ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di Kedah mencecah 9,129 orang setakat tengah hari tadi berbanding 8,580 orang malam semalam.
Sementara itu, daerah Baling turut mencatatkan mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hari ini, menjadikan tujuh daerah terjejas di Kedah.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah berkata, Kota Setar merekodkan bilangan mangsa tertinggi dengan 3,301 orang di 13 PPS di daerah berkenaan.
Ia disusuli Kubang Pasu dengan 2,824 mangsa (16 PPS), Sik dengan 1,120 mangsa (8 PPS) dan Padang Terap pula membabitkan 1,050 mangsa di 9 PPS.
Selain itu, Pokok Sena mencatatkan 614 mangsa di 4 PPS, Kuala Muda dengan 182 mangsa di 2 PPS serta Baling pula 33 mangsa satu PPS.
Mangsa dari mukim Tawar di daerah Baling dipindahkan ke PPS yang diaktifkan pada hari ini di Sekolah Kebangsaan Kuala Ketil.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memberi bantuan segera kepada petani dan peladang yang terjejas akibat banjir, khususnya di Kelantan dan Kedah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bantuan itu akan diberi mengikut peruntukan kementerian sedia ada, bagaimanapun beliau akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk peruntukan tambahan.
“Saya telah menggerakkan dan memberi arahan kepada semua pegawai di bawah kementerian untuk terlibat dalam usaha menangani banjir dan buat bancian segera kerosakan dan kerugian yang dialami mereka terutama di Kelantan dan Kedah yang paling teruk dilanda banjir sekarang.
“Kita tengok peruntukan yang sedia ada, sudah tentu pegawai kita akan buat dengan cepat untuk lihat kerugian-kerugian mereka dan kita akan bayar dengan segera.
“Soal tambahan atau tidak itu kita kena bincang dengan Menteri Kewangan, tapi setakat bajet yang ada kita akan bagi bantuan segera kali ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan, hari ini.
Bagaimanapun ujarnya setakat ini beliau belum mendapat maklumat jelas berhubung berapa ramai yang terjejas untuk diberi bantuan sewajarnya.
Semalam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menganggarkan lebih 26,000 hektar tanaman padi di kawasan seliaan dan luar jelapang mengalami kerosakan susulan banjir yang melanda Kelantan sejak beberapa hari lepas.
SETIU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan peruntukan tambahan bantuan banjir untuk Kelantan dan Terengganu masing-masing berjumlah RM25 juta.
Ia susulan keadaan banjir yang serius melanda di dua negeri berkenaan.
Peruntukan tambahan segera akan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) untuk digunakan bagi kerja-kerja membaiki infrastruktur asas yang rosak akibat banjir di dua negeri berkenaan.
Sebahagian peruntukan itu akan digunakan segera untuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut, Terengganu.
“Bantuan yang penuh untuk Kelantan dan Terengganu seperti mana kita umumkan RM50 juta telah diputuskan untuk disalurkan kemudian.
“Saya dapat maklumat lagi dan keperluan-keperluan mutakhir ini dan kita dah lulus selain daripada RM50 juta tambahan kerana nampak jumlah yang terkesan itu jauh lebih besar daripada unjuran awal, jadi kita tambah lagi RM25 juta yang saya umumkan hari ini iaitu RM75 juta”, katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Telaga Papan, Setiu.
Selepas melawat PPS SK Telaga Papan, turut ke PPS SK Mangkuk, Setiu, sebelum ke ibu negara.
“Jadi untuk negeri lain kita sedang pantau kita tidak mahu jadi salah faham dan kerajaan dijangka menyalurkan bantuan berjumlah keseluruhan hampir mencecah RM1 billion,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, ketika ini tiada keperluan untuk mengistiharkan darurat dengan jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencecah lebih 150,000.
Ia berikutan semua agensi yang terlibat dengan bencana banjir telah melaksanakan tugas dengan baik.
Dalam perkembangan lain, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju menyediakan bantuan khas kewangan RM500 kepada setiap penjawat awam di Terengganu.
Ia melibatkan seramai lebih 14,000 penjawat awam Terengganu dengan peruntukan keseluruhan akan disalurkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, berjumlah RM7.4 juta.
SHAH ALAM: Situasi banjir di seluruh negara ketika ini terutamanya di Kelantan dan Terengganu merupakan yang terburuk pernah berlaku sejak 2014.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun situasi banjir diramalkan akan berkurangan menjelang minggu depan.
“Apa yang diramalkan MetMalaysia bahawa luruan hujan akan berkurangan pada minggu depan menjadi kenyataan dan ini menyebabkan berlaku pengurangan air banjir di daratan.
“Apabila luruan hujan itu berkurangan ianya akan mengurangkan pemindahan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Konvensyen Barisan Nasional Selangor 2024 hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menyeru agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan berkaitan agar bersiap sedia untuk berdepan pasca banjir.
Ini termasuk badan-badan sukarelawan untuk membantu mangsa banjir khususnya kerja-kerja pembersihan dan agihan bantuan.
Setakat ini, kerajaan telah menggerakkan lebih 82,000 petugas penguatkuasaan di seluruh negara membabitkan keseluruhan PPS yang mampu memuatkan seramai 2.1 juta mangsa.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan dengan menyorok mahupun menaikkan harga barangan keperluan ketika musim tengkujuh ini.
Timbalan Menteri, Fuziah Salleh berkata, pihak penguat kuasa sentiasa mengadakan pemantauan setiap hari bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku terutama di negeri terjejas banjir.
“Sekiranya ada yang mengambil kesempatan dan berlaku ketirisan, KPDN akan senarai hitam mereka pada masa hadapan.
“Malah, mereka tidak akan menikmati manfaat disediakan kerajaan termasuk menambah had simpanan barang kawalan dan barangan keperluan asas sehingga 30 peratus daripada had simpanan sedia ada yang dibenarkan dalam tempoh bencana,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau mengulas mengenai pemantauan bekalan barangan keperluan pada musim ini terutama di negeri terjejas banjir.
Menurutnya, keperluan asas di kawasan terjejas banjir masih mencukupi dengan 2,004 peruncit terpilih daerah (DDR) dan pemborong terpilih daerah (DDW) seluruh negara bersedia menawarkan bantuan sokongan kepada negeri yang terputus bekalan.
“Buat masa ini, tiada isu bekalan keperluan terputus di negeri terjejas banjir dan semuanya masih dalam terkawal.
“Namun, sekiranya ada pemborong atau peruncit yang dilantik ditenggelami air banjir di satu-satu kawasan, maka boleh mendapatkan bekalan dari pemborong atau peruncit berdekatan dari kalangan 2,004 premis yang dilantik KPDN,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga mahupun barangan keperluan terjejas ketika musim bencana ini, namun mereka sentiasa membuat pemantauan.
“Setakat ini, tiada aduan diterima berkaitan kenaikan harga, mahupun bekalan barangan terjejas akibat banjir.
“Bagaimanapun, 12 stesen minyak di Kelantan dan empat di Terengganu terpaksa ditutup buat sementara waktu akibat banjir,” katanya kepada Harian Metro.
