Tiada hujan selepas operasi pembenihan awan di KTA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang
- Admin UKK
- Berita
Georgetown: Tiada hujan direkodkan semasa atau selepas dua operasi pembenihan awan dilakukan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, dekat sini, kelmarin dan Selasa lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, perkara itu berkemungkinan disebabkan keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakkan pada masa itu.
“Jika tiada awan, awan tidak mencukupi atau jika suhu udara terlalu tinggi untuk titisan air terbentuk di awan, pembenihan awan mungkin tidak merangsang sebarang hujan.
“Pembenihan awan biasanya boleh merangsang lebih banyak hujan jika terdapat awan hujan pada ketinggian tertentu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pathmanathan berkata, oleh kerana tiada hujan direkodkan, dua operasi pembenihan awan itu tidak meningkatkan kapasiti efektif kedua-dua empangan buat masa ini.
Justeru, PBAPP berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menugaskan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi pembenihan awan tambahan di Pulau Pinang pada bulan depan.
Beliau memaklumkan kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam semalam mencatatkan 37 peratus manakala Empangan Teluk Bahang, 79.1 peratus.
Katanya, pada 1 Januari lalu, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam adalah 68.9 peratus berbanding 37 peratus dicatatkan semalam dengan perbezaan sebanyak 31.9 peratus.
“Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasiti efektif pada 1 Januari adalah 95.4 peratus berbanding hari ini (semalam) iaitu 79.1 peratus iaitu menunjukkan perbezaan sebanyak 16.3 peratus.
Beliau berkata, kapasiti efektif maksimum Empangan Air Itam ialah 2,160 juta liter (JL) manakala Empangan Teluk Bahang, 18,240 JL.
Daripada segi isi padu air, penurunan sebanyak satu peratus dalam kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang (182.4 ML) secara kasarnya bersamaan dengan penurunan 8.4 peratus dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam.
“Kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah pada 5 Februari lalu namun ia meningkat sebanyak 4.2 peratus menjadikannya daripada 32.8 peratus kepada 37 peratus
“Walaupun terdapat hanya 45 milimeter (mm) hujan di KTA Empangan Air Itam dan cuaca panas, peningkatan ini adalah kerana pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024),” katanya.
Beliau berkata, di bawah AIDAP 2024, PBAPP mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam sebanyak 75 peratus menyaksikan pengeluaran air terawat Loji Rawatan Air (LRA) Empangan Air Itam juga menurun sebanyak 66 peratus.
Katanya, dalam usaha memastikan bekalan air mencukupi di Air Itam, PBAPP mengepam 33 juta liter air terawat sehari (JLH) dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam. pada hari ini (semalam).