‘Undang-undang pencemaran jerebu perlu ada perjanjian 2 hala’
- Admin UKK
- Berita
Undang-undang berkait pencemaran jerebu rentas sempadan yang lama diperjuangkan, sukar direalisasikan jika tiada perjanjian dua hala dengan semua negara berkaitan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata perjanjian pencemaran udara rentas sempadan sedia ada yang berjaya diwujudkan membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Katanya, kedua-dua negara itu menerima bidang kuasa masing-masing, sekali gus memudahkan penguatkuasaan undang-undang antara kedua-dua pihak.
“Itu sebabnya diplomasi berasaskan sains penting. Dengan cara itu, kita tangani perubahan iklim. Sama juga apabila kita melihat AS dan Kanada, mereka menerima bidang kuasa masing-masing, mudah untuk melakukan perkara yang betul,” katanya.
Halangan perundangan
Menjelaskan demikian pada sesi temu bual dengan BH dan dua media lain, Nik Nazmi menambah, kerajaan juga berdepan halangan, antaranya kaedah perundangan serta penguatkuasaan bagi menjayakan undang-undang berkenaan.
Beliau turut khuatir undang-undang itu hanya sebagai ‘simbol’ tanpa perjanjian dua hala dengan semua negara berkaitan.
“Undang-undang ini sepatutnya untuk memastikan bahawa ia tidak hanya bersifat secara unilateral, sebaliknya dapat memberi manfaat kepada negara yang terbabit dalam perjanjian itu.
“Seperti yang berkaitan dengan ASEAN, ia masih sangat bergantung kepada kerajaan negara anggota dan ia turut menjadi satu cabaran. Itulah sebabnya saya lebih suka jika ia dilakukan secara diplomasi berasaskan sains di mana kita mempunyai panel saintifik,” katanya.
November lalu, kerajaan memutuskan tidak meneruskan cadangan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan selepas meneliti kewajarannya daripada pelbagai sudut.
Undang-undang ini sepatutnya untuk memastikan bahawa ia tidak hanya bersifat secara unilateral, sebaliknya dapat beri manfaat kepada negara yang terbabit dalam perjanjian itu
Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam