Bina reban rakit elak rugi
- Admin UKK
- Berita
Pengalaman pahit kerugian ribuan ringgit selepas ternakan mati dalam banjir mendorong penternak ayam dan itik di pantai timur melakukan persediaan untuk menyelamatkan ternakan masing-masing lebih awal.
Di TERENGGANU, Abdul Halim Abdul Manap, 32, membina reban rakit pada tahun ini untuk menempatkan lebih 100 ayam dan itik diternaknya.
“Saya menghabiskan RM500 untuk bina reban ini atas tunjuk ajar bapa saudara dan menggunakan kayu manakala tong plastik besar sebagai pelampung.
“Ia boleh memuatkan 150 ayam dan itik pada satu-satu masa dan saya buat reban ini beberapa bulan lalu kerana bimbang banjir mengejut,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pengkalan Ajal, di sini.
Selain reban rakit, katanya dia juga membina rak di dalam rumah bagi meletakkan barangan dan pakaian bagi mengelak ditenggelami banjir yang biasanya bertandang sebanyak dua kali setahun.
Sementara itu di RANTAU PANJANG, KELANTAN, Mohd Hirwan Faizal Che Rajiuon, 42, memindahkan lebih 50 ternakan ayam baka ke rumah ibu bapanya di Kota Bharu yang bebas banjir.
Katanya, tahun lalu dia rugi RM50,000 kerana tidak sempat memindahkan ternakan itu lebih awal dan semuanya mati dalam banjir di rumahnya di Kampung Tersang.
Walau terpaksa berulang alik dari Rantau Panjang Ke Kota Bharu yang berjarak 80 kilometer, pemilik kedai ayam dan unggas itu tidak kisah asalkan ternakannya selamat.
“Kira-kira 20 ayam baka bernilai tinggi sudah saya letak di rumah orang tua yang bebas banjir, namun 10 ekor yang lain didapati mati disebabkan rumah saya naik air sejak enam hari lalu.
“Ayam baka memang agak sensitif dengan cuaca sejuk, ia mudah sakit dan mati, malah ada beberapa ekor ayam saya dimakan ular kerana pada musim banjir memang banyak haiwan berbisa di sekitar rumah,” katanya.
Menurutnya, proses memindahkan semua ayam sudah dilakukan sejak seminggu lalu dengan ada yang diletakkan di rumah rakan untuk sementara waktu.
Kota Bharu: Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Mesira, Bachok terpaksa dihenti tugas sementara berikutan limpahan air banjir telah memasuki kawasan dan bangunan sistem rawatan loji, bermula pagi semalam.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan memaklumkan keadaan itu menyebabkan bekalan air hampir 1,300 akaun pengguna terjejas.
Antara kawasan terlibat ialah Teluk Mesira, Taman SPP, Kampung Jembal, Kampung Tok Jawa, Kampung Budi, Kampung Pintu Gerbang, Kampung Wakaf Zin, Kampung Desa Kerian, Kampung Dusun Durian, Kampung Chicha Menyabung dan Kampung Gajah Mati.
“AKSB akan menggerakkan lori tangki untuk membantu pengguna terjejas. AKSB melalui PINTAS juga akan membuat pemakluman kepada pengguna terlibat melalui sistem Infoblast dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi berkenaan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi di laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram atau hubungi PINTAS melalui talian 15777 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.
Satu PPS dibuka di Changlun, Sungai di Kubang Pasu, Padang Terap melepasi paras bahaya
- Admin UKK
- Berita
ALOR STAR: Hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan paras air beberapa sungai di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap sudah melepasi paras bahaya.
Di Kubang Pasu, 10 rumah di Kampung Nangmah, Changlun yang terletak di kawasan rendah dinaiki air pagi tadi.
Difahamkan, laluan dari Changlun ke Perlis turut dinaiki air. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, antara sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dan Sungai Sintok di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.
Paras air Sungai Laka dan Sungai Sintok di Kubang Pasu masing-masing mencecah paras bahaya iaitu 22.51 meter dan 45.8 meter manakala di Padang Terap, Sungai Sari, Sungai Janing dan Sungai Perik sudah menghampiri paras amaran 16.21 meter.
Adenin berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) di SMK Changlun dibuka jam 1.30 petang tadi.
"Ketinggian paras air dilaporkan setakat ini di kampung berkenaan ialah hampir 1.3 meter dan punca banjir disebabkan hujan yang berterusan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Adenin berkata, APM Kubang Pasu sedang melakukan pemantauan di lokasi yang terjejas dinaiki air di daerah ini.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus meningkat terutama di kawasan berhampiran sungai.
"Anggota kami masih melakukan pemantauan berikutan aras air sungai terus meningkat ketika ini dan masih hujan," katanya.
KUALA LUMPUR: Hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang diramal membadai Perak, Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah sehingga jam 6 petang hari ini.
Selain Muallim di Perak, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan cuaca itu diramal di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor di Selangor.
Selain itu, katanya, keadaan cuaca itu di Johor dijangka membadai Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
"Di Sarawak pula membabitkan kawasan Kuching (Bau dan Kuching), Samarahan, Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Sibu), Kapit (Song), Bintulu (Bintulu dan Sebauh) dan Miri (Subis).
"Di Sabah, cuaca sama dijangka melanda Kawasan Pantai Barat (Papar) dan Tawau (Tawau dan Semporna)," katanya.
METMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Katanya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
RANTAU PANJANG: Operasi perniagaan di bandar ini ditutup sementara susulan semua jalan masuk utama ke pekan itu dinaiki air separas 0.4 hingga 0.8 meter sejak tengah hari tadi.
Tinjauan di tiga pintu penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga mendapati hanya satu pintu boleh dilalui kenderaan berat, manakala pintu dua di Kampung Parit Air serta pintu tiga di Kampung Kubang Rambutan ditutup sepenuhnya.
Peniaga, Amran Abdullah, 45, berkata dia sempat membuka kedai pakaian miliknya jam 10 pagi tadi kerana keadaan dilihat tenang, namun pada jam 12 tengah hari tadi, beberapa jalan masuk mula dinaiki air.
"Ramai rakan peniaga yang membuka kedai separuh hari sahaja dan mengambil keputusan mengemas barangan kerana bimbang paras banjir semakin meningkat dan memasuki bahagian dalam premis ini.
"Tambahan pula, pelanggan tidak dapat memasuki pekan ini dan saya dimaklumkan jalan utama Rantau Panjang - Pasir Mas dan Rantau Panjang - Panglima Bayu juga sudah terputus akibat ditenggelami air," katanya.
Sementara itu, Siti Aminah Zakaria, 38, mengambil keputusan menutup terus kedai miliknya kerana bimbang turut terperangkap dalam pekan berkenaan.
"Sebaik diberitahu jalan masuk sudah digenangi air saya segera menutup kedai dan pulang memandangkan saya menunggang motosikal. Biasanya air di sini arusnya deras jadi saya risau perkara buruk terjadi jika tidak keluar awal," katanya.
Menurutnya, dia berharap banjir kali ini tidak terlalu lama memandangkan berniaga di pekan Rantau Panjang adalah punca pendapatan utama dia sekeluarga.
