OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pesawah dakwa rugi RM100,000 kerana banjir termenung

Pesawah dakwa rugi RM100,000 kerana banjir termenung

KOTA BHARU: Kumpulan pesawah dari Kampung Teras, Binjai, di sini, mendakwa kerugian hampir RM100,000 selepas sawah mereka seluas 28 hektar ditenggelami banjir termenung sejak hampir seminggu lalu.

Yaacob Abdul Majid, 54, berkata ia kali pertama keadaan itu berlaku susulan masalah laluan tersumbat yang menyebabkan air bertakung di sawah tidak dapat mengalir.

Katanya, anak benih berusia dua minggu musnah sepenuhnya apabila digenangi air sehingga mencecah 1.5 meter (m) dan merugikan pesawah yang sepatutnya menuai hasil padi pada April ini.

"Padi hanya boleh dituai dua kali setahun, namun disebabkan masalah ini berkemungkinan besar kami dapat menuai sekali sahaja pada hujung tahun, sekali gus menjejaskan pendapatan pesawah di sini. 

"Saya kerugian kira-kira RM16,000 selepas sawah seluas 6.4 hektar ditenggelami sepenuhnya. Penat lelah menabur benih sia-sia selain menanggung kerugian benih, racun dan upah membajak.

"Justeru, saya memohon pihak berkenaan membina laluan air agar masalah sebegini tidak berulang lagi," katanya. 

Che Mazlan Mohd Noor, 57, berkata situasi sawah digenangi air adalah perkara biasa, tetapi dengan paras air semasa pasti mengambil masa lama untuk surut.

"Kami menjangkakan ia mungkin mengambil lebih sebulan untuk surut sepenuhnya. Benih padi boleh diselamatkan jika hanya tenggelam kurang 10 hari tetapi jika selebihnya, tiada dapat diselamatkan.

"Bantulah kami kerana bersawah adalah satu-satunya punca pendapatan kami dan masalah ini akan berulang jika isu laluan air tidak diselesaikan," katanya.

Beliau berkata, masalah itu turut menyebabkan beberapa kawasan banjir seperti Kampung Teras, Kampung Chepa, Kampung Wakaf Tanjung, Kampung Saraf dan Kampung Mentuan, di sini.

Beberapa jalan utama di kawasan kampung dinaiki air separas 0.5m sehingga tidak boleh dilalui kenderaan.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search