OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Urus fenomena perubahan cuaca panas kurangkan kesan El Nino

Urus fenomena perubahan cuaca panas kurangkan kesan El Nino

Cuaca panas memberi kesan kepada tingkah laku manusia seperti mana dihuraikan oleh bapa Sosiologi Muslim iaitu Ibn Khaldun di dalam buku beliau yang terkenal iaitu Muqaddimah. Menurutnya lokasi manusia tinggal akan mempengaruhi budaya, nilai, pekerjaan, cara pakai dan pemakanan masyarakatnya.

Manusia di kawasan beriklim panas, tingkah laku mereka akan lebih kasar berbanding yang tinggal di lokasi sejuk. Kenyataan ini selaras dengan kajian oleh pengkaji terkini yang mendapati cuaca serta suasana panas akan meningkatkan tingkah laku agresif.

Hari ini kita di Malaysia sedang mengalami fenomena El Nino. Walaupun ia sudah diingatkan namun tidak terjangka kepanasannya akan seperti sekarang. Bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas, mengharungi Ramadan dalam cuaca normal bukanlah mudah apatah lagi dalam keadaan terik seperti sekarang.

Mengurus fenomena perubahan cuaca yang sangat memberi kesan kepada manusia bukanlah perkara mudah. Hal ini disebabkan ia bukan sahaja memberi kesan kepada tingkah laku manusia malah seluruh ekosistem termasuk tanam-tanaman serta hasil laut dan seterusnya membawa kepada isu lebih serius iaitu keterjaminan makanan.

Justeru, kita sangat mengalu-alukan cadangan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) supaya pemakaian uniform sekolah boleh diganti dengan penggunaan pakaian sukan kerana lebih fleksibel.

Kebenaran itu tentu saja melegakan banyak pihak terutama sekali ibu bapa serta guru. Tentu mereka sangat bersimpati dengan anak-anak kecil yang sedang belajar berpuasa namun dalam masa sama perlu mengharung kepanasan cuaca.

Bukti nilai empati situasi semasa

Tindakan itu jelas memperlihatkan nilai empati serta sensitif dengan apa yang berlaku di persekitaran dan ia adalah perkara penting dalam membentuk ekosistem masyarakat prihatin dan cakna. Ini juga bersesuaian dengan Islam itu sendiri yang melambangkan konsep ‘Rahmatan lil alamin’ iaitu agama yang membawa kesejahteraan di muka bumi ini.

Perubahan hormon dan tingkah laku pelajar yang baru beradaptasi dengan keadaan sekolah juga perlu diberi perhatian oleh guru dan pentadbir sekolah. Ini kerana pendedahan kepada suhu panas secara semula jadi meningkatkan kadar denyutan jantung di samping mengurangkan keselesaan, apatah lagi dalam suasana kelas yang mungkin jumlah muridnya mencecah hingga 40 orang.

Suasana begini juga akan meningkatkan sikap agresif dan perasaan mementingkan diri serta permusuhan dalam kalangan kanak-kanak mahupun yang dewasa. Tekanan haba juga mengurangkan prestasi kognitif individu dan seterusnya mewujudkan suasana tidak selesa sehingga membuatkan individu menjadi cepat marah.

Guru yang peka akan prestasi kognitif kanak-kanak merundum disebabkan oleh cuaca serta suasana panas boleh mempelbagaikan suasana pengajaran supaya mereka tidak terjejas teruk dengan keadaan semasa. Kefahaman ini juga harus ada pada setiap ibu bapa kerana apabila kanak-kanak ini balik dari sekolah mereka berpotensi untuk meragam. Hal ini akan menyebabkan perkara yang kecil boleh menjadi besar sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Berdasarkan data dan maklumat diperoleh, semua pihak harus mengambil tanggungjawab bagi memastikan kesan akibat perubahan cuaca yang drastik ini diminimumkan sebanyak mungkin. Ia harus dimulai oleh kepimpinan utama dengan menggubal polisi yang mampu diterjemahkan oleh pihak pemantau dan juga masyarakat secara amnya.

Mengurus fenomena perubahan cuaca yang sangat memberi kesan kepada manusia bukanlah perkara mudah. Hal ini disebabkan ia bukan sahaja memberi kesan kepada tingkah laku manusia malah seluruh ekosistem

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search