PONTIAN: Sebanyak 198 kawasan di seluruh negara dilaporkan terjejas akibat banjir, termasuk 26 kawasan dilanda banjir kilat. Laporan itu diterima melalui aduan yang disalurkan ke Bilik Gerakan Bencana Banjir Jabatan Kerja Raya (JKR).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, memaklumkan dua kes jalan mendap, dua kejadian tanah runtuh, dan satu insiden cerun runtuh turut direkodkan, namun tiada kerosakan jambatan dilaporkan setakat ini.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang http://bencanaalam.jkr.gov.my untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai lokasi banjir serta cadangan laluan alternatif. Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana JKR di 03-2610 7727,” katanya selepas merasmikan Sukan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang di Kampung Puteri Menangis, pagi tadi.
Semalam, JKR mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana Banjir yang beroperasi 24 jam bagi memantau situasi semasa susulan amaran Monsun Timur Laut yang kini berada di tahap merah.
Ahmad Maslan turut mengarahkan JKR negeri dan daerah yang terjejas untuk segera menubuhkan pasukan khas bagi memasang papan tanda amaran di kawasan terjejas banjir.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya. Pengarah dan Jurutera Daerah (JD) juga perlu segera mengenal pasti laluan alternatif jika jalan utama tidak dapat dilalui akibat banjir,” tegasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan laluan logistik dan bekalan makanan sampai ke destinasi tanpa kelewatan demi kebajikan penduduk di kawasan terjejas.
ALOR SETAR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menafikan dakwaan akan memutuskan bekalan elektrik dari Anak Bukit ke Kepala Batas, Kubang Pasu seperti yang tular di media sosial.
TNB Careline dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook memaklumkan dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan meminta orang ramai untuk tidak mudah percaya kepada mesej yang tidak disahkan.
Pada masa sama, TNB meminta supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan kebimbangan.
“Bagaimanapun, sekiranya banjir semakin buruk, berisiko atau membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terbabit bagi memastikan keselamatan pengguna setempat,” katanya.
Sebarang gangguan bekalan elektrik atau kerosakan aset TNB boleh melaporkan di talian 15454, Private Message (PM) di Facebook TNB Carelane, Direct Message (DM) ke x@Tenaga_Nasional atau emel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.. – BERNAMA
KOTA BHARU: Sebanyak 30 jalan di Kelantan ditutup sementara hari ini berikutan jalan raya dilimpahi air akibat banjir.
Roadcare Wilayah Kelantan menerusi laman Facebook memaklumkan ia membabitkan masing-masing satu jalan di Jeli dan Machang, dua jalan masing-masing di Kuala Krai dan Bachok, tiga jalan masing-masing di Tanah Merah dan Tumpat, masing-masing empat jalan di Pasir Puteh dan Kota Bharu serta 10 jalan di Pasir Mas.
Daripada keseluruhan itu, 14 jalan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, manakala 16 lagi ditutup kepada kenderaan ringan.
Antara jalan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan di Pasir Mas termasuk Jalan Pasir Mas- Pohon Tanjung; Jalan Tok Deh- Gual Periok; Jalan Kota Bharu- Pasir Mas- Rantau Panjang; Jalan Rantau Panjang- Panglima Bayu dan Jalan Lubok Jong- Tanah Merah.
Di Tumpat pula adalah Jalan Pengkalan Kubor- Kota Bharu, manakala Tanah Merah adalah Jalan Panglima Bayu- Rantau Panjang- Jeram Perdah, Jeli ialah Jalan Batu Melintang- Kalai serta Machang di Jalan Kemuning- Bukit Belah.
PASIR MAS: Bandar Kota Bharu sudah dinaiki air sedalam kira-kira dua meter berikutan air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja yang melimpah sejak 12 tengah malam tadi dan menunjukkan trend menaik.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, polis sedang melakukan persediaan untuk memindahkan mangsa banjir sekiranya menjejaskan pusat pemindahan sementara (PPS) sedia ada.
“Limpahan air sungai berlaku kerana air pasang di tempat lain dan bertembung dengan air Sungai Kelantan,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Balai Polis Repek di sini hari ini. – BERNAMA
PASIR MAS: “Alhamdulillah suami dan anak-anak saya sudah diselamatkan penduduk kampung,” kata Fazlinda Mohd Salleh.
Fazlinda, 39, adalah isteri kepada Rizal Asmawi, 42, serta ibu kepada Muhammad Faiz Fitri, 12, dan Muhammad Faiz Idlan, 15, yang terperangkap di bumbung rumahnya di Kampung Meranti, sejak petang semalam.
Katanya, dia berasa lega apabila ketiga-tiga mereka selamat sampai ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bayu Lalang, di sini, sekitar jam 3.50 petang tadi.
“Saya hanya mampu mengalirkan air mata tanda bersyukur kerana mereka selamat sampai ke pangkuan saya.
“Terima kasih kepada semua pihak yang bertanya khabar dan mendoakan keselamatan suami serta anak-anak. Insya-Allah, apa yang berlaku akan dijadikan sebagai pengajaran kelak.
“Tidak dapat digambarkan perasaan saya sepanjang menunggu mereka diselamatkan, saya tiada selera makan selain hanya mampu menangis meningatkan nasib mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, tiga beranak itu terperangkap di bumbung rumah selepas kediaman mereka dinaiki air secara mendadak.
Fazlinda meminta bantuan agensi keselamatan serta memohon doa orang ramai kerana bimbang akan keadaan mereka yang sudah terperangkap sejak petang semalam.
Mereka pada awalnya sudah keluar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayu Lalang, di sini, namun kembali semula ke rumah petang semalam untuk mengangkat barangan ke tempat selamat.