OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Hilang semangat nak beraya

“Raya belum sampai seminggu, tapi kami kena pindah, hilang rasa teruja nak raya,” kata Hadzalin Sanek, 50, seorang daripada 274 mangsa yang dipindahkan buat kali kedua ke pusat pemindahan sementara (PPS), kelmarin.

Ibu kepada dua anak berusia 22 dan 23 tahun serta ibunya Siti Khadijah Karjo, 74, dari Kampung Baru, Sri Gading di sini dipindahkan pada hari raya keempat selepas hujan lebat sejak Selasa lalu.

“Kami bersemangat nak raya selepas dibenarkan pulang ke rumah dua hari sebelum raya, siap beli daging dan keperluan lain. Tiba-tiba arahan dikeluarkan agar kami segera ke PPS, kami reda walaupun hanya dapat merasai suasana raya dalam tempoh singkat.

“Cuma kami risau keadaan rumah, jika terlalu lama digenangi air akan menyebabkan kerosakan serta bimbang dimasuki binatang liar.

“Kebun kelapa sawit sekitar sudah dipenuhi air, jadi ada kemungkinan binatang (berbisa) itu akan datang mencari tempat perlindungan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mangsa lain, Halizan Rejab, 55, berkata, air naik kali kedua bermula pada raya ketiga dan kejadian banjir kali ini adalah paling lama kerana menjangkau dua minggu sejak 23 Mac lalu.

Menurutnya, penduduk dimaklumkan kejadian mungkin disebabkan projek tambak tanah selain aliran sungai utama di Parit Karjo, Senggarang tersekat akibat rumput tebal.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah pam sedia ada bagi memudahkan air surut.

Menurutnya, ketika ini pam sedia ada tidak mencukupi untuk membantu mengalirkan air banjir ke sungai.

“Setakat ini, di Sri Gading ada satu pam, kalau JPS boleh tambah hingga empat (pam), maka air segera dibawa ke laut atau keluar dari tempat banjir.

“Kita sedia maklum banjir termenung hanya berlaku di sini (Batu Pahat). Inilah yang masalah yang penduduk hadapi,” katanya.

Kerja pengorekan dapat permit MBSJ, PETRONAS

Kerja pengorekan tanah berhampiran lokasi insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, mendapat permit yang sah daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan PETRONAS.

Selain itu, kerja yang dilakukan di kawasan berkenaan juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, yang mengesahkan perkara itu, berkata sebelum ini pihaknya menerima laporan penduduk sekitar yang mendakwa terdapat kerja pengorekan di lokasi kejadian.

“Aduan diterima daripada Sistem Pengurusan Aduan dan hasil siasatan MBSJ juga telah dimaklumkan kepada pengadu.

“MBSJ sudah melakukan siasatan di lokasi kerja mengorek berkenaan dijalankan dan siasatan mendapati kerja itu memiliki permit daripada MBSJ dan PETRONAS, selain mematuhi prosedur (SOP) ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) insiden letupan paip gas PETRONAS di Putra Heights, di sini semalam.

Sebelum ini, terdapat laporan mengenai beberapa penduduk di Putra Heights menyuarakan kebimbangan mereka mengenai aktiviti pengorekan tanah di lokasi berhampiran insiden letupan paip gas bawah tanah.

‘Paip gas tak tunjukkan gangguan nyata’

Hasil siasatan awal jawatankuasa teknikal mengendalikan siasatan insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, mendapati keadaan fizikal paip gas yang meletup, tidak menunjukkan sebarang gangguan nyata.

Perkembangan itu diumumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media semalam, berdasarkan siasatan dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang syarikat kontraktor.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan kerana siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita dapati paip kumbahan ini dipasang pada kedalaman 2.1 meter dari aras jalan sedia ada di situ. Hasil keterangan lanjut, didapati kerja pengorekan yang dibuat kontraktor ini tidak melebihi tiga meter sepanjang jalan itu dengan lebar korekan 1.5 meter.

