OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

KKR pantau 2,497 projek infra rakyat

TAIPING – Kerajaan terus memperketat pemantauan pelaksanaan projek pembangunan negara dengan sasaran utama mencapai sifar projek sakit selain memastikan projek disiapkan lebih awal daripada jadual dan tahap keselamatan di tapak pembinaan dipertingkatkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pemantauan rapi dan berterusan itu dilaksanakan bagi memastikan semua projek infra rakyat di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) berjalan lancar selaras dengan hala tuju Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Bagi 2026 sehingga 28 April lalu, sebanyak 2,497 projek fizikal pembinaan dengan kos keseluruhan RM133.897 bilion telah diamanahkan kepada JKR sebagai agensi teknikal utama negara.

“Daripada jumlah itu, 1,181 projek atau 47 peratus berada pada peringkat pra-pembinaan, manakala 851 projek atau 34 peratus sedang dalam fasa pembinaan, selebihnya melibatkan kerja awalan serta projek siap termasuk dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP),” katanya

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Bangunan Stor Farmasi Logistik dan Farmasi Steril di Hospital Taiping di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 4,405 kerja penyenggaraan, pemulihan, ubah suai dan naik taraf (PPUN) bernilai RM6.123 bilion turut sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Ahmad berkata, setakat ini JKR telah berjaya menyiapkan 60 projek fizikal dengan nilai RM2.436 bilion melibatkan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-9 hingga ke-12.

Mengulas projek dalam fasa pembinaan, beliau memaklumkan sebanyak 828 projek di bawah seliaan JKR Malaysia dan 23 projek sekolah daif di Sabah dan Sarawak sedang dipantau rapi oleh agensi teknikal berkenaan.

Daripada jumlah itu, 454 projek atau 53.35 peratus dilaporkan berjalan lancar, dengan 241 projek (28.32 peratus) berada di hadapan jadual (ahead of time) dan 213 projek (25.03 peratus) mengikut jadual.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan masih terdapat cabaran yang menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek, khususnya melibatkan kontraktor yang menyumbang sebanyak 84 peratus faktor kelewatan, termasuk masalah pengurusan, aliran kewangan serta kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan.

“Sebanyak 16 peratus lagi berpunca daripada isu pengambilan tanah, pampasan, kelulusan, pengalihan utiliti serta faktor cuaca dan bencana,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, trend projek sakit menunjukkan penurunan daripada 6.81 peratus pada Jun 2025 kepada 5.17 peratus setakat ini hasil pemantauan berterusan serta intervensi awal oleh JKR dan KKR.

“Beberapa langkah strategik telah dan akan terus dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi Building Information Modelling (BIM), sistem modular dan kaedah pratuang (pre-cast) dalam projek kerajaan.

“Mekanisme amaran awal turut diperkenalkan bagi mengesan lebih awal projek bermasalah sebelum ia bertukar menjadi projek sakit, selain tindakan menyenarai hitam kontraktor bermasalah daripada pelantikan semula,” katanya.

“KKR melalui JKR komited untuk memperbaiki perancangan, pelaksanaan dan pemantauan secara berterusan demi memastikan projek infra rakyat disiapkan dengan lebih cepat, selamat dan berkesan,” katanya.

Tegasnya, kejayaan pelaksanaan projek kerajaan memerlukan kerjasama erat antara semua pihak termasuk pegawai penguasa projek, perunding, kontraktor serta agensi berkaitan bagi memastikan penyampaian infra rakyat lebih cekap dan teratur selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. – KOSMO! ONLINE

Ribut petir landa Perak, Terengganu malam ini

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 7 malam ini.

MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian dan Larut, Matang Dan Selama), Terengganu (Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).

“Hujan lebat turut diramal berlaku di Selangor (Hulu Langat dan Sepang), Putrajaya, Negeri Sembilan serta Johor (Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” lapor MetMalaysia.

Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Sibu, Mukah (Matu dan Dalat), Kapit, Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.

Bagi Sabah, bergolak membabitkan daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan) dan Pantai Barat (Papar, Putatan dan Penampang).

MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE

Laluan lencongan Jalan Gua Musang-Lojing dibuka Khamis ini

GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Lojing yang ditutup sejak 3 Disember lalu susulan tanah runtuh, dijangka dibuka semula kepada pengguna pada 21 Mei ini dengan menggunakan laluan lencongan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata pembinaan jalan lencongan sementara di lokasi terjejas itu kini hampir siap dan dijangka mula digunakan pada Khamis ini.

Beliau berkata, pembukaan laluan itu amat penting bagi memulihkan semula hubungan pengangkutan antara Kelantan, Pahang dan Perak yang terjejas sejak kejadian tanah runtuh berlaku.

"Pembukaan laluan ini sudah tentu penting dalam memulihkan rangkaian pengangkutan serta merancakkan kembali sektor ekonomi antara negeri, khususnya membabitkan sektor pertanian, pelancongan dan logistik.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan terus berusaha sedaya upaya. Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya serta Menteri Kerja Raya atas keprihatinan dan kerjasama erat dalam menangani isu ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Izani berkata, laluan berkenaan hanya jalan lencongan sementara, dan pengguna diminta sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan Jalan Gua Musang-Lojing FT185 Seksyen 107.6 di Pos Blau runtuh dipercayai akibat pergerakan air bawah tanah.

Hujan lebat, ribut petir badai Pulau Pinang, Kedah, Perak pagi ini

KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal membadai seluruh Pulau Pinang selain beberapa daerah di Kedah dan Perak hingga jam 10 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan, di Kedah hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

Di Perak, cuaca sama dijangka berlaku Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.

Lewat siap pintu air, penduduk jadi mangsa banjir

PONTIAN – Penduduk Jalan Kebun Baru, Sungai Durian di sini mendakwa, banjir besar yang melanda tempat mereka Sabtu lalu disebabkan oleh kelewatan membina pintu air di kawasan berkenaan.

Kejadian banjir itu disifatkan yang terburuk pernah berlaku dengan air pasang setinggi 3.6 meter memasuki 20 rumah.

Seorang penduduk, Mohamad Izwan Abdul Samad, 39, berkata, dia difahamkan kerja-kerja pembinaan pintu air Sungai Durian lewat disiapkan.

Ini katanya, menyebabkan aliran air dari kawasan sekitar turun ke kawasan itu hingga berlaku limpahan besar.

“Kami penduduk kecewa dengan kelewatan menyiapkan pintu air menyebabkan penduduk menerima kesannya,” katanya di sini semalam.

Katanya, walaupun tempat itu kerap dilanda banjir kilat, namun tidak seburuk yang berlaku baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Shahrom Rahmat, 60, berkata, kedudukan rumahnya berhampiran Sungai Durian menyebabkan keseluruhan rumahnya ditenggelami air sehingga melebihi paras lutut.

Katanya, dia dan isteri, Nora Haron, 50, bertungkus lumus terutamanya bagi menyelamatkan barangan cenderamata bagi majlis perkahwinan anak­nya dijangka diadakan pada awal Julai ini.

“Dulu berlaku juga kejadian banjir terutama ketika air pasang besar tetapi kali ini paling buruk dialami oleh keluarganya,” ujarnya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search