OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebocoran gas bawah tanah paksa operasi ladang sawit Kuala Baram dihentikan

Kebocoran gas bawah tanah paksa operasi ladang sawit Kuala Baram dihentikan

MIRI: Semua aktiviti di sebuah ladang sawit di Kuala Baram di sini dihentikan serta-merta selepas kebocoran gas dari bawah tanah dikesan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian berlaku ketika kerja penggerudian pada kedalaman 28.5 meter, sebelum kebocoran dilaporkan pada 3 Oktober lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.54 pagi hari ini sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong digerakkan ke lokasi.

"Pemeriksaan awal mendapati bacaan gas menunjukkan penurunan daripada 10 peratus kepada lima peratus, manakala bacaan gas direkodkan pada 30 peratus LEL (Lower Explosive Limit)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Komander Operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota membuat pemantauan serta pemeriksaan secara berterusan di sekitar kawasan kejadian.

Katanya, pengujian gas turut dijalankan semula bagi mendapatkan bacaan terkini dan memastikan tahap keselamatan kawasan terbabit.

"Hasil pengujian semula mendapati bacaan gas menunjukkan lima peratus.

"Sehubungan itu, Komander Operasi mengarahkan semua aktiviti di lokasi dihentikan serta-merta dan melarang sebarang aktiviti dijalankan sehingga keadaan disahkan selamat," katanya.

Menurutnya, tindakan berkenaan diambil sebagai langkah keselamatan susulan kewujudan gas di kawasan kejadian dan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pekerja atau individu yang berada berhampiran lokasi.

Beliau berkata, pemantauan dan pengujian gas akan dijalankan semula pada jam 8 pagi esok. Operasi turut membabitkan Sarawak Energy Berhad dan Geospec Sdn Bhd.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search