Kerajaan Selangor akui ada lokasi alami banjir kilat sejak pembinaan LRT3
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengakui, ada lokasi di negeri ini mengalami banjir kilat susulan pelaksanaan projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT3)
"Kalau kata seluruh jajaran (LRT3) itu mengalami masalah banjir kilat, saya tidak setuju tetapi saya setuju ada sesetengah bahagian yang memang mengalami masalah banjir kilat selepas pembinaan (LRT3) dimulakan.
"Sebenarnya, bagi setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semasa mereka (kontraktor) memohon kebenaran merancang, PBT akan meletakkan syarat-syarat kepada kontraktor untuk mereka mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan oleh setiap PBT.
"PBT akan menyemak adakah syarat-syarat dipatuhi sebelum memberi sokongan kepada permohonan itu," katanya menjawab soalan tambahan dari Muhammad Hilman Isham (PN-Gombak Setia) berhubung isu banjir kilat di kawasan berhampiran jajaran LRT3.
Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor hari ini.
Mengulas lanjut mengenai isu air bertakung di perparitan sepanjang LRT3 di kawasan Klang katanya, keseluruhan kerja perparitan dan longkang siap sepenuhnya mengikut reka bentuk konsultan dan mendapat kelulusan dari pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
"Beberapa siri kejadian banjir berlaku di Jalan Meru iaitu di hadapan kompleks Pasar Jalan Meru dan di hadapan Sekolah Tinggi Klang semasa di peringkat pembinaan pembangunan LRT3 dan selepas penyiapan kerja.
"Susulan daripada beberapa siri kejadian banjir, MBDK mengarahkan pihak LRT3 membuat semakan dan mengkaji punca kejadian banjir dan cadangan untuk mengatasi perkara itu," katanya.
Jelas Sze Han, beberapa perkara yang perlu di teliti dan diambil kira oleh pihak LRT3 termasuk menyemak keperluan dan keberkesanan parit erong (scuper drain).
"Pihak LRT3 perlu membuat kerja pembersihan parit alir keluar di sepanjang Jalan Meru sehingga ke Sungai Klang.
"Begitu juga menyemak pembinaan dan ubah suai pembetung di kawasan Bulatan Kota; dan mengkaji semula punca kejadian serta membuat cadangan untuk mengatasi masalah kejadian banjir ini," katanya.
Katanya, pihak perunding LRT3 kini sedang membuat kajian semula lokasi-lokasi kejadian banjir tempatan.
"Antara punca utama yang dikenal pasti menyumbang berlakunya air bertakung ketika hujan lebat adalah berlaku sekatan di hilir perparitan ke sungai, terdapat mendapan dan sampah sarap serta halangan utiliti yang menyekat aliran perparitan.
"Masalah air bertakung juga berlaku apabila berlakunya hujan lebat melampau ketika air laut pasang besar. Ia akan mengakibatkan berlakunya aliran balik air kembali ke perparitan sepanjang Jalan Meru, seterusnya menyebabkan air melimpah dan mengakibatkan air bertakung.
"Pada tahun ini, MBDK akan menaik taraf perparitan di kawasan Lorong Nuri berhadapan Sekolah Tinggi Klang, yang sering kali mengalami kejadian banjir apabila berlaku hujan lebat," katanya.
Dalam pada itu katanya, status kemajuan keseluruhan projek LRT3 sehingga Januari 2024 adalah pada kadar 93.88 peratus.
"Status kemajuan infra Bandar Baru Klang bagi pembinaan landasan adalah 99.24 peratus dan status kemajuan Bandar Baru Klang bagi pembinaan stesen adalah 91.03 peratus.
"Projek LRT3 dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada Mac 2025," katanya menjawab pertanyaan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru) berhubung status terkini landasan dan stesen LRT.