KUCHING, 2 Ogos: Projek Tebatan Banjir Fasa Dua di Taman Desa Wira, Batu Kawa mencatat kemajuan memberangsangkan apabila pelaksanaannya kini berada 11 peratus di hadapan jadual asal.
Projek bernilai lebih RM36.6 juta yang bermula pada Januari lalu itu dijangka siap pada Julai 2027.
Skop projek merangkumi pembinaan kolam takungan, rumah pam, bilik suis utama, pencawang elektrik, kerja menaik taraf jalan, penambahbaikan sistem perparitan sepanjang 363 meter serta pembinaan tembok perlindungan banjir sepanjang satu kilometer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kemajuan projek berkenaan membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan itu.
“Kita mahu memastikan setiap pelaburan yang dibuat memberi manfaat nyata kepada rakyat. Projek tebatan banjir ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memperkukuh sistem saliran dan melindungi komuniti daripada ancaman banjir.
“Keseluruhan pelaburan bagi projek tebatan banjir Taman Desa Wira berjumlah RM51.1 juta, disokong Projek Lencongan Sungai Sarawak bernilai RM2.4 bilion yang mampu mengalihkan sehingga 60 peratus lebihan aliran air,” katanya dalam l kenyataan selepas meninjau kemajuan projek bersama pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak baru-baru ini.
Beliau turut mengingatkan kontraktor agar terus mematuhi spesifikasi dan syarat kontrak bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual dengan mengekalkan standard kualiti yang tinggi.
Fasa dua projek itu melibatkan pembinaan kolam takungan seluas 11,300 meter persegi yang mampu menampung sehingga 30,000 meter padu air hujan.
Sementara itu, fasa pertama yang telah siap di Lorong Desa Wira 7 melibatkan kos RM14.5 juta dengan pembinaan kolam takungan berkeluasan 1.4 hektar yang mampu menyimpan lebih 40,000 meter padu air hujan.
Kedua-dua fasa itu merupakan sebahagian daripada pelan menyeluruh tebatan banjir Batu Kawah yang merangkumi pembinaan empat kolam takungan bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran di kawasan berkenaan.
Kolam-kolam takungan itu berfungsi menampung lebihan air ketika hujan lebat apabila sistem saliran sedia ada mencapai kapasiti maksimum, sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar.
Selain itu, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM63.88 juta bagi membina dua lagi kolam takungan berhampiran Batu Kawa New Township dan Pusat Komersial Pine Square termasuk kerja menaik taraf sistem saliran di kawasan sekitarnya bagi memperkukuh usaha tebatan banjir di Batu Kawah.-TVS
PETALING JAYA – Pelaksanaan Projek Tebatan Banjir di laluan Lanchang menuju Mentakab dipercayai menjadi antara punca utama kesesakan teruk di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah timur sejak petang tadi.
Kesesakan berlaku apabila laluan dua lorong mengecil kepada satu lorong sehingga menyebabkan kenderaan bergerak perlahan dan beratur panjang, terutama di sekitar Lanchang serta Temerloh.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna berkongsi gambar dan video menunjukkan deretan panjang kenderaan di lebuh raya berkenaan sehingga lewat malam.
Seorang pengguna Threads, Syafiqqah Razali berkata, dia tersangkut lebih sejam berhampiran Lanchang sebelum dimaklumkan satu lorong ditutup.
“Daripada dua lorong jadi satu lorong. Jarang naik bahagian ini, hari Ahad pula ada pembinaan. Dekat dua jam, elok-elok boleh sampai Kuantan dah,” katanya.
Menurutnya, aplikasi navigasi turut memaklumkan terdapat satu lorong yang terhalang sehingga menyebabkan kenderaan bergerak amat perlahan.
Seorang lagi pengguna mendakwa mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk melepasi kawasan sesak di sekitar Temerloh.
“Tak ada apa pun di LPT Temerloh ini, dua lorong nak masuk satu lorong sahaja. Tetapi tersangkut lama betul, dari pukul 7.30 malam hingga 9 malam baru lepas,” katanya.
Pengguna Facebook, Nor Razi pula berkata, kenderaannya masih belum tiba di Temerloh selepas tersangkut dalam kesesakan panjang.
“Melekat jem LPT. Belum sampai Temerloh lagi. Masak nak sampai Kemaman,” katanya.
Dalam pada itu, perjalanan dari Bukit Besi menuju Kuantan turut dilaporkan sesak susulan peningkatan jumlah kenderaan termasuk rombongan motosikal sempena program RXZ Members 8.0.
