Indonesia digesa ambil tindakan cegah kebakaran
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 5 Okt: Indonesia digesa mengambil langkah lebih tegas bagi mencegah aktiviti pembakaran di Kalimantan yang berpotensi menyumbang kepada kejadian jerebu di Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, Borneo merupakan kawasan yang dikongsi bersama oleh Kalimantan Indonesia, Brunei, Sabah dan Sarawak, justeru isu pencemaran rentas sempadan perlu ditangani secara bersama.
Menurutnya, pihak berkuasa Indonesia perlu mengenal pasti individu atau pihak yang melakukan pembakaran terbuka dan mengambil tindakan undang-undang, bukannya menyalahkan faktor angin.
“Jangan salahkan angin. Sebaliknya, kenal pasti mereka yang melakukan pembakaran, cari mereka dan bawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Libat Urus Komuniti Mengenai Penubuhan Kawasan Pemuliharaan Komuniti (CCA) di kawasan Taman Negara Ulu Sebuyau, Sedilu dan Gunung Lesong di Kuching, hari ini.
Snowdan menjelaskan, keadaan jerebu yang melanda Sarawak masih belum reda dan boleh memberi kesan kepada kesihatan khususnya warga emas serta individu yang menghidap asma.
Malah katanya, kebakaran hutan dalam skala besar turut memberi ancaman serius terhadap hidupan liar termasuk risiko kematian dan kehilangan habitat.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap nasib populasi orang utan susulan kebakaran besar yang berlaku di Kalimantan.
“Saya berasa sedih melihat kebakaran besar di Kalimantan yang menyebabkan banyak orang utan terkorban atau hilang akibat kebakaran.
“Keadaan ini boleh menyebabkan populasi orang utan terus berkurangan dan usaha pemuliharaan perlu diperkukuhkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Snowdan berkata, Sarawak dikurniakan kekayaan alam semula jadi dan biodiversiti yang amat bernilai termasuk kawasan Ulu Sebuyau, Sedilu dan Gunung Lesong yang menjadi habitat penting kepada orang utan Borneo serta pelbagai spesies hidupan liar lain.
Katanya, usaha melindungi khazanah alam berkenaan bukan tanggungjawab satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.
“Oleh itu, tanggungjawab untuk melindungi khazanah ini bukanlah tanggungjawab satu agensi sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab kita bersama,” jelasnya.
Beliau berkata, pendekatan CCA amat penting dalam memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dengan melibatkan komuniti setempat.
Menurutnya, pemuliharaan bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau Sarawak Forestry Corporation, tetapi turut memerlukan penglibatan aktif serta rasa tanggungjawab masyarakat di kawasan berkenaan.-TVS
