Ribut petir landa UK, tiga maut
- Admin UKK
- Berita
LONDON - Ribut Bert yang membawa angin kencang, hujan lebat dan banjir menyebabkan tiga kematian dan menjejaskan bekalan elektrik di seluruh United Kingdom (UK) hujung minggu lalu.
Xinhua melaporkan kesemua mangsa maut dalam insiden jalan raya ketika ribut melanda di Hampshire, Lancashire dan Trefriw, North Wales.
Di South Wales, ratusan kediaman terjejas akibat banjir. Natural Resources Wales mengeluarkan dua amaran banjir besar pada petang Ahad bagi kawasan Sungai Monnow di Forge Road, Osbaston dan Skenfrith.
Lebih 100 amaran banjir dan 200 amaran berjaga-jaga berkaitan banjir masih dikuat kuasa di seluruh negara.
Gangguan perjalanan turut dilaporkan dengan kira-kira 200 penerbangan dibatalkan pada Ahad di Lapangan Terbang Heathrow, London.
Perkhidmatan kereta api turut terjejas di beberapa bahagian, manakala National Rail memberi amaran bahawa cuaca buruk mungkin menjejaskan sebahagian kawasan di England, Wales, dan Scotland sehingga Isnin.
Bekalan elektrik turut terganggu di beberapa kawasan di England dan Wales sepanjang hujung minggu, menyebabkan ribuan pengguna terputus bekalan elektrik.
Di Ireland, Ribut Bert turut menyebabkan banjir dan puluhan ribu kediaman terputus bekalan elektrik. - Bernama-Xinhua
MARANG: Cuti kira-kira 6,000 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lima negeri akan dibekukan sekiranya bencana banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini berlaku pada tahap yang kritikal.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata arahan ini melibatkan petugas di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak berikutan amaran enam siri hujan lebat dan air pasang di negeri-negeri berkenaan pada 27-28 Nov dan 15-17 Dis.
Beliau berkata setakat ini cuti dihadkan kepada 20 peratus daripada keseluruhan anggota serta pegawai dengan arahan telah dikeluarkan kepada pengarah JBPM negeri untuk bersiap sedia membekukan cuti petugas jika banjir terjadi di luar keupayaan di samping siri hujan lebat tahap merah.
“Kebimbangan kita hujan lebat berlaku di kawasan yang dah tepu air...maksudnya air dah penuh disebabkan banjir gelombang pertama,“ katanya selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Sains Kebombaan Siri 1 2024 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini hari ini.
“Tahun lepas kita wujudkan pengkalan hadapan di tiga lokasi termasuk satu di Pulau Pinang, tetapi kali ini kawasan Pantai Barat dijangkakan tidak kritikal seperti di Pantai Timur,” katanya.
Sementara itu beliau berkata sebanyak 22 Pasukan Gerak Cepat telah dibentuk di seluruh negara dan pasukan itu dilengkapi pelbagai aset yang akan diatur gerak dalam tempoh singkat bagi membantu balai di lokasi bencana banjir.
Marang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menempatkan sebuah helikopter AW189 bersama kru di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, dekat sini, sebagai persiapan menghadapi banjir di Pantai Timur.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata langkah itu bertujuan bagi memastikan pasukan dapat digerakkan lebih cepat jika banjir berlaku di luar jangkaan.
Menurutnya, kebimbangan mereka adalah Disember nanti berikutan ramalan oleh METMalaysia iaitu ada lima ke enam siri lagi hujan lebat yang dijangka berlaku.
"Banjir yang berlaku sekarang adalah siri pertama dan lima ke enam siri yang dijangka berlaku dengan angin sejuk datang dari Siberia.
"Angin ini membawa kepada berlakunya angin kencang selain taburan hujan lebat berlaku di lokasi tertentu." katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Kebombaan (KSSK) Siri 1/2024, di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, dekat sini, hari ini.
Selain itu katanya, kebimbangan JBPM mengenai lokasi hujan terutama di lokasi yang dikategori sebagai sudah tepu air berikutan mengalami gelombang pertama banjir.
"Sekiranya berlaku siri baru banjir ia akan mengakibatkan kenaikan air lebih mendadak, selain kita juga bimbang hujan lebat bertembung dengan air laut pasang besar yang dijangka pada 27 dan 28 November serta pada 15, 16 dan 17 Disember yang mana kita memberi tumpuan utama.
"Jadi untuk persediaan di Pantai Timur kita menggerakkan helikopter AW189 bersama kru bagi melancarkan operasi JBPM apabila berlakunya banjir di luar jangkaan," katanya.
Mengulas mengenai pembekuan cuti anggota dan pegawai beliau berkata, buat masa ini cuti dibekukan hanya 20 peratus sahaja.
"Kita juga keluarkan arahan pada minggu lalu kepada semua pengarah negeri yang teebabit dengan banjir untuk bersiap sedia dan (pengarah negeri) akan mengeluarkan arahan pembekuan cuti sepenuhnya sekiranya berlaku banjir," katanya.
Menurutnya, pembekuan cuti khususnya kepada lima pengarah negeri utama iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan juga Sarawak selain pertukaran shif daripada 12jam kepada 24 jam yang melibatkan kira-kira 6,000 pegawai dan anggota.
GUA MUSANG: Bagi masyarakat Orang Asli Pos Tuel, di sini, banjir besar yang berlaku 10 tahun lalu menjadi mimpi ngeri apabila mereka terkandas di penempatan dan terputus bekalan makanan susulan cerun runtuh dan hakisan tanah serius.
Menurut penduduk, terdapat empat kawasan sepanjang laluan dari Pos Hendrop ke Pos Tuel berisiko mengalami hakisan bukit dan cerun runtuh sekiranya hujan berterusan.