Sementara itu, bagi arah barat, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Bentong menuju Bukit Tinggi serta dari Genting Sempah hingga ke Plaza Tol Gombak. – KOSMO! ONLINE
PETALING JAYA: Pendidikan sejak usia kanak-kanak perlu dijadikan benteng utama dalam menangani pencemaran laut yang semakin membimbangkan, termasuk ancaman sampah marin di pulau peranginan seperti Pulau Redang.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, usaha memulihara lautan tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu bermula dengan pembentukan sikap dan nilai menghargai alam sekitar sejak kecil.
Menurut baginda, pendidikan berterusan mampu melahirkan masyarakat bertanggungjawab terhadap kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar.
Titah baginda, negara seperti Jepun menjadi contoh terbaik apabila berjaya membentuk rakyat yang berdisiplin hasil penerapan pendidikan kebersihan sejak kanak-kanak, termasuk membiasakan mereka mengutip dan membuang sampah di tempat yang betul.
“Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik anak-anak supaya tidak bersikap manja dan memandang ringan soal kebersihan. Nilai menjaga kebersihan serta membuang sampah di tempat yang sepatutnya mesti dipupuk sejak kecil,” titah baginda ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam laporan khas Mingguan Malaysia Ahad lalu menerusi tajuk ‘Neraka’ sampah di pulau peranginan mendedahkan situasi di Kampung Baru Pulau Redang menjadi lubuk pelbagai sampah termasuk dari negara luar di dasar dan pesisir laut.
Penglibatan wartawan Mingguan Malaysia dalam sebuah program pembersihan dasar laut dan persisir pantai pada 26 hingga 27 Jun lalu, berjaya mengumpul 56.05 kilogram (kg) sisa marin dari dasar laut.
Turut dipungut, sebanyak 400.13 kg sampah di pesisir pantai, menjadikan jumlah keseluruhan dalam masa tiga hari itu sebanyak 456.18kg.
Dalam pada itu, baginda bertitah, pematuhan terhadap undang-undang juga menjadi faktor penting dalam memastikan kebersihan alam sekitar sentiasa terpelihara sebagaimana yang diamalkan di Australia dan Singapura.
“Australia mempunyai masyarakat daripada pelbagai kaum dan negara, namun mereka tetap mematuhi undang-undang. Begitu juga di Singapura, masyarakat sangat berdisiplin dalam menjaga kebersihan persekitaran,” titah baginda.
Baginda turut membangkitkan kebimbangan laporan situasi Laut China Selatan kini menerima lambakan sampah yang dibawa arus dan ombak dari pelbagai kawasan, termasuk dipercayai daripada negara jiran.
“Laut China Selatan seolah-olah menjadi lautan sampah. Banyak sampah dibawa masuk oleh ombak. Di Redang misalnya, terdapat nelayan dari Vietnam dan Kemboja yang berada di perairan itu selama berbulan-bulan untuk menangkap ikan,” titah baginda.
Baginda turut menjelaskan sistem aliran sungai seperti Sungai Pahang menyebabkan sampah yang dibuang di hulu akhirnya dibawa ke muara sebelum hanyut ke laut.
“Sungai Pahang mempunyai kawasan delta. Air mengalir dari hulu ke hilir dan membawa bersama sampah. Apabila berlaku mendapan pasir di muara, aliran air tersekat sehingga boleh menyebabkan banjir, manakala apabila air kembali mengalir ke laut, sampah yang terkumpul turut dihanyutkan ke perairan,” titahnya.
Tuanku Azizah bertitah, pendidikan mengenai kebersihan seharusnya bermula di rumah kerana ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin anak-anak untuk menghargai alam sekitar.
Baginda turut mengingatkan bahawa sampah yang dibuang ke sungai akhirnya akan mengalir ke laut, sekali gus mencemarkan ekosistem marin serta menjejaskan keindahan khazanah semula jadi negara.
“Kita mempunyai sungai dan laut. Jika sungai dicemarkan, akhirnya sampah itu akan sampai ke laut. Lihat sahaja sungai di Korea yang bersih dan tasik di Switzerland yang airnya begitu jernih sehingga dasar tasik dapat dilihat. Mengapa kita tidak boleh menjadi seperti itu? Semuanya bermula dengan pendidikan dan kesedaran,” titah baginda.