“Kerja pengorekan dan pemasangan ini dilakukan sepanjang kira-kira 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi. Jalan yang merentasi laluan paip gas PETRONAS ini adalah jalan yang diluluskan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerja penggalian semula dilakukan dengan tiga ekskavator, sebuah bulldozer (jentera pengorek) dan sebuah backhoe yang sedang diteruskan untuk membuka kawasan serta meninjau kedudukan paip PETRONAS.

“Pihak polis dapati paip gas PETRONAS ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan. Maksudnya jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter.

“Keadaan fizikal paip ini tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Hussein berkata, kerja galian itu dilakukan dan dipantau polis bersama PETRONAS, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor serta pihak kontraktor.

Beliau berkata, penentuan sama ada kerja pengorekan oleh kontraktor di kawasan itu menjadi punca letupan saluran paip gas bawah tanah akan diputuskan selepas siasatan lanjut dijalankan.

“Adakah kerja pengorekan oleh kontraktor ini mengganggu laluan paip belum dapat ditentukan buat masa ini sehingga keseluruhan saluran paip di kawasan itu didedah dan disiasat lanjut,” katanya.

Fasa menstabilkan lokasi

Selain itu Hussein berkata, siasatan belum dapat dimulakan lagi kerana masih dalam fasa menstabilkan lokasi kejadian akibat letupan dan kini ‘kawah’ letupan berkenaan ditakungi air akibat hujan.

Justeru, katanya, pelan tindakan teknikal membabitkan empat fasa pemulihan bencana akan dijalankan supaya siasatan di lokasi kejadian dapat dijalankan kelak.

“Fasa pertama membabitkan pengaliran sementara monsoon drain yang merentasi paip gas PETRONAS selesai hari ini (semalam). Fasa berkenaan turut membabitkan kerja-kerja heat mapping (100-650 Celsius) merangkumi kawasan seluas 300 meter radius.

“Fasa dua untuk memastikan keselamatan dan kestabilan tanah sebelum kerja pengorekan untuk mendedahkan saluran paip gas dan pencarian keterangan fizikal dapat dilakukan.

“Dalam fasa itu juga, dilakukan kerja-kerja ground scanning (imbasan tanah), soil grading (penggredan tanah) dan pemasangan sheet pile bermula 7 hingga 15 April ini,” katanya.

Hussein berkata, fasa ketiga pula untuk memudah cara proses siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan waktu itu, polis boleh memulakan kerja untuk mengenal pasti punca kejadian di kawasan berkenaan.

“Fasa empat merangkumi proses memudah cara proses pemeriksaan, pembaikan dan penyambungan semula bekalan paip gas yang terkesan oleh PETRONAS,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis menerima satu laporan yang mendakwa ada individu bermain mercun di kawasan terbabit pada malam sebelum kejadian letupan paip gas.

Sehingga tengah hari semalam, Hussein berkata, polis menerima sebanyak 642 laporan berhubung insiden letupan berkenaan.

Selain itu, katanya, lebih 100 percakapan dirakam oleh polis membabitkan pelbagai pihak, termasuk 15 pihak kontraktor, subkontraktor dan pekerja.

Sementara itu, Hussein berkata, hasil penilaian dijalankan pihak berkuasa di kawasan sekitar insiden letupan itu mendapati sebanyak 220 daripada 439 rumah diklasifikasikan sebagai selamat.

Beliau berkata, ia berdasarkan penilaian terperinci kali kedua dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merangkumi radius seluas 325 meter (m) berbanding 280m sebelum ini.

Baki rumah yang dinilai tidak selamat, membabitkan sebanyak 219 rumah di kawasan terbabit.

“Daripada jumlah ini, 87 rumah mengalami kerosakan melebihi 20 peratus, iaitu kerosakan besar dan 132 rumah mengalami kerosakan kecil kurang 20 peratus.