Justeru, lebih 1,000 penduduk Orang Asli kaum Temiar yang tinggal di Pos Tuel, di sini, merayu supaya pihak berwajib dapat menyelenggara dan membaik pulih kawasan cerun terbabit.
Menurut seorang penduduk Pos Tuel, Abang Along, 52, hampir setiap tahun penduduk di kawasan pedalaman itu berhadapan dengan kejadian cerun runtuh sehingga menyebabkan mereka terputus hubungan pada musim tengkujuh.
“Sehingga kini penduduk masih trauma dengan kejadian runtuhan tanah ketika banjir pada 2014 apabila kami semua terkandas serta terputus bekalan makanan apabila tidak dapat keluar ke bandar.
“Dalam kejadian yang berlaku pada 10 tahun lalu itu, penduduk hanya makan ubi kayu setiap hari apabila bekalan tidak sampai ke perkampungan kami.
“Sekarang ini jika hujan berterusan dalam tempoh satu minggu akan mengakibatkan tanah runtuh. Kami mohon pihak berkaitan tolong pantau keadaan permukaan cerun di kawasan laluan kampung kami sebelum berlaku bencana tidak diingini,” katanya ketika ditemui di Pos Tuel, di sini.
Bagi Penghulu Kampung Hanir, Pos Tuel, Razak Rongging, setiap tahun penduduk Orang Asli yang menggunakan jalan dari Pos Hendrop ke Pos Tuel itu berasa tidak selamat apabila diancam hakisan dan cerun runtuh setiap kali tibanya musim tengkujuh.
“Apabila berlaku tanah runtuh kami susah hendak keluar untuk ke bandar Gua Musang dan menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop kerana ia satu-satunya laluan utama untuk keluar dari perkampungan ini.
“Apabila hujan kami juga rasa tidak selamat untuk melaluinya kerana bimbang berlaku hakisan atau runtuhan tanah secara tiba-tiba.
“Kami berharap pihak berwajib termasuklah agensi berkaitan sama ada kerajaan negeri atau pusat dapat mengambil tindakan segera membaik pulih kawasan cerun berbahaya kerana ini melibatkan nyawa penduduk,” katanya.
Razak berkata, antara penduduk yang sering menggunakan laluan jalan Pos Tuel itu ialah yang tinggal di Kampung Tuel, Kampung Hanir, Kampung Plug, Kampung Ber dan Kampung Kerbok.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mengakui setiap tahun kawasan penempatan Orang Asli seperti Tanah Tinggi Lojing dan pos pedalaman terdedah dengan ancaman hakisan bukit dan cerun runtuh.
Katanya, ada beberapa lokasi ‘hot spot’ tanah runtuh seperti di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Pos Tuel dan Pos Balar.
“Antara kawasan ‘hot spot’ ialah di jalan Gua Musang-Lojing, Pos Hendrop-Pos Tuel dan jalan masuk ke Pos Balar iaitu Bukit Kelabu dan Bukit Pasir yang sering berlaku tanah runtuh.
“Saya berharap agensi berkaitan dapat segerakan penyelenggaraan kerana kita bimbang masyarakat Orang Asli terkandas serta terputus jalan perhubungan untuk keluar mendapatkan bekalan makanan mereka,” katanya.
KEMAMAN - Aktiviti membuka aliran air bertakung atau lebih dikenali sebagai 'bedah air' oleh penduduk setempat dilakukan bagi mengelak ia melimpah di kawasan rumah penduduk berdekatan pesisir pantai sepanjang musim tengkujuh.
Baru-baru ini tular di media sosial video yang dikongsikan oleh seorang penduduk, Mohd Azahrul Ab Rami, 36, mengenai aktiviti tersebut yang dilakukan bersama kira-kira 20 rakannya dekat Pantai Taping, Kemasik, di sini pada Jumaat lalu.
Menurut Mohd Azahrul, selain dikenali sebagai 'bedah air' penduduk kampung turut menggelar aktiviti itu sebagai 'korek alur' bagi membuka laluan air bertakung untuk dilepaskan ke kawasan pantai.
"Apabila strukturnya telah berubah dan tiada tempat untuk mengalir, ia akan melimpah.
"Kalau hujan tak berhenti selama dua hari, air akan bertakung dan melimpah ke rumah penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu.
"Sebab itulah kita akan buka laluan air bagi memastikan tidak berlaku banjir di kawasan rumah yang berdekatan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Menurutnya, mereka perlu menunggu selama dua hingga tiga hari agar takungan air tersebut habis mengalir ke pantai.
"Memandangkan jarak antara takungan air dengan kawasan pantai sejauh 12 meter, kesempatan yang ada ketika air mula-mula dilepaskan akan digunakan oleh anak muda di kawasan ini bermain air.
"Ada yang melakukan pelbagai gaya dan aksi seperti meluncur, meniarap dan lain-lain lagi. Masing-masing seronok dapat bermain air kerana situasi itu bukan sering terjadi.
"Selain bermain air, mereka juga mengambil kesempatan untuk menangkap ikan yang terdapat dalam takungan air tersebut," ujarnya.
Menurutnya, terdapat beberapa kawasan lain dekat Pantai Taping yang mengalami situasi sama di mana ia membentuk takungan air hujan.
Katanya, kawasan tersebut akan kembali dipenuhi air bergantung kepada taburan hujan.
"Selepas air dilepaskan ke pantai, jika ombak pasang besar, alur yang dibina akan tertutup kembali dan air akan kembali bertakung lagi.
"Situasi itu akan berlaku antara tiga hingga empat kali sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL)," katanya.