Baginda melahirkan kebimbangan apabila keadaan itu berbeza apabila rakyat Malaysia berada di luar negara kerana mereka lebih berdisiplin dan mematuhi undang-undang berkaitan kebersihan.
“Apabila berada di Singapura, ramai takut dikenakan denda sehingga sanggup menyimpan sampah di dalam kereta. Tetapi apabila pulang ke negara sendiri, ada yang terus membuang sampah sesuka hati. Sikap seperti ini perlu diubah,” titah baginda. – UTUSAN
TOKYO: Maklumat palsu mengenai gempa bumi kuat yang menggegarkan wilayah Kyushu dekat barat daya Jepun, semalam kini dilapor tersebar meluas di media sosial.
Menurut laporan penyiar awam NHK, di platform X sahaja, beberapa imej kerosakan akibat gempa bumi yang berlaku sebelum ini dikongsi semula dengan dakwaan ia berpunca daripada gegaran yang berlaku semalam.
Terdapat juga hantaran di platform berkenaan yang mendakwa gempa bumi yang berlaku dicetuskan oleh manusia dan bukannya berlaku secara semula jadi tanpa mengemukakan sebarang asas saintifik.
Satu lagi hantaran yang mencapai lebih tiga juga tontonan turut mendakwa, gempa bumi yang berlaku semalam sudah diramalkan terlebih dahulu.
Hantaran sama dimuat naik oleh sebuah akaun media sosial yang hampir setiap hari membuat ramalan gempa bumi tanpa kemukakan asas kukuh.
Selain itu, terdapat laporan palsu yang mendakwa seekor singa terlepas dari sebuah zoo selepas gempa bumi, dimuat naik bersama gambar seekor singa yang sebenarnya diambil di luar negara.
Hantaran serupa pernah muncul selepas gempa bumi besar melanda wilayah Kumamoto pada 2016.
Individu yang bertanggungjawab memuat naik hantaran berkenaan 10 tahun lalu sudah ditahan kerana menyebarkan kandungan mengganggu atau menghalang operasi perniagaan orang lain melalui penipuan atau penyebaran maklumat palsu.
Penyebaran maklumat palsu berpotensi menjejaskan usaha bantuan dan pengurusan bencana, lantas pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan atau mendapat pengesahan daripada institusi dan agensi rasmi sebelum berkongsi sebarang maklumat berkaitan bencana. - AGENSI
KUCHING, 29 Julai: Keadaan jerebu mula menjejaskan beberapa kawasan di Sarawak akibat asap rentas sempadan dari Kalimantan Barat, Indonesia.
Bagaimanapun menurut Pengarah MetMalaysia Sarawak, Khairul Najib, kualiti udara masih berada pada paras rendah dengan keadaan cuaca ketika ini turut dipengaruhi Taufan Noul di Laut China Selatan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan cuaca di Sarawak menjadi agak kering, sekali gus meningkatkan risiko pembentukan jerebu susulan kewujudan titik panas di kawasan berhampiran.
“Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpengkalan di Singapura melaporkan sejumlah titik panas telah dikesan di Kalimantan Barat dan keadaan ini serta arah pergerakan angin.
“Secara amnya sedikit sebanyak mempengaruhi kualiti udara di Sarawak, terutama di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Kapit.” Katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Beliau berkata walaupun hujan berlaku di kebanyakan kawasan Sarawak pada 28 Julai lalu, keadaan itu masih belum dapat menghilangkan jerebu sepenuhnya memandangkan fenomena tersebut bersifat rentas sempadan.
Dalam tempoh beberapa hari akan datang, keadaan cuaca lembap dijangka berterusan di Sarawak terutama pada sebelah petang, katanya.
Bagaimanapun menurutnya keadaan angin lazim ketika ini yang bertiup dari arah tenggara masih berpotensi mempengaruhi keadaan berjerebu terutama di bahagian barat Sarawak.
Berdasarkan pemantauan ASMC pada 28 Julai, tiada titik panas dikesan di Sarawak, manakala sebahagian besar titik panas direkodkan di Kalimantan Barat.
Walaupun terdapat sedikit penurunan jumlah titik panas pada 27 Julai, jumlah tersebut kembali meningkat pada 28 Julai.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah yang sesuai serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan sentiasa terpelihara.”Tambahnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana dikhuatiri api tidak dapat dikawal dan boleh merebak, sekali gus menyumbang kepada keadaan berjerebu sedia ada.
MetMalaysia Sarawak akan terus memantau perkembangan cuaca dan keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa. — TVS
