OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kemarau panjang mula jejas kegiatan harian penduduk

Kemarau panjang mula jejas kegiatan harian penduduk

Kemarau yang dialami beberapa negeri ketika ini, khususnya di utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan sesetengah lokasi tidak menerima hujan lebih tiga minggu, mula memberi kesan kepada kehidupan penduduk setempat dan kawasan persekitaran.

Selain ada loji rawatan air berdepan kekurangan bekalan untuk diproses kerana paras sungai surut di muka sauk, kawasan yang selama ini mengharapkan hujan untuk mengairi pertanian pula semakin kering-kontang.

Kemarau melanda juga menyebabkan kawasan hutan rekreasi berasaskan air juga mula hilang seri hingga mengundang kecewa pengunjung yang berharap dapat mandi manda dalam situasi panas ketika ini.

Bekalan air terhad juga menyebabkan kebakaran mudah berlaku di kawasan mengalami kemarau, terutama tanah gambut hingga sukar ditangani pihak berkuasa berikutan bekalan dan sumber air yang terhad.

Kira-kira 150,000 penduduk daerah Papar di Sabah, sedang berdepan masalah air kritikal, selain pencemaran udara disebabkan kebakaran hutan berikutan cuaca panas dan kering berpanjangan sejak lebih sebulan lalu.

Ketika ini, kebanyakan penduduk terpaksa bergantung bekalan

air bersih dihantar Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah yang digerakkan selepas Papar diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau sejak 13 Mac lalu.

150,000 penduduk terjejas

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar, Mohd Fuad Abdullah, berkata 44 kampung, 37 sekolah, 19 taman perumahan dan lapan rumah ibadat membabitkan 150,000 penduduk di sekitar daerah ini terjejas akibat situasi itu.

Katanya, PKOB menyewa 11 lori untuk melaksanakan penghantaran bekalan air bersih di semua kawasan terbabit, selain dibantu 15 lori agensi kerajaan dan enam lori sukarelawan yang membabitkan 200 petugas dari 27 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali turut membantu menggerakkan operasi penghantaran air menerusi Pejabat Ahli Parlimen Papar kepada penduduk yang terjejas.

Masalah air daerah itu berpunca daripada penutupan sebuah LRA berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) yang membekal air bersih kepada penduduk daerah ini sejak lebih sebulan lalu, selain penurunan separuh kapasiti satu lagi LRA berkeupayaan 10 MLD disebabkan isu bekalan air mentah.

Ketiadaan hujan menyebabkan air Sungai Papar di kedua-dua muka sauk LRA terbabit, masing-masing

LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau dan LRA Jetama Limbahau dimasuki air masin hingga tidak mampu dirawat apabila mencecah lebih 4,000 miligram per liter (MGL) berbanding had maksimum 120 MGL.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah memulakan operasi pembenihan awan yang menumpukan daerah Papar dan Lahad Datu, serta Tawau bermula kelmarin hingga esok.

Berdasarkan maklum balas awam, hujan lebat dilaporkan dialami sekitar Lahad Datu dan Tawau dipercayai hasil operasi pembenihan awan terbabit, manakala beberapa kawasan di sekitar Papar dan Kota Kinabalu dilaporkan berlaku hujan renyai-renyai setakat tengah hari semalam.

9,100 hektar berisiko rosak

Sementara itu, kira-kira 5,000 daripada 9,100 hektar sawah padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan

Pertanian Kemubu (KADA) berisiko rosak sekiranya kemarau berlarutan di Kelantan.

Pengerusi KADA, Muhamad Husin, berkata 4,000 kawasan tanaman padi berjaya diselamatkan menerusi pemberian bantuan pam mudah alih dan pembinaan tiub telaga di kawasan terjejas.

“Kawasan yang masih berisiko ini kebanyakan terletak di kawasan Kota Bharu Utara (KBU) dan Kota Bharu Selatan (KBS) yang bergantung sepenuhnya pada pam Kemubu.

“Hari ini (semalam) paras air sungai di pam Kemubu adalah 2.48 meter, sedangkan kita memerlukan paras air sekurang-kurangnya 3.5 meter untuk beroperasi,” katanya pada program Solat Hajat Istisqa bagi memohon hujan di Pam Kemubu, Kampung Kemubu, Ketereh di sini semalam.

Muhammad berkata, jika berlarutan, kemungkinan padi akan kekurangan hasil sehingga 40,000 tan musim ini bagi tanaman musim 2/2023.

Katanya, peruntukan RM500,000 juga sudah disediakan bagi membantu petani mengatasi masalah kekurangan air seperti pemberian pam mudah alih dan pembinaan telaga tiub di kawasan terjejas.

Kawasan rekreasi kering

Sementara itu, tinjauan di kawasan rekreasi Air Terjun Lubuk Semilang, Pulau Langkawi pula mendapati ia hampir kering-kontang akibat tiada hujan sejak lebih 22 hari lalu.

Kawasan perkelahan yang mempunyai landskap air terjun dan sungai yang cantik itu, sebelum ini sering dikunjungi penduduk dan pelancong untuk berkelah pada cuti hujung minggu, namun kini sunyi.

Sementara itu, dianggarkan hampir 150 hektar hutan tanah gambut di Sungai Adong, Utara Sarawak terjejas akibat kebakaran berikutan cuaca panas melampau hingga dikhuatiri mencetuskan keadaan berjerebu di kawasan Miri.

Berikutan kawasan yang luas dan jauh di pedalaman, operasi memadamkan kebakaran hutan gambut terbabit terpaksa dibuat menggunakan pesawat amfibia.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search