OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Gempa bumi Turkiye-Syria: Angka korban lepasi 33,000

ANGKA kematian akibat gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria meningkat kepada lebih 33,000 orang pada Ahad. Memetik laporan AFP, 29,605 orang meninggal dunia di Turkiye dan 3,574 di Syria, menjadikan jumlah yang disahkan kepada 33,179. 
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa jumlah keseluruhan mangsa yang maut mungkin berganda, apabila lebih banyak mangsa ditemui pasukan penyelamat.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, sebelum ini dilapor menyifatkan kejadian gempa kali ini sebagai bencana terburuk dalam dekad ini. 
Ia melepasi angka kematian gempa di Fukushima, Jepun pada tahun 2011 dan di utara Turkiye pada 1999. Misi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan dipergiatkan di wilayah terjejas dan lebih 166,000 anggota terlibat. - ASTRO AWANI

Gempa bumi Turkiye: Pasukan SMART MAS-01 berjaya bawa keluar 5 lagi mangsa

GAZIANTEP: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 berjaya membawa keluar lima mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan lima tingkat di bandar Nurdagi, Wilayah Gaziantep di sini pada Jumaat.
Kelima-lima mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dikeluarkan dari runtuhan. Kesemua mangsa terdiri darpada tiga lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, dan seorang kanak-kanak perempuan.  Pasukan SMART menggunakan peralatan khas dengan kaedah ‘cutting and breaking’ bagi mengeluarkan mangsa. Operasi mencari dan menyelamat dikatakan agak sukar kerana struktur runtuhan yang tidak stabil serta berbahaya. Usaha mengesan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan masih diteruskan ketika ini. - ASTRO AWANI

Gempa bumi Turkiye: Unit K9 mampu bantu misi SAR lebih berkesan

SEPANG: Penggunaan Unit Anjing Pengesan (K9) membolehkan operasi menyelamat mangsa gempa bumi oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Turkiye menjadi lebih berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, unit berkenaan berlepas ke Turkiye malam ini. Turut berlepas malam ini Unit K9 bersama dua ekor anjing pengesan yang dibawa bersama untuk memastikan kita dapat melaksana operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan lebih berkesan lagi," katanya. 
 
Beliau berkata demikian ketika sidang media sebelum pelepasan misi bantuan kumpulan kedua Pasukan SMART ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu. Mengulas lanjut, Armizan memaklumkan kumpulan itu terdiri 70 anggota SMART termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM). 
 
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, pasukan penyelamat yang sudah berada di Turkiye turut berdepan beberapa cabaran besar termasuk cuaca.
"Keadaan cuaca adalah di bawah paras beku iaitu sekitar -1 hingga -3 darjah Celsius.
 
"Faktor keselamatan memang sentiasa perlu siap sedia kerana keadaan gempa masih aktif dan ada gempa susulan jadi langkah berhati-hati perlu diambil.
 
"Bagaimanapun 70 anggota SMART yang sudah mula tugasan dalam keadaan yang baik dan mempunyai semangat yang cukup tinggi," katanya lagi.
 
"Buat masa ini, penugasan misi menyelamat ini ditetapkan selama 14 hari, bagaimanapun ia bergantung kepada situasi semasa di lokasi kejadian," katanya.
Setakat ini, lebih 8,000 mangsa gempa bumi di Turkiye dilaporkan terkorban selain ramai lagi yang dilapor masih terperangkap di bawah runtuhan. - ASTRO AWANI

SMART Malaysia antara pertama tiba di Turkiye bantu misi SAR

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi antara pasukan negara asing yang pertama tiba di Turkiye bagi membantu kerajaan negara itu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi gempa bumi yang kini sudah meragut lebih 7,000 nyawa termasuk di Syria. Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, negara berjaya menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dengan segera dalam tempoh kurang 12 jam.

Katanya, ia adalah hasil penyelarasan sangat baik antara semua agensi kerajaan Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Kedutaan Besar Republik Turkiye di Kuala Lumpur serta Turkish Airlines. "Susulan arahan Perdana Menteri pada petang kelmarin, Kerajaan Malaysia menghantar pasukan SMART ke Turkiye untuk terbabit dalam misi bantuan SAR mangsa yang terjejas, bersama pihak berkuasa tempatan. 

"Seramai 70 anggota pasukan itu selamat tiba di Istanbul pada jam 6 pagi waktu tempatan semalam, dan turut digerakkan ke Adana bagi misi SAR di kawasan berkenaan yang terletak 500 kilometer (km) dari Ankara atau 987km dari Istanbul," katanya.

Wisma Putra berkata, mesyuarat penyelarasan dipengerusikan bersama Menteri Luar serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak serta Tugas-Tugas Khas) selepas pelepasan pasukan SMART di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), turut bersetuju untuk membentuk sebuah Pasukan Petugas (Task Force). "Ia bagi menyelaraskan usaha bantuan kemanusiaan dari Malaysia, termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pasukan Petugas itu diketuai bersama Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan objektif utama bagi memastikan segala persiapan dan perancangan untuk salur bantuan kemanusiaan ke negara-negara terkesan akibat bencana gempa bumi ini, berjalan lancar, teratur serta memenuhi garis panduan oleh kerajaan-kerajaan berkenaan," katanya.

Katanya, satu mesyuarat koordinasi antara Pasukan Petugas itu dengan NGO Malaysia dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi tadi.

Dalam pada itu, Kementerian Luar menasihati warga Malaysia yang sedang berada di Turkiye, Syria dan negara-negara berdekatan, supaya terus mengambil berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini.

"Patuhi nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa."

"Sekiranya memerlukan bantuan segera, warga Malaysia di negara-negara ini dinasihatkan segera berhubung dengan Kedutaan-kedutaan Besar Malaysia di Amman, Ankara, Beirut atau Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul atau Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik," katanya. - BERTA HARIAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search