OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Belanjawan 2027 serlah agenda daya tahan iklim tak terkompromi Anwar

Belanjawan 2027 serlah agenda daya tahan iklim tak terkompromi Anwar

SELARAS dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh daya tahan iklim dan pengurangan risiko bencana, Belanjawan 2027 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah memperkenalkan penambahbaikan penting kepada dua tonggak utama negara, iaitu Pelan Adaptasi Nasional (MyNAP) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB), sekali gus memastikan kesinambungan agenda pembangunan mampan negara.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027 bertemakan 'Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi', Perdana Menteri menegaskan belanjawan negara bukan sekadar angka kewangan, malah menjadi satu 'kontrak moral' kerajaan terhadap rakyat dan generasi akan datang.

Beliau menekankan kerajaan tidak membina negara untuk satu tahun fiskal sahaja, sebaliknya untuk generasi akan datang.

Dalam konteks pengurusan bencana dan iklim, beliau menyatakan bahawa isu mendesak seperti tebatan banjir membabitkan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat.

Justeru, jika perlu, peruntukan daripada bidang lain boleh dipotong atau pinjaman boleh diambil bagi memastikan projek berkaitan dapat disegerakan tanpa mengikut unjuran jangka panjang yang terlalu lama.

MyNAP yang dijangka mula berkuat kuasa sepenuhnya menjelang akhir 2026 kekal sebagai teras kerangka adaptasi iklim jangka panjang negara.

Selaras dengan pengumuman dalam Belanjawan 2027, kerajaan terus menumpukan kepada lima sektor keutamaan, iaitu sumber air dan pesisir pantai, pertanian dan keselamatan makanan, infrastruktur dan bandar, perhutanan dan biodiversiti, serta kesihatan awam.

Penekanan terhadap kerentanan bersilang (intersectional vulnerabilities) terus diberi perhatian, dengan sokongan khusus kepada golongan wanita, belia, orang kurang upaya (OKU), dan komuniti luar bandar dalam menghadapi cabaran iklim.

Walaupun laporan mengenai peruntukan tambahan khusus untuk MyNAP dalam Belanjawan 2027 tidak dinyatakan secara terperinci dalam dokumen awam, komitmen kerajaan terhadap agenda adaptasi iklim jelas tercermin melalui peruntukan besar kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sebanyak RM5.33 bilion.

Peruntukan ini bertujuan memperkukuh infrastruktur air dan tenaga, mengurangkan risiko banjir serta memastikan perkhidmatan asas lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Dari segi infrastruktur fizikal, Belanjawan 2027 memperlihatkan lonjakan dalam pelaksanaan projek RTB.

Sebanyak enam projek RTB bernilai RM336 juta sudah siap sepenuhnya, manakala 82 projek lagi sedang dilaksanakan mengikut jadual.

Pelaksanaan projek baharu

Bagi 2027, kerajaan sudah mengenal pasti projek baharu yang akan dilaksanakan, termasuk RTB Bandaraya Kuching, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 di Kelantan dan PLSB Sungai Kemaman di Terengganu.

Selain itu, aspek penyelenggaraan turut diberi perhatian dengan peruntukan hampir RM320 juta untuk pembaikan dan naik taraf cerun serta parit dan longkang di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Langkah ini penting bagi memastikan sistem saliran sedia ada berfungsi dengan optimum dalam menghadapi hujan lebat yang tidak menentu.

Dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerima peruntukan sebanyak RM260 juta di bawah Belanjawan 2027.

Peruntukan ini akan ditumpukan untuk menambah bilangan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di setiap negeri, dengan tumpuan kepada kawasan titik panas yang kerap dilanda banjir.

Selain itu, kerajaan turut meningkatkan kadar Bantuan Pembaikan Rumah bagi mangsa bencana daripada RM5,000 kepada RM10,000, serta memperbaiki pengurusan bantuan agar Bantuan Wang Ihsan dapat disalurkan lebih awal kepada mangsa ketika berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Peruntukan ini juga akan digunakan untuk membeli kelengkapan operasi barisan hadapan seperti bot, pam air dan mesin penapis air bagi agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysai (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2027 memperlihatkan pendekatan holistik Kerajaan MADANI yang menggabungkan kerangka dasar jangka panjang seperti MyNAP dengan pelaksanaan projek infrastruktur fizikal berimpak tinggi melalui RTB.

Dengan peruntukan besar kepada PETRA dan NADMA, serta peningkatan bantuan kepada

mangsa bencana, kerajaan bukan sahaja membina benteng konkrit, malah memperkukuh daya tahan sosial dan memastikan tiada golongan terpinggir dalam menghadapi cabaran iklim yang semakin kompleks.

Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, langkah ini adalah selari dengan hasrat untuk meninggalkan sebuah negara yang lebih kukuh dan berdaya tahan kepada generasi akan datang.

Sesungguhnya inilah bukti bahawa hala tuju negara kita sedang berada di landasan tepat di bawah panduan seorang pemimpin yang berpandangan amat jauh ke depan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pengkomputeran, Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search