GUANGZHOU - Dua orang maut dan seorang lagi masih hilang selepas kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat melanda sebuah kampung di Wilayah Guangdong, selatan China, pagi Ahad, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Tanah runtuh itu berlaku sekitar jam 7 pagi di Kampung Pingtougang, yang terletak di Bandar Gaozhou, menyebabkan tujuh orang terperangkap, menurut Biro Pengurusan Kecemasan Gaozhou.
Operasi mencari dan menyelamat bagi mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan. - Bernama-Xinhua
GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Gob dan Pos Simpor di sini, terpaksa menempuh perjalanan hampir 10 jam untuk keluar mencari barangan keperluan makanan di Bandar Gua Musang selepas kejadian tanah runtuh berhampiran Bukit Kawug, kelmarin.
Hujan berterusan dalam tempoh lima jam Jumaat lalu menyebabkan berlaku runtuhan tanah menimbus jalan dan pokok tumbang.
Seorang penduduk Orang Asli Pos Gob, Along Apok, 40, berkata, kejadian tanah runtuh dipercayai berlaku pada malam Jumaat lalu dan disedari penduduk dalam perjalanan keluar ke bandar bagi membeli bekalan makanan.
Katanya, cuaca hujan yang sering berlaku di kawasan pedalaman pada sebelah petang menyumbang kepada kerosakan permukaan jalan bertanah merah apabila menjadi becak dan mudah mendap.
“Kejadian tanah runtuh di Jalan Pos Simpor menuju Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis itu mungkin berpunca daripada cuaca hujan yang berterusan dalam jangka masa panjang.
“Kami bertolak dari kampung pada pukul 9 pagi dan tiba di bandar Gua Musang pada pukul 7 malam akibat kejadian tanah runtuh dan jalan rosak,” katanya.
Penduduk Pos Simpor, Mohd. Syafiq Dendi Abdullah, 32, berkata, kejadian tanah runtuh disedari kira-kira pukul 9 pagi semalam apabila dia bersama 19 penduduk lain untuk melakukan urusan harian.
“Kami terpaksa mengangkat motosikal secara bergilir-gilir untuk melalui kawasan runtuh. Perjalanan menjadi lebih panjang iaitu memakan masa hampir 10 jam untuk sampai ke bandar berbanding tiga jam,” katanya.
Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, pihaknya telah menerima aduan kejadian dan akan berbincang dengan kontraktor membuat kerja-kerja jalan serta pihak ladang bagi melakukan kerja pembersihan.-UTUSAN
AMERIKA SYARIKAT: Hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kilat yang menenggelamkan kawasan pusat bandar di beberapa daerah di Maryland, sekali gus memaksa penduduk berpindah ke kawasan lebih selamat.
Pihak berkuasa tempatan dan negeri mengisytiharkan darurat di kawasan terjejas termasuk Allegany.
Lebih 200 pelajar dan kakitangan dari beberapa sekolah di barat laut negeri ini terperangkap akibat kenaikan paras air mendadak.
Mereka diselamatkan menggunakan 15 bot dalam operasi yang berlangsung selama beberapa jam.
Dianggarkan sekitar 200 rumah dan bangunan di daerah Allegany mengalami kerosakan akibat banjir.
Jalan-jalan utama ditutup dan banyak kawasan terputus bekalan elektrik.
Penduduk melaporkan kerosakan teruk pada harta benda, termasuk kereta yang dihanyutkan arus banjir.
Operasi membantu penduduk dijalankan sepanjang malam oleh pasukan penyelamat dengan ramai mangsa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
– FOX WEATHER / WASHINGTON POST / NEW YORK POST / WWW.GARRETTCOUNTYMD.GOV
Hujan lebat di 9 negeri petang ini
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri sehingga petang ini.
MetMalaysia memaklumkan negeri-negeri yang terjejas adalah Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Bagi Kedah, cuaca buruk melibatkan kawasan (Sik, Baling dan Kulim) , manakala di Perak melibatkan (Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar).
“Keadaan sama turut melanda Kelantan di (Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), keseluruhan Terengganu dan di Johor (Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
“Bagi Negeri Sembilan, hujan lebat diramalkan berlaku di (Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), sementara di Negeri Sembilan di (Jelebu dan Jempol),” katanya.
Sarawak turut diramalkan mengalami ribut petir di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu), Kapit (Song dan Kapit), Miri (Telang Usan) dan Limbang.
Cuaca buruk turut dijangka berlaku di Sabah di kawasan Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Tawau dan Semporna), Sandakan (Tongod, Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat) serta keseluruhan Wilayah Persekutuan Labuan. – KOSMO! ONLINE.
