OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

40 hektar sawah ditenggelami banjir akibat hujan lebat berterusan

40 hektar sawah ditenggelami banjir akibat hujan lebat berterusan

PARIT BUNTAR: Lebih 200 pesawah di Kompartmen C, Kuala Kurau, di sini, berisiko mengalami kerugian apabila kawasan sawah mereka ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Keadaan itu lebih membimbangkan apabila anak padi berusia antara tiga hingga 14 hari tenggelam sepenuhnya, sekali gus berisiko mati sekiranya keadaan berterusan.

Pengerusi Kumpulan Pengguna Air (KPA) Tali Air 74, Abdul Baharin Mat Desa, berkata di Telok Pial sahaja, lebih 40 hektar sawah yang baru memulakan proses penanaman padi ditenggelami air.

Katanya, jika keadaan berlarutan, pesawah berkemungkinan terpaksa menanggung kerugian apabila anak padi yang baru tumbuh mati.

"Ini kerana varieti padi yang digunakan ada yang tidak tahan berada di dalam air.

"Jika padi kami rosak dan perlu memulakan semula proses penanaman, sudah pasti kami terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi untuk menggembur tanah dan membeli benih baharu.

"Kos menggembur tanah agak tinggi, sekitar RM150 seekar, manakala benih pula berharga antara RM55 hingga RM70 sekampit, tidak termasuk upah menabur," katanya ketika ditemui di Parit Telok Pial, hari ini.

Abdul Baharin berkata, selain hujan lebat, keadaan parit buang yang didakwa tidak diselenggara turut menyukarkan proses mengalirkan air keluar dari kawasan sawah.

"Apabila parit buang langsung tidak diselenggara oleh pihak berkaitan, air yang menenggelami sawah padi tidak bergerak.

"Dari Telok Pial hingga Parit Abas, sepanjang lebih lima kilometer, parit langsung tidak dicuci. Bagaimana kami hendak membuang air?

"Kami sudah memohon bantuan daripada agensi berkaitan, tetapi dimaklumkan tiada peruntukan," katanya.

Sementara itu, Mohd Naim Firdaus, 35, berkata beliau bersama pesawah lain bergotong-royong membersihkan semak samun yang menghalang laluan air.

Katanya, keadaan sawah yang ditenggelami air menyukarkan penggunaan pam bergerak kerana batas sawah turut dipenuhi air.

Tinjauan mendapati hampir semua lot sawah menampakkan permukaan air, manakala sebahagian besar anak padi hanyut.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search