“Rumah-rumah yang mengalami kerosakan di bawah 20 peratus dibenarkan dibaiki oleh penghuni atau tuan rumah mulai hari ini (semalam). Senarai rumah-rumah akan diedar dan dimaklumkan kepada tuan rumah.

“Sehingga sekarang, 130 rumah sudah boleh diduduki semula, 45 rumah telah pindah. Pada hari ini (semalam), sebanyak 24 rumah di Kampung Kuala Sungai Baru. Jadi, jumlah rumah yang boleh diduduki adalah 154,” katanya.

 

 

‘Hilang kemeriahan rai Aidilfitri’

“Raya belum sampai seminggu lagi kami sudah kena pindah, hilang rasa teruja nak raya,” kata mangsa banjir, Hadzalin Sanek.

Hadzalin, 50, antara 274 mangsa yang dipindahkan kali kedua ke pusat pemindahan sementara (PPS), sejak kelmarin.

Ibu kepada dua anak berusia 22 dan 23 tahun serta emaknya, Siti Khadijah Karjo, 74, menetap di Kampung Baru, Sri Gading, di sini dipindahkan pada hari raya keempat selepas hujan lebat sejak Selasa lalu.

“Kami bersemangat nak raya selepas dibenarkan pulang dua hari sebelum raya, siap beli daging dan keperluan lain. Tiba-tiba arahan dikeluarkan agar kami segera ke PPS, kami reda walaupun hanya dapat meraikan Syawal dalam tempoh singkat.

“Kami risau keadaan rumah, jika lama digenangi air akan menyebabkan kerosakan serta risau dimasuki haiwan liar.

“Kebun sawit sekitar juga sudah dinaiki air, jadi ada risiko binatang datang mencari tempat perlindungan,” katanya, ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading, semalam.

Sementara itu, Halizan Rejab, 55, berkata air naik kali kedua mulai raya ketiga akibat hujan lebat ketika dia bersama ahli keluarga beraya.

Katanya, kejadian banjir kali ini paling lama, hampir dua minggu sejak 23 Mac lalu.

“Kami dimaklumkan puncanya disebabkan projek tambak tanah di belakang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sri Gading untuk taman perumahan.

“Keduanya aliran sungai utama di Parit Karjo, Senggarang tersekat akibat rumput tebal dan ini menyebabkan aliran air ke laut perlahan.

Setakat ini di Sri Gading ada satu pam, kalau JPS boleh tambah hingga empat, maka air segera di bawa ke laut atau dibawa keluar dari tempat banjir

Gesa tambah pam air

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, berkata beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah pam sedia ada bagi memudahkan air cepat surut.

Katanya, ketika ini pam yang ada tidak mencukupi untuk membantu mengalirkan air banjir ke sungai.

“Setakat ini di Sri Gading ada satu pam, kalau JPS boleh tambah hingga empat, maka air segera di bawa ke laut atau dibawa keluar dari tempat banjir.

“Kita sedia maklum banjir termenung hanya berlaku di sini (Batu Pahat). Inilah masalah yang penduduk hadapi,” katanya.

Temui 1 mangsa hidup

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) bagi membantu mangsa gempa bumi di Myanmar menamatkan operasi dan pulang ke tanah air, hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain tempoh operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh Smart tamat, ia perlu dihentikan kerana mereka tidak lagi menjumpai mangsa hidup yang terperangkap di bawah runtuhan bencana alam itu.

“Smart kita jumpa seorang sahaja masih hidup dan yang lainnya semua telah meninggal dunia,” katanya kepada Bernama sebelum mengakhiri lawatan rasmi untuk misi kemanusiaan ke Myanmar, kelmarin.

Misi kemanusiaan sehari itu turut diketuai bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Maris Sangiampongsa.

Beliau berkata, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Menteri Luar Myanmar U Than Shwe turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas kecekapan Smart melaksanakan operasi SAR di negara itu selain penyaluran bantuan kemanusiaan yang lain.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search