memaklumkan semua sampel DNA waris terdekat 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dikesan susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal selesai diperoleh.
Sementara itu, Mohamad berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dalam perjalanan ke kawasan 'ground zero' akan membantu pihak berkuasa Nepal dalam usaha mengesan mangsa yang masih belum ditemukan.
Beliau berkata, Malaysia berharap kehadiran pasukan berkenaan dapat membantu usaha mencari dan mengesan mangsa yang masih dikategorikan sebagai hilang.
Semalam, anggota SMART MAS01 yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke Nepal selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu pada 12 tengah hari waktu tempatan.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan pasukan itu selesai menjalani proses ketibaan dan protokol misi pada 4.30 petang waktu tempatan, termasuk urusan pelepasan logistik serta pengesahan senarai anggota.
Pasukan itu terdiri daripada 11 anggota dan pegawai SMART yang membawa peralatan SAR seberat 12.4 tan antaranya kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi dan peralatan khas penyelamatan terowong serta sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah trak muatan 10 tan. – BERNAMA
