OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Lebih 7,000 pegawai, anggota pasukan keselamatan digerak ke Kelantan bantu mangsa banjir - Zahid

KOTA BHARU: Lebih 7,000 pegawai dan anggota pasukan keselamatan diatur gerak ke Kelantan bagi membantu mangsa banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelbagai aset juga turut dihantar sejak lapan hari lalu bagi melancarkan operasi menyelamat.

"Antara aset yang diatur gerak adalah trak tiga dan lima tan. Kita sedang mengatur untuk menghantar trak yang lebih besar iaitu muatan tujuh tan.

"Segala aset berkenaan dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Pada masa sama, persatuan nelayan juga menawarkan khidmat untuk membantu operasi bagi kawasan yang terkesan,," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui hantaran di Facebook, memaklumkan Markas 8 Briged telah mengatur gerak anggota dan aset ATM bagi membantu menyelamatkan penduduk di Kelantan dan Terengganu yang terjejas banjir.

"Markas 8 Briged telah mengaktifkan Op MURNI dan mengatur gerak anggota serta aset-aset ATM untuk membantu pihak berkuasa awam menyelamatkan penduduk yang menjadi mangsa bencana banjir," menurut hantaran berkenaan.

 

Mangsa banjir di 9 negeri lepasi 90,000

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di 35 daerah di sembilan negeri kini melepasi 90,264 orang membabitkan 27,799 keluarga, setakat jam 6 petang ini.

Kesemua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 570 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menerusi maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada jumlah keseluruhan itu, lebih separuh mangsa dicatatkan di Kelantan dengan 67,628 orang daripada 21,094 keluarga yang ditempatkan di 251 PPS di 10 daerah.

Di Terengganu, bilangan mangsa banjir juga meningkat kepada 16,968 daripada 4,961 keluarga di 239 PPS di lapan daerah manakala di Kedah 2,932 mangsa daripada 992 keluarga di 42 PPS di lima daerah,

Jumlah mangsa di Negeri Sembilan juga menunjukkan peningkatan kepada 1,891 mangsa daripada 518 keluarga di dua daerah dan ditempatkan di 20 PPS, sementara di Perlis pula, jumlah mangsa kekal kepada 425 orang daripada 125 keluarga dari tiga daerah berlindung di empat PPS.

Mangsa banjir di Selangor juga kekal kepada 312 orang daripada 77 keluarga dan setakat ini dua PPS sudah dibuka manakala di Melaka jumlah mangsa meningkat kepada 95 orang daripada 25 keluarga berlindung di lima PPS di tiga daerah.

Jumlah mangsa di Perak turut berkurangan kepada 20 orang berbanding 48 mangsa sebelum ini. Malah, hanya satu PPS yang masih beroperasi di daerah Kerian.

Sementara di Johor, terdapat enam PPS dibuka sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagi pecahan kategori mangsa di semua negeri terjejas banjir itu, ia membabitkan lelaki dewasa seramai 29,484 orang, perempuan dewasa (31,296), kanak-kanak lelaki (13,809) dan kanak-kanak perempuan (13,119).

Mangsa turut babitkan bayi lelaki seramai 1,347 orang serta bayi perempuan 1,209 orang.

2 lagi PPS dibuka di Segamat

SEGAMAT: Dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di buka di Jementah dekat sini bagi menempatkan 24 mangsa daripada 6 keluarga susulan banjir yang melanda kampung mereka.

Ia menjadikan 3 PPS dibuka di Johor yang menempatkan 184 mangsa dari 51 keluarga
membabitkan dua daerah iaitu Segamat dan Tangkak.

PPS Bukit Rahmat di Gerisik, Tangkak di buka jam 10.15 pagi tadi bagi menempatkan mangsa dari kampung Parit Bengkok yang dinaiki air hingga 0.5 meter

Ia susulan kadar luruhan hujan melebihi kadar biasa sejak semalam.

Menurut kenyataan bilik gerakan bencana Johor, dua PPS yang dibuka di Segamat adalah di Balai raya Kampung Paya lebar dan kampung Bukti Tunggal.

“Dua sungai iaitu Sungai Muar di Segamat dan Sungai Kampung Seri Makmur melebihi paras bahaya.

“Penduduk yang tinggal di kawasan rendah diminta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

 

Mangsa banjir di Kedah lebih 3,000, Kota Setar daerah kelima terjejas

ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri Kedah mencecah 3,004 orang setakat jam 6 petang tadi.

Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 43 PPS sedang beroperasi untuk menampung mangsa dari 1,006 keluarga yang terjejas.

Selain Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena dan Sik yang dilanda banjir sebelum ini, daerah Kota Setar turut dinaiki air hari ini.

Daerah Kubang Pasu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,807 orang di 13 PPS.

Ia diikuti 721 mangsa di Sik di 7 PPS, 354 orang di Kota Setar berlindung di 10 PPS.

Manakala, 74 orang di Pokok Sena berteduh 4 PPS dan 48 mangsadi 9 PPS di Padang Terap.

Trak ATM bantu ambil calon SPM di pedalaman

KOTA BHARU: Trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digunakan bagi mengambil calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berada di pedalaman untuk dihantar ke pusat peperiksaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan sudah dilakukan dengan ATM sebelum ini.

“Kita mengambil beberapa pendekatan bagi anak-anak yang menghadapi peperiksaan SPM bermula 2 Disember.

“Saya sudah koordinasi dengan ATM supaya trak tentera digunakan bagi mengambil calon SPM di pedalaman dan dihantar ke pusat peperiksaan.

“Justeru, saya mohon guru dan pengetua supaya dapat koordinasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Ahmad Zahid berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga dalam perjalanan melawat mangsa banjir di Kelantan.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search