40 daerah catat kualiti udara tidak sihat
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Sebanyak 40 daerah di seluruh negara mencatatkan kualiti udara tahap tidak sihat dengan Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan paling tinggi iaitu 182, setakat jam 8 pagi ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), daerah lain terjejas ialah Cheras, Kuala Lumpur (179); Nilai, Negeri Sembilan (178); Putrajaya (176); Shah Alam, Selangor (175); Seremban, Negeri Sembilan (174); dan Batu Muda, Kuala Lumpur (172).
Kesemua daerah terjejas mencatatkan rekod di Semenanjung, manakala hanya 23 daerah mencatatkan rekod kualiti udara pada tahap sederhana yang rata-ratanya di Sarawak, antaranya di Kuching (75); IPD Serian (73); Samarahan (70); dan Sibu (66).
Selain itu, Sabah juga mencatatkan kualiti udara tahap sederhana membabitkan Politeknik Kota Kinabalu (64); Keningau (56); dan Sandakan (53).
Kawasan lain mencatatkan tahap sederhana ialah Alor Setar, Kedah (99); Larkin (99) dan Pengerang, Johor (98); Langkawi, Kedah (96); Kangar, Perlis (88) dan Kota Bharu, Kelantan (88).
Empat daerah di Sabah dan Sarawak mencatatkan kualiti udara tahap baik ialah Sarikei (47); Limbang (46); Kota Kinabalu (45); dan ILP Miri (44).
Semalam, BH melaporkan, jumlah titik panas dikesan di Kalimantan melonjak kepada 808, sekali gus meningkatkan potensi berlakunya jerebu rentas sempadan sekiranya kebakaran terbuka di Indonesia berterusan.
Berdasarkan data 'ASEAN Specialised Meteorological Centre' (ASMC), jumlah titik panas di Kalimantan meningkat daripada 301 pada 12 September kepada 461 pada 13 September, sebelum melonjak kepada 808 semalam.
Bagi tempoh sama, ASMC turut merekodkan 87 titik panas di Sumatera, 15 di Sabah dan Sarawak serta satu di Semenanjung.
Data itu menunjukkan peningkatan ketara titik panas di Kalimantan dalam tempoh dua hari berkenaan, selepas jumlahnya berada pada paras lebih rendah pada awal tempoh pemantauan.
