KAJANG: Pihak Lebuhraya Kajang – Seremban Sdn Bhd (LEKAS) telah melaksanakan penutupan laluan ekoran kejadian runtuhan cerun di Kilometer (km) 9.3, arah Utara.
LEKAS dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan laluan kepada trafik itu adalah membabitkan lorong kecemasan dan lorong perlahan, di Lebuhraya LEKAS.
“Penutupan lorong kecemasan dan lorong perlahan ini adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baikpulih di kawasan yang terjejas.
“Pelan Pengurusan Trafik dan pemantauan 24 jam telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan lebuhraya dan pengguna lebuhraya.
“Pengguna lebuhraya diingatkan untuk sentiasa mematuhi Pelan Pengurusan Trafik dan papan tanda semasa melalui lokasi kejadian,” katanya.
LEKAS amat mengesali atas segala kesulitan yang berlaku dan menyarankan pengguna lebuh raya untuk menghubungi talian Hotline Lekas 1-800-888-021 bagi sebarang pertanyaan dan bantuan.
Hanya 546 mangsa berlindung di PPS
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Situasi banjir dalam negara menunjukkan pemulihan pada petang semalam, apabila hanya terdapat seramai 546 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri.
Sehingga jam 2.30 petang semalam, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, kesemua mangsa daripada 150 keluarga terjejas itu ditempatkan di 10 PPS yang masih aktif di Terenganu, Perak, Johor dan Pahang.
TERENGGANU masih membuka empat PPS di Kemaman dan menempatkan 230 mangsa daripada 58 keluarga.
DI PERAK pula, terdapat seramai 176 mangsa daripada 53 keluarga masih belum dibenarkan pulang dan berlindung di dua PPS di Manjung dan Perak Tengah.
Selain itu, itu, tiga PPS masih dibuka di Segamat dan Tangkak, Johor untuk menempatkan 139 mangsa daripada 38 keluarga.
Sementara itu, seorang mangsa masih ditempatkan di sebuah PPS di Temerloh, Pahang sehingga petang semalam.
Jabatan Meterologi (MetMalaysia) pada semalam turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa sehingga hari ini.
Kawasan terbabit membabitkan seluruh Perlis; Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling di Kedah serta Hulu Perak, Perak.
Kawasan yang turut diramalkan akan berhadapan dengan keadaan cuaca itu adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan serta Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Terengganu.
RM312.1j baiki jalan, cerun
- Admin UKK
- Berita
Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan syarikat konsensi membantu mangsa banjir terjejas di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya mengaktifkan bilik gerakan bencana sepanjang menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan mempertingkatkan persiapan dalam berdepan banjir gelombang kedua.
“Pada minggu lalu, KKR dengan JKR dan syarikat konsesi turun membantu mangsa banjir. Saya juga turun padang ke Kelantan dan Terengganu.
“Ini menjadi kebiasaan pada setiap tahun yang kita akan pertingkatkan apa kita boleh bantu (mangsa banjir) termasuk dalam kerja pembersihan.
“Kita telah bersiap sedia berdasarkan pengalaman sebelum ini,” katanya pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Profesion
Teknikal Negara di Pusat Konvensyen PICCA di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Alexander berkata banjir gelombang pertama yang melanda baru-baru ini menyebabkan banyak kerosakan jalan dan cerun menelan kos pembaikan berjumlah RM312.1 juta, setakat kelmarin.
“Bagi jalan Persekutuan kita mendapati memerlukan kos pembaikan berjumlah RM247 juta diikuti cerun jalan persekutuan RM40.3 juta.
“Jalan negeri pula dianggarkan berjumlah RM24.8 juta,” katanya.
Kerugian akibat banjir di Kelantan dianggarkan lebih RM30 juta, dengan tujuh sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengalami kerosakan teruk, termasuk peralatan musnah dan bangunan ditenggelami air sehingga lebih satu meter.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, jumlah kerugian itu dijangka bertambah kerana maklumat terperinci belum diterima.
“Jumlah kerugian awal itu turut membabitkan tujuh sekolah di bawah YIK dan jalan raya di negeri ini.
“Kerosakan dialami tujuh sekolah itu ada yang ditenggelami air sehingga lebih satu meter dan rosak peralatan sekolah,” katanya selepas majlis penerimaan dan pengagihan bantuan banjir daripada FGV Holdings Berhad (FGV) di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Wan Roslan berkata, daripada 5,163 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk sekolah YIK di Kelantan, 207 terjejas banjir.
Beliau berkata, bagaimanapun situasi itu tidak menjejaskan peperiksaan lisan yang dijalankan baru-baru ini memandangkan semua calon terbabit menumpang di sekolah berhampiran yang selamat.
“Seramai 207 calon SPM sekolah YIK yang terjejas banjir menjalani peperiksaan di pusat ditentukan YIK dan Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.
Sebanyak 323 stesen pemancar telekomunikasi di seluruh negara terjejas akibat banjir bermula November lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata 264 stesen pemancar telekomunikasi di Kelantan, manakala Terengganu (49), Pahang (sembilan) dan Johor (satu).
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 318 stesen pemancar telekomunikasi sudah beroperasi seperti biasa, manakala lima lagi dalam proses baik pulih.
“Saya cuba dapatkan angka yang terkini dan setakat semalam (kelmarin), secara keseluruhan 323 menara telah terkesan sejak berlaku banjir.
“Selain itu, 97 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terkesan dengan 88 daripadanya kembali beroperasi dan sembilan belum beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa, di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), di sini, semalam.
Tiada berita palsu
Dalam pada itu, Fahmi berkata, tiada sebarang laporan berkaitan berita palsu mengenai banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut diterima pihaknya setakat ini.
Katanya, kebiasaannya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan memadamkan kandungan berita palsu atau tidak tepat secara automatik.
“Kita risau dengan ledakan informasi dan maklumat di media sosial (dan) pengguna media sosial mungkin terlalu mudah untuk mempercayai sebarang maklumat yang disampaikan pada mereka. “Saya mohon buat pengesahan bersandarkan laporan rasmi daripada media arus perdana dan sekiranya kita tidak melihat perkara itu dilaporkan oleh mana-mana pihak, jangan kita sebarkan maklumat itu.
“Tunggu pengesahan daripada pihak berkuasa dan media arus perdana,” katanya.